Misi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) adalah bagi menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri dan komuniti berasaskan paradigma Tauhid. Terdapat dua komponen utama dari ungkapan tersebut, iaitu untuk menjadikan seseorang individu tersebut sebagai penyelesai masalah (problem solver), dan komponen kedua adalah berteraskan paradigma Tauhid. Ungkapan ‘Paradigma Tauhid’ perlu diberikan penjelasan agar segala prinsip dan nilai-nilai yang dibawa menerusi gagasan ini dapat dihayati dan diamalkan serta akhirnya menjadi Deoxyribonucleic acid (DNA) bagi setiap staf dan pelajar UTHM.

Paradigma Tauhid berprinsipkan usaha secara sepadu, seimbang, adil dan menyeluruh merangkumi aspek material, metafizik, organik serta mekanikal insan dan juga alam. Ia juga turut merentas aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek manusiawi yang dipandu oleh bimbingan wahyu. UTHM sebagai sebuah kota ilmu perlu mempunyai budaya intelek yang unggul, ketinggian adab dan akhlak yang subur, budaya khidmat, infaq dan wakaf yang makmur serta matlamat yang mahu dicapai adalah jelas tanpa kabur. Elemen-elemen tersebut dijelmakan kerana asas ilmu itu merupakan bimbingan dari Tuhan kepada hamba-hamba-Nya sepertimana penjelasan Allah SWT dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 31.

Firman Allah SWT:

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ

Maksudnya: Dan Dia (Allah SWT) mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat….

Didapati bahawa intisari setiap ilmu yang diajarkan oleh Allah SWT kepada Nabi Adam AS, ialah Tauhid iaitu menegaskan keesaan Allah SWT jua. Segenap Ilmu adalah berasal dari Si Maha Alim iaitu Allah SWT, Tuhan yang Maha Mengetahui kepada manusia mengikut kehendak-Nya. Menerusi ilmu daripada Allah SWT itu, maka dibukakanlah segala rahsia, pengetahuan, hakikat yang sebelum ini tidak diketahui oleh bangsa manusia dan seluruh makhluk demi kebaikan kehidupan.

Untuk itu adalah amat penting sesuatu pembangunan, penerokaan, pengkajian perlu menitik beratkan konsep ilmu yang berakar umbi dari ajaran wahyu. Kesannya maka keseimbangan, keadilan, kesaksamaan terus terpelihara, lestari dan bermanfaat buat insan dan alam kehidupan. Firman Allah SWT dalam ayat ke 18, surah Ali Imran;

شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَأُوْلُواْ ٱلۡعِلۡمِ قَآئِمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Maksudnya: Allah SWT menyatakan (kepada seluruh makhluk) bahawa tidak ada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Demikian pula para malaikat dan orang-orang berilmu juga menyaksikan atas keEsaanNya yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan penuh keadilan. Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; Yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana.

Orang-orang yang berilmu akan menyaksikan KeEsaan Allah, Keagungan serta Kebijaksanaan-Nya dalam mentadbir seluruh alam dengan penuh keadilan. Gesaan agar mengetahui hakikat sebenar ilmu itu adalah Tauhid, sepertimana firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat ke 19:

فَٱعۡلَمۡ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ

Maka ketahuilah, bahwa sesungguhnya tidak ada Ilah (sesembahan, tuhan) selain Allah.

Naratif yang dikemukakan ini menggambarkan konsep kesepaduan ilmu. Idea tersebut telah dipelopori oleh beberapa tokoh pemikir dan cendekiawan Islam seperti Muhammad Iqbal, Profesor Ismail al-Farouqi, Profesor Diraja Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas serta beberapa tokoh lain yang menyokong idea ini.

Apabila kita meletakkan Allah SWT sebagai satu-satunya sumber kepada keseluruhan ilmu yang ada ini, bermakna setiap satu daripada bidang ilmu tersebut pasti mempunyai elemen perkaitan antara satu bidang dengan bidang yang lain. Corak perkaitan antara bidang-bidang ilmu ini boleh berlaku secara zahir dan kemudiannya secara maknawi.

Fenomena saling keterkaitan ini jika diteliti sehingga ke peringkat akar umbinya akan membawa seseorang pengkaji kepada satu titik pemahaman yang solid dan total iaitu, semuanya itu adalah merupakan tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Akhirnya akan terbit rasa tawaduk dan rasa keimanan yang meningkat kepada Allah SWT.

