
Setiap awal atau akhir tahun, semua organisasi di seluruh dunia biasanya akan menghasilkan pelan strategik untuk merangka hala tuju mereka pada masa depan. Dalam masa yang sama, penilaian pencapaian tahun semasa juga dilakukan untuk melihat sejauh mana matlamat yang ditetapkan dapat dicapai. Namun pada pandangan penulis, kita boleh membuat pelan strategik yang hebat, tetapi yang paling penting adalah perancangan luar kotak untuk mencapainya. Jika kita terus bekerja dengan cara biasa, kita tidak akan dapat mencapai apa yang kita impikan. Perancangan dan pemikiran luar kotak amat penting untuk mencetuskan perubahan yang besar, tetapi yang lebih penting adalah kelajuan (SPEED) dalam pelaksanaannya.
Sebagai sebuah institusi pendidikan yang bercita-cita tinggi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar menjalankan tugas rutin. Dunia yang semakin terhubung ini menuntut perubahan dan kemajuan yang tidak boleh disekat oleh sempadan tradisi. Strategi 2025 UTHM adalah panggilan untuk berfikir di luar kotak, membebaskan diri daripada cara lama dan memanfaatkan peluang yang ada di depan mata. Dalam dunia yang kian berubah haluannya, hanya mereka yang berani meninggalkan sempadan kotak pemikiran lama akan menjadi perintis zaman yang lebih agung dan penuh makna untuk berani berfikir di luar kotak. Dalam menjayakan strategi ini, prinsip SPEED bukan sekadar akronim, tetapi asas untuk merancang dan melaksanakan hala tuju yang lebih hebat, lebih berani dan lebih mampan.
S – Strategic: Berani menongkah arus tradisional
Di UTHM, strategik bukan hanya tentang merancang dengan teliti, tetapi juga berani menongkah arus tradisional dalam dunia pendidikan tinggi. Kita tidak boleh sekadar bergantung kepada pendekatan konvensional yang tidak lagi relevan dengan keperluan semasa. Strategi luar kotak mengajak UTHM untuk berfikir lebih jauh daripada sempadan yang telah ditetapkan, meninggalkan cara lama yang tidak lagi efektif dan mencipta penyelesaian yang lebih kreatif dan sesuai dengan era digital. Keberanian untuk berubah dan mengadaptasi inilah yang akan menjadikan UTHM sebagai peneraju dalam bidang akademik dan penyelidikan.
P – Proactive: Kelajuan sebagai paksi pelaksanaan
Dalam melaksanakan Strategi 2025, kelajuan menjadi elemen penting. Dunia kini bergerak pantas, dan UTHM tidak boleh lagi menunggu atau bertindak secara reaktif. Proaktif adalah teras untuk memastikan universiti ini terus maju. Kelajuan dalam melaksanakan program-program strategik akan memastikan UTHM tidak ketinggalan dalam dunia yang penuh persaingan ini.
Namun harus diingat, kelajuan tanpa haluan adalah sia-sia. Ia seperti badai yang mengganas tanpa tahu ke mana ingin melanda. Maka, kelajuan perlu berpadu dengan kebijaksanaan. Setiap langkah perlu direncana, setiap tindakan perlu disulam dengan hikmah. Biarlah kita pantas, tetapi tetap tersusun, bergegas, tetapi tidak alpa pada tujuan. Tanpa kelajuan, peluang boleh terlepas, sumber boleh disia-siakan dan kepercayaan boleh terhakis.
E – Efficient: Integrasi data dan analitik, merintis era baharu keunggulan
Efisien adalah kunci dalam memastikan setiap keputusan yang diambil di UTHM adalah berlandaskan data yang tepat dan terperinci. Dengan mengintegrasikan data dan analitik dalam setiap aspek pengurusan dan penyelidikan, UTHM dapat membuat keputusan yang lebih bijak dan cepat. Penggunaan data dan analitik sebagai asas dalam penyelidikan dan perancangan akan membawa UTHM ke era baharu keunggulan. Alat-alat digital dan sistem seperti Microsoft Power BI dan Google Analytics boleh digunakan untuk memastikan setiap tindakan adalah berdasarkan fakta yang kukuh, mengoptimumkan sumber yang ada dan meminimumkan pembaziran.
