Jabatan Meteorologi Negara (MetMalaysia) telah meramalkan Monsun Timur Laut di Malaysia akan berlaku daripada bulan November 2024 dan dijangka berterusan sehingga bulan Mac 2025. Monsun Timur Laut merupakan salah satu daripada dua musim monsun utama yang berlaku di kawasan Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Antara ciri utama Monsun Timur Laut adalah angin bertiup dari arah timur laut dengan kelajuan yang konsisten. Angin monsun ini berpunca daripada peralihan tekanan atmosfera antara kawasan Siberia yang  memiliki tekanan tinggi dan Australia yang memiliki tekanan rendah. Seterusnya angin ini membawa hujan lebat, terutamanya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia, selain Sabah dan Sarawak. Monsun ini mampu menyebabkan banjir kerana hujan yang berterusan.

Banjir yang melanda Kelantan saat ini disifatkan sebagai banjir terburuk dalam sejarah negeri tersebut. Sehingga 30 November 2024, media melaporkan bahawa lebih daripada 106,500 mangsa telah pun dipindahkan ke 285 pusat pemindahan sementara (PPS) akibat hujan lebat yang berterusan serta limpahan sungai. Angka ini diikuti oleh negeri Terengganu yang merekodkan lebih daripada 24,000 orang yang telah dipindahkan ke PPS sehingga 29 November. Beberapa negeri lain seperti Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Selangor, Johor, Melaka dan Pahang juga tidak terkecuali dalam bencana bah ini.

Ketika rakyat berdepan dengan ujian alam ini, perkara paling penting adalah kesatuan dan semangat kemanusiaan. Semasa musim banjir, fokus utama seharusnya tertumpu kepada usaha membantu mangsa yang terjejas, bukannya isu yang boleh menimbulkan perpecahan. Oleh itu, amat penting agar semua pihak dapat mengelakkan isu politik dan perkauman yang boleh memecah-belahkan masyarakat, terutamanya dalam situasi kritikal seperti ini. Antara contoh yang tidak patut dilakukan ialah menyalahkan pihak tertentu atas kelewatan bantuan tiba sambil mempolitikkan situasi. Contoh lain pula adalah membuat kenyataan berbentuk perkauman, seperti menuding jari kepada kaum tertentu atas masalah yang berlaku.

Banjir bukanlah masa untuk melontar tuduhan atau membahaskan perbezaan pandangan politik atau perkauman. Mengelak kedua isu ini mampu mencipta suasana yang lebih harmoni dan positif. Hal ini penting bagi memastikan semua pihak berasa dihargai dan bersedia untuk menghulurkan bantuan tanpa sebarang rasa prejudis. Seharusnya ini menjadi masa untuk kita semua berganding bahu tanpa mengira status sosial, agama, mahu pun bangsa.

Ketika ini mangsa banjir bukan sahaja kehilangan harta benda dan tempat tinggal, malahan juga berisiko kehilangan nyawa apabila arus banjir menjadi deras. Bantuan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk, seperti sumbangan wang, barangan keperluan dan tenaga kerja. Bagi yang tidak berkemampuan untuk menyumbang, titipkan doa dan kata-kata semangat semoga mangsa-mangsa banjir ini dapat menempuh hari-hari yang mendatang dengan tabah.

Kesepaduan dalam masyarakat bukan sahaja mencerminkan kekuatan dan perpaduan rakyat, bahkan juga dapat meringankan penderitaan mangsa. Sebagaimana pepatah Melayu, