NANING – Bagi melengkapkan pelajar dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), seramai 15 pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan Pesawat, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan FKMP, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program Latihan Pembuatan Enjin Pesawat ke Guangxi Technological College of Machineray and Electricity (GXCME) di Naning, China pada 10 hingga 19 November 2024 lalu.
Menurut penyelaras program kerjasama, Profesor Madya Ts. Dr. Reazul Haq Abdul Haq, program itu diadakan bertujuan mewujudkan latihan jangka pendek pengantarabangsaan pelatih TVET bagi meningkatkan kualiti latihan yang memberi manfaat khususnya dalam bidang pembuatan pesawat.
Program tersebut dikoordinasikan melalui Projek Belia Mahir di bawah Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) dan TANG International Education (CHINA) melalui program MALAYSIA-CHINA YOUTH TVET TRAINING (MCYTT).
“Program mobiliti pelajar (outbound) ini juga bertujuan untuk mengembangkan minda pelatih TVET sekali gus membolehkan mereka merasai pengalaman penggunaan teknologi tinggi, budaya dan persekitaran yang berbeza di negara yang berbeza,” katanya.
Sementara itu, FKMP turut menjalinkan kerjasama dengan menandatangani Letter of Intent (LoI) peringkat antarabangsa dengan GXCME.
UTHM diwakili Dekan FKMP UTHM, Profesor Ts. Dr. Amir Khalid manakala GXCME pula diwakili Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa, Ms. Fu Yao.
Melalui kerjasama itu, pelbagai bentuk kerjasama akan dilaksanakan contohnya seperti pemindahan ilmu, penyelidikan dan aktiviti akademik.
Majlis LoI itu turut disaksikan oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Pembuatan FKMP, Profesor Madya Ts. Dr. Omar Mohd. Faizan Marwah.