Integrasi data dan analitik adalah prajurit senyap yang mengubah dunia. Masa depan kita terletak di tangan mereka yang mampu membaca dan mentafsir ‘emas baharu’ ini. UTHM dan institusi pendidikan perlu berperanan sebagai perintis, melahirkan generasi pemimpin yang bukan sahaja bijak tetapi juga berjiwa besar. UTHM melalui Centre for Artificial Intelligence and Big Data (CAIBD) inilah nanti yang akan mengemudi dunia menuju ke arah yang lebih lestari dan sejahtera.
E – Empowering: Kreativiti dan kolaborasi antarabangsa, menggenggam peluang di luar horizon
Idea-idea besar tidak mengenal sempadan dan kebijaksanaan tidak pernah terkurung dalam satu budaya. Di UTHM, kita perlu memperkasakan generasi muda untuk berfikir di luar kotak, menggalakkan kreativiti dan kolaborasi antarabangsa yang melangkaui sempadan negara. Sikap yang tertutup dan kekok dalam menerima idea baharu serta menolak peluang untuk berkolaborasi dengan pihak antarabangsa mencerminkan kekurangan dalam kita menggenggam peluang yang ada di luar horizon.
Ada kalanya kita terperangkap dalam budaya lokal yang kaku, enggan mengadaptasi kaedah atau amalan global yang lebih maju demi kemajuan bersama. Perasaan tidak yakin terhadap hasil perubahan, ditambah dengan kurangnya semangat kerjasama dan integrasi dengan pihak luar, menyebabkan kita ketinggalan dalam mencapai potensi penuh. Pendekatan sempit yang dipertahankan hanya menghalang peluang untuk menimba ilmu dan mencapai inovasi yang lebih tinggi, lantas membatasi kita dari menjadi sebahagian daripada komuniti global yang dinamik dan progresif.
Dengan melibatkan diri dalam jaringan kerjasama global, UTHM dapat membuka pintu kepada peluang yang lebih luas, memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang ada di seluruh dunia. Melalui platform penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan projek kolaboratif dengan universiti terkemuka, UTHM bukan sahaja akan melahirkan generasi yang berkebolehan, tetapi juga memupuk budaya inovasi dan pemikiran global.
D – Dynamic: Membuka pintu masa hadapan, memperkasa bakat generasi muda
Akhirnya, dinamik adalah elemen yang memastikan UTHM sentiasa relevan dengan perubahan yang berlaku di sekitar kita. Dunia yang penuh dengan cabaran memerlukan pendekatan yang fleksibel dan terbuka dan generasi muda adalah kekuatan utama untuk mencorakkan masa depan.
UTHM perlu memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk berkembang, berfikir bebas dan bertindak dengan berani. Pemerkasaan bakat generasi muda melalui pendidikan berkualiti, peluang latihan industri dan sokongan yang berterusan adalah kunci untuk membangunkan pemimpin masa depan yang bukan hanya berjaya, tetapi juga mampu membuat perubahan besar dalam masyarakat.
Dalam konteks kepimpinan di UTHM, kepercayaan kepada generasi muda tidak seharusnya sekadar janji kosong. Pemimpin muda perlu diberi ruang dan peluang untuk mencorakkan masa depan universiti dengan idea segar dan pendekatan yang lebih dinamik. Kita perlu melangkah keluar daripada budaya lama yang sering diselubungi ‘cah keting’ atau sikap yang memotong potensi rakan demi kepentingan peribadi. Budaya ini bukan sahaja merugikan bakat muda, tetapi melemahkan keupayaan kita untuk bergerak sebagai sebuah institusi yang progresif. Dengan memberi ruang kepada mereka untuk berkembang, UTHM membuka pintu kepada masa depan yang lebih dinamik dan penuh dengan peluang.
Konklusinya, SPEED dalam Strategi 2025 UTHM bukan hanya satu konsep, tetapi satu prinsip yang memandu langkah kita ke arah pencapaian yang lebih hebat. Melalui perancangan strategik yang berani, kelajuan dalam pelaksanaan, efisiensi dalam penggunaan sumber, pemberdayaan kreativiti dan kolaborasi antarabangsa, serta dinamik dalam pemerkasaan bakat muda, UTHM akan terus berada di barisan hadapan dalam melahirkan pemimpin yang mampu mencorakkan dunia. Inilah masa untuk UTHM berfikir di luar kotak, melangkah dengan pantas dan menyemai kejayaan yang mampan bagi generasi akan datang.
Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim
Naib Canselor
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)