Al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan hidup bagi seluruh umat manusia. Ia bukan sekadar sebuah kitab biasa, tetapi mukjizat agung yang mengandungi hikmah, pengetahuan dan petunjuk yang tidak lapuk dek zaman. Al-Quran sarat dengan pelbagai kandungan yang meliputi hukum-hakam, kisah-kisah umat terdahulu, peringatan bagi manusia masa kini, serta gambaran kehidupan di akhirat kelak. Selain itu, ia juga menyentuh tentang aspek kehidupan manusia secara menyeluruh bermula daripada ibadah, muamalah hingga kepada aspek akhlak. Semua ini bertujuan memberikan hidayah kepada umat manusia agar mereka dapat mengenal Pencipta mereka dan menjalani kehidupan dengan panduan syariat yang benar.

Antara keunikan al-Quran adalah keindahan bahasanya. Bahasa Arab al-Quran sangat tinggi nilainya, kaya dengan makna yang mendalam, sehingga ia dapat menyentuh hati dan mempengaruhi jiwa mereka yang mendengar dan memahami. Hakikat penurunan al-Quran kepada setiap orang yang berakal adalah bertujuan membimbing manusia ke jalan yang diredai Allah. Namun, untuk memahami segala keindahan dan keistimewaan ini, seseorang perlu memiliki pengetahuan asas tentang bahasa Arab. Oleh itu, mempelajari bahasa Arab bukan sekadar satu kelebihan, tetapi satu keperluan untuk mendekati al-Quran dan seterusnya meraih hidayah Allah.

Hidayah Allah SWT

Hidayah adalah nikmat yang paling berharga bagi seorang Muslim. Ia adalah cahaya yang membimbing manusia ke jalan yang benar dan selaras dengan fitrah mereka sebagai makhluk ciptaan Allah SWT. Dalam Islam, keperluan hidayah merangkumi pelbagai aspek kehidupan bermula daripada makrifatullah; mengenali Allah sebagai Tuhan Yang Esa hinggalah kepada panduan melaksanakan perintah-Nya dalam kehidupan harian.

Matlamat penurunan al-Quran secara keseluruhannya telah dirangkumkan dalam surah al-Fatihah; iaitu surah pertama dalam al-Quran yang mana ia dikenali sebagai Ummul Kitab (Ibu Kitab). Ia adalah surah yang wajib dibaca dalam setiap rakaat solat, menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian umat Islam. Surah ini merangkumi pujian kepada Allah, pengiktirafan terhadap kekuasaan-Nya, dan yang paling penting ialah doa permohonan hidayah daripada-Nya. Ia terdiri daripada tujuh ayat yang wajib dibaca dalam setiap rakaat solat, menjadikannya bahagian penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Dalam surah ini, kita memohon kepada Allah dengan ayat ke-6:

“Ihdinaa al-siraatal mustaqiim”
Tunjukilah kami jalan yang lurus

Ayat ini adalah doa yang menunjukkan kebergantungan manusia kepada Allah SWT untuk mendapatkan petunjuk. ‘Jalan yang lurus’ merujuk kepada jalan yang membawa kepada keredaan Allah dan menjauhkan kita daripada kesesatan. Doa ini bukan sahaja menunjukkan keperluan untuk bimbingan Ilahi, tetapi juga mengingatkan kita tentang pentingnya usaha untuk mencari hidayah melalui ilmu dan amal. Oleh kerana itulah surah al-Fatihah ini digelar sebagai Ummul Kitab. Jelaslah di sini bahawa sesungguhnya matlamat sebenar al-Quran adalah untuk memberi hidayah. Ia dapat ditemui tidak lain hanya dengan mendalami dan memahami al-Quran dan beramal dengannya. Maka untuk tujuan itu, kita wajar mempelajari bahasa Arab, bahasa al-Quran.

Belajar bahasa Arab untuk memahami al-Quran

Dalam usaha memahami al-Quran dengan lebih mendalam, mempelajari bahasa Arab adalah langkah pertama yang penting. Atas dasar itu, satu pendekatan inovatif telah diperkenalkan iaitu Teknik Kaedah Al-Hadi. Perkataan al-Hadi berasal daripada hidayah yang bermaksud petunjuk dan panduan. Maka ia sangat bertepatan dengan matlamat pembelajaran bahasa Arab ini yang bertujuan untuk memahami dan memperoleh petunjuk Allah melalui wahyu-Nya. Kaedah ini menggunakan pendekatan praktikal dengan mengambil contoh-contoh tatabahasa daripada ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis SAW, doa-doa harian serta bacaan dalam solat.

Pendekatan ini memberikan kemudahan kepada peserta untuk memahami tatabahasa Arab dengan lebih jelas, kerana contoh-contoh yang digunakan bukan sahaja relevan tetapi juga dekat dengan kehidupan harian mereka. Sebagai contoh, surah-surah Lazim seperti Surah al-Nas hingga Surah al-Dhuha sering digunakan kerana kebiasaannya telah dihafal oleh ramai umat Islam. Namun, jika terdapat topik tatabahasa tertentu yang memerlukan contoh lain, kaedah ini turut mengambil contoh daripada surah-surah pilihan, hadis-hadis Nabi SAW, daripada doa-doa harian, serta bacaan dalam solat untuk memastikan pembelajaran lebih komprehensif dan tidak terhad.

Melalui teknik ini, peserta dapat mengaitkan pembelajaran bahasa Arab dengan ibadah mereka, seperti memahami maksud bacaan solat atau doa harian dan lain-lain lagi. Ini bukan sahaja memperkaya pengalaman rohani, tetapi juga menjadikan pembelajaran lebih bermakna kerana ia terus dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

Merealisasikan matlamat

Dalam usaha merealisasikan matlamat mempelajari bahasa Arab untuk memahami al-Quran dan memperoleh hidayah, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif untuk menawarkan kursus tatabahasa Arab secara percuma kepada orang awam. Kursus ini dijalankan secara dalam talian dan dirancang untuk memberikan pendedahan asas tatabahasa Arab melalui Teknik Kaedah Al-Hadi.

Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari bahasa Arab secara santai tetapi berkesan. Dengan memanfaatkan contoh-contoh daripada al-Quran, hadis, doa harian dan bacaan solat, peserta bukan sahaja dapat memahami asas bahasa Arab tetapi juga mendekatkan diri mereka kepada al-Quran.

Semoga dengan usaha ini, lebih ramai individu akan mendapat peluang untuk mempelajari bahasa Arab, memahami al-Quran, dan seterusnya dikurniakan hidayah Ilahi dalam kehidupan mereka. Inilah langkah kecil tetapi besar maknanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya yang sentiasa mencari kebenaran.

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)