Pada masa kini, istilah kecerdasan buatan (AI) semakin sering diperkatakan di seluruh dunia. Teknologi AI tidak lagi sekadar khayalan dalam filem fiksyen sains, tetapi telah menjadi pemacu utama transformasi global yang mengubah cara manusia bekerja, berfikir dan menjalani kehidupan. Salah satu elemen utama yang mendasari perkembangan ini adalah pemikiran komputasional atau computational thinking (CT). Pada era yang dipenuhi dengan kemajuan AI, pemikiran komputasional berperanan sebagai asas yang membuka potensi penuh teknologi ini, sekali gus merintis jalan menuju masa depan yang pintar, inovatif dan bermanfaat untuk semua.
Pemikiran komputasional dan AI mempunyai hubungan rapat yang saling melengkapi, yang mana pemikiran komputasional menyediakan kemahiran asas dan proses penting untuk mereka bentuk serta memahami sistem AI. Pemikiran komputasional menekankan penyelesaian masalah melalui teknik seperti penguraian, pengecaman corak, abstraksi dan reka bentuk algoritma, yang kesemuanya menjadi teras kepada pembangunan AI. Sebagai contoh, AI menggunakan abstraksi untuk memodelkan masalah dunia sebenar ke dalam rangka kerja pengiraan, seperti rangkaian neural (neural network) dan memanfaatkan pengecaman corak untuk mengenal pasti maklumat daripada data dalam aplikasi seperti klasifikasi imej dan pemprosesan bahasa semulajadi. Pada masa yang sama, AI memperkukuh pemikiran komputasional dengan mengautomasi proses penyelesaian masalah dan menyediakan alat seperti sistem tutorial pintar yang membantu dalam pembangunan kemahiran pemikiran komputasional.
Pemikiran komputasional bukan sekadar kemahiran teknikal, tetapi merupakan pendekatan logik yang sistematik dalam menyelesaikan masalah. Ia melibatkan empat elemen utama yang memudahkan manusia menghadapi cabaran kompleks. Pertama, penguraian (decomposition) ialah pemecahan masalah besar kepada bahagian kecil yang lebih mudah diuruskan. Kedua, pengenalan corak (pattern recognition) membantu mengenal pasti pola dalam data untuk mempermudah pemahaman. Ketiga, abstraksi (abstraction) membolehkan fokus kepada maklumat penting sambil mengabaikan butiran yang tidak relevan. Akhir sekali, reka bentuk algoritma (algorithm design) menyusun langkah-langkah logik secara sistematik untuk menghasilkan penyelesaian. Elemen-elemen ini bukan sahaja relevan untuk pembangunan teknologi, tetapi juga berguna dalam kehidupan harian seperti merancang jadual atau menyelesaikan konflik.
Pemikiran komputasional dan AI berkongsi matlamat yang sama untuk mencipta penyelesaian yang cekap dan berskala. Pemikiran komputasional menyediakan “bagaimana” dengan memberi kerangka penyelesaian masalah, manakala AI mewakili “apa” dengan melaksanakan penyelesaian tersebut pada skala yang lebih besar. Kebergantungan antara kedua-duanya mendorong inovasi, yang mana pemikiran komputasional mencetuskan aplikasi AI dan AI memajukan pemikiran komputasional dengan menangani cabaran dunia sebenar. Hubungan ini membuka peluang besar untuk mencipta teknologi masa depan yang lebih maju dan berimpak tinggi.
Hubungan antara pemikiran komputasional dan AI dapat dilihat dengan jelas dalam pelbagai aplikasi teknologi moden. Sistem AI, dari chatbot hingga kereta tanpa pemandu, dibangunkan berdasarkan prinsip pemikiran komputasional. Sebagai contoh, pembelajaran mesin (machine learning) menggunakan data besar untuk mengenal pasti pola dan membuat ramalan. Lebih daripada itu, AI mempercepatkan penyelesaian masalah, seperti dalam bidang perubatan, yang mana AI membantu menganalisis imej untuk mengenal pasti penyakit seperti kanser dengan lebih efisien berbanding analisis manual manusia. Hubungan simbiosis antara pemikiran komputasional dan AI ini memperkukuh perkembangan teknologi, membentuk dunia masa depan yang lebih pintar dan efisien.
Di samping itu, pemikiran komputasional merupakan kemahiran kritikal untuk semua peringkat masyarakat, daripada pelajar sekolah hingga profesional. Pengenalan subjek Sains Komputer di sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah usaha yang bijak untuk melengkapkan generasi muda dengan kemahiran relevan masa kini. pemikiran komputasional juga memainkan peranan penting dalam pasaran kerja moden, kerana ia tidak hanya melibatkan logik dan data, tetapi turut memupuk kreativiti. Contohnya, seorang arkitek boleh menggunakan pemikiran komputasional untuk merancang bangunan cekap tenaga, manakala seorang artis dapat menggabungkan seni tradisional dengan teknologi AI untuk menghasilkan karya inovatif.
Melihat ke hadapan, kolaborasi antara manusia dan AI yang berlandaskan pemikiran komputasional menawarkan potensi besar. Sebagai contoh, sistem pembelajaran adaptif yang didukung oleh AI dapat menganalisis gaya dan kemajuan pembelajaran setiap pelajar secara individu, mengenal pasti kelemahan dan mencadangkan latihan khusus. Peranan pemikiran komputasional amat penting, kerana sebelum AI dapat berfungsi dengan efektif, pendidik dan pembangun sistem menggunakan pemikiran komputasional untuk memecahkan konsep kompleks kepada modul pembelajaran yang lebih mudah. Gabungan pemikiran komputasional dan AI ini memastikan proses pembelajaran lebih berfokus kepada pelajar dan menggalakkan pendidikan yang inklusif serta efisien.
Kesimpulannya, pemikiran komputasional dan kecerdasan buatan adalah elemen yang saling melengkapi dalam membentuk masa depan yang lebih pintar. pemikiran komputasional bukan sahaja mendasari pembangunan teknologi AI, tetapi juga membantu manusia menggunakan teknologi ini secara berhemah. Masa depan yang cerah memerlukan hubungan antara keunikan manusia dan kecanggihan AI, dengan pemikiran komputasional sebagai jambatan penghubungnya. Sinergi ini membolehkan pembangunan penyelesaian yang lebih efisien, bijak dan adaptif dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, industri, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan. Kerjasama ini mempercepatkan revolusi teknologi dengan menawarkan penyelesaian pintar yang dapat menangani cabaran kompleks dalam dunia moden. Gabungan ini akan memastikan dunia yang lebih lestari, inovatif dan maju.
Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar
Pensyarah Kanan,
Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web,
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Ts. Ida Aryanie Bahrudin
Jabatan Kemahiran dan Profesional,
Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Harian (muka surat: 18), 25 Disember 2024: Sinergi pemikiran komputasional dan kecerdasan buatan dorong inovasi teknologi