Pembangunan dalam mencorak bakat dan pemimpin masa depan sesebuah negara adalah melalui pendidikan. Pengukuhan pembangunan modal insan dalam aspek sains, teknologi, inovasi dan ekonomi penting dalam memastikan negara kekal berdaya saing, dikenali dan maju. Ia juga seiring dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, bermatlamat teknologi menerajui masa depan negara. Dasar ini mempertimbangkan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam membudayakan inovasi sekali gus meningkat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi. Hal ini juga menunjukkan penerapan elemen keusahawanan penting dalam erti kata kelestarian ekonomi. Kesinambungan dalam setiap pembangunan produk seharusnya bernilai komersial dan dipasarkan melalui pasaran tempatan atau antarabangsa.
Kreatif bermaksud kebolehan atau keupayaan dalam mencipta dan menghasilkan sesuatu idea baharu dan asli berasaskan kepada matlamat tertentu. Kreatif dalam berkreativiti penting dalam menginovasikan sesuatu yang baharu, kebolehfungsian tertentu dan kualiti yang tinggi. Pembudayaan ke arah melahirkan modal insan kreatif bergantung kepada strategi dan perancangan yang dibuat dengan sokongan dari pelbagai pihak. Secara umumnya, kerjasama yang strategik di antara pemegang taruh penting dan berperanan berdasarkan bidang tugas, sama ada institusi pendidikan, industri ataupun persatuan. Justeru itu, pemupukan minat antaranya bidang sains dan teknologi adalah penting. Pengetahuan dan pemahaman yang lengkap, memberikan ilham dalam berkreativiti dan menghasilkan sesuatu, dalam konteks pembangunan produk.
Usaha-usaha dalam membentuk generasi tinggi daya kreatif dan celik inovasi seusia persekolahan rendah adalah amat bersesuaian. Pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), penekanan dalam memupuk ciri-ciri ini adalah berbeza dalam konteks kaedah dan pelaksanaan. Dengan mempertimbangkan pendidikan dan pembelajaran secara formal mahupun tidak formal, elemen-elemen dalam peningkatan kemahiran, berfikiran saintifik dan kritis dapat membantu menggilap daya kreatif dalam berinovasi. Bak kata pepatah, “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Malahan, pelbagai program dan aktiviti diadakan dalam menyemai minat terhadap pembudayaan mereka cipta dan berinovasi, antaranya adalah karnival yang melibatkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dan juga berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Bidang-bidang ini penting kerana sumbangannya adalah signifikan dalam melahirkan bakat-bakat yang kompetitif dan memenuhi keperluan negara. Pelaburan dalam program-program ini dapat mencungkil bakat dan memperkasakan keupayaan individu dalam pelbagai kemahiran.
Pengenalan dan pendedahan kepada teknologi terkini diperluas dan dibincangkan secara tuntas. Pembelajaran yang melibatkan percambahan idea, penyelesaian masalah diterapkan dengan tanda aras produk-produk terkini di pasaran. Aspek ini dapat membuka minda dan idea bagi pembangunan sesuatu produk. Ia juga dapat mendidik dan memastikan cabaran persekitaran dapat diserap dengan baik. Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini dapat membantu dalam menggilap bakat-bakat pereka cipta yang berpengetahuan, berkemahiran praktikal dan sosial yang baik, juga dapat menjana pendapatan tinggi. Bakat-bakat ini bukan hanya menguasai ilmu tertentu sahaja tetapi mampu berkomunikasi dengan baik, mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terpuji dan dipupuk bekerja secara berpasukan. Secara tidak langsung, pendedahan terhadap pemupukan budaya ini dapat membina dan membangun identiti.
Pendekatan ini mampu melahirkan bakat-bakat tempatan sebagai pembangun teknologi. Sementelah, dengan sokongan kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju hab digital. Malahan itu dapat menghasilkan produk dengan teknologi tempatan yang berdaya saing dan mampu menembusi pasaran dunia. Dengan pelbagai keperluan manusia dan sumber persekitaran, ia memberi impak dalam pembangunan penciptaan dan pengeluaran produk. Bakat-bakat ini amat diperlukan dalam pelbagai bidang antaranya, pembuatan, pertanian, perindustrian, pembinaan dan pengangkutan. Bakat-bakat yang mempunyai kualiti yang tinggi, sama ada pengetahuan atau kemahiran mampu memperoleh kadar upah yang sepadan.
Peranan dalam mengurus dan membudayakan inovasi produk dengan perancangan yang lebih berkesan perlu seiring dengan matlamat dan harapan. Ia sekali gus dapat memastikan modal insan dan bakat-bakat yang dilahirkan mempunyai daya kreatif dan celik inovasi yang tinggi. Tambahan, ia juga dapat menyumbang kepada keupayaan daya saing negara dengan pembangunan produk jenama tempatan, memacu perubahan teknologi terkini dan seterusnya mencapai matlamat negara berteknologi tinggi.
Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak bin Tajul Arifin
Penyelidik Utama
Pusat Penyelidikan Pencegahan dan Kebolehpercayaan Kegagalan Mekanikal (MPROVE)
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
——————————————
Ketua Jabatan,
Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Harian Metro (muka surat: 14), 2 Disember 2024: Melahirkan bakat pembangun teknologi tinggi
2. MyMetro (hmetro.com.my), 2 Disember 2024: Melahirkan bakat pembangun teknologi tinggi
https://www.hmetro.com.my/rencana/2024/12/1161514/melahirkan-bakat-pembangun-teknologi-tinggi