Kesepaduan ilmu dalam kerangka ini (paradigma Tauhid) akan menghasilkan ilmu pengetahuan yang sarat nilai terpuji serta para jurutera, teknologis, staf dan pelajar yang tawaduk, berintegriti serta mengamalkan nilai-nilai dan akhlak mulia. Timbul pula persoalan, apakah nilai-nilai yang mendasari konsep paradigma Tauhid tersebut dan bagaimanakah staf dan juga pelajar UTHM yang bukan Muslim dapat turut serta dalam menyumbang dan menjayakan misi universiti ini? Paradigma Tauhid didasari dengan empat nilai asas manusiawi iaitu; amanah siddiq (benaran), fathanah (cerdik) dan tabligh (penyebaran/penyampaian).

Setiap daripada elemen tersebut diterangkan sepertimana penjelasan berikut:

  • Amanah adalah nilai yang menampilkan kejujuran, berintegriti, setia, menepati kata-kata dan janji dalam melaksanakan tugas penuh akauntabiliti oleh seseorang individu tersebut sama ada staf mahupun pelajar UTHM. Semestinya sifat amanah ini perlu dijalankan kerana manusia merupakan khalifah yang dilantik oleh Allah SWT di atas muka bumi untuk memakmurkannya mengikut ajaran Tuhan.
  • Siddiq adalah benar, iaitu benar pada kata-kata dan perbuatan, benar pada fakta dan juga pemikiran. Sifat ataupun nilai benar ini akan meletakkan sesuatu yang hak itu pada tempatnya dan menjadikan seseorang individu itu berani berinovasi, berani merintis teknologi terkini, berani merealisasikan inspirasi. Yakin terhadap semangat jati diri dalam mengharungi arus globalisasi demi kesejahteraan dan kelestarian insan serta alam kehidupan. Natijahnya keadilan akan dapat dinikmati dan ditegakkan dalam segenap urusan yang dijalankan.
  • Fathanah adalah cerdik ataupun disebut sebagai bijaksana. Menerusi latihan kemahiran yang lengkap dan daya intelek serta kepakaran ilmu, maka ia akan menghasilkan profesionalisme yang tinggi dan ulung. Seseorang individu pada tahap ini akan mencapai hikmah pada perbuatan dan juga tindakan. Barangsiapa yang dianugerahkan hikmah maka dia benar-benar dianugerahkan kebaikan yang banyak.
  • Tabligh adalah penyebaran dan juga penyampaian kepada industri dan komuniti khasnya dan kepada seluruh alam amnya. Bertepatan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, penyebaran idea, ilmu, kemahiran dan juga kebaikan adalah amat penting demi manfaat umum yang lebih meluas. Menerusi nilai ini keterlihatan (visibility) UTHM akan menyerlah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa selaras dengan arah tuju universiti menjadi Global Technopreneur University pada masa hadapan.

Semua maksud dan penjelasan terhadap elemen-elemen berikut adalah penting bagi ilmu dan pencapaian yang maju dalam pelbagai bidang serta cabang-cabangnya itu dikekalkan sifat kekudusan dan kesepaduannya berteraskan wahyu. Perkara ini mustahak untuk mengelakkan pencapaian dan ilmu tersebut dimanipulasi oleh segelintir pihak yang cenderung kepada hawa nafsu dan perkara-perkara negatif. Sebagai contoh, ilmu digunakan untuk kesombongan, keegoan dan juga kebongkakan diri. Penyalahgunaan pengetahuan dan kemahiran untuk menjayakan kepentingan sempit diri semata-mata dan bukannya untuk kesejahteraan sejagat. Manipulasi pengetahuan untuk keseronokan dan kemewahan duniawi yang bersifat materialistik dengan mengabaikan tanggung jawab akhirat yang kekal abadi.

Justeru, atas sebab-sebab inilah empat nilai iaitu amanah, siddiq, fathanah dan tabligh dipilih sebagai nilai teras bagi menjaga kekudusan Paradigma Tauhid UTHM. Empat nilai ataupun sifat tersebut merupakan ibu kepada sifat mahmudah yang amat penting. Kepentingannya terserlah apabila para cendekiawan ilmu Usuluddin menjadikannya sifat yang wajib bagi seluruh utusan Allah SWT ke muka bumi zaman berzaman. Mereka adalah golongan yang dipelihara Allah SWT akan setiap perbuatan dan tindakan mereka. Lebih-lebih lagi mereka adalah suri teladan yang amat baik serta golongan yang berjaya di dunia dan juga akhirat.

Wallahu a’lam biattamm.

 

 

Dr. Mohd Hisyam Abdul Rahim

Pensyarah Kanan

Jabatan Pengajian Islam

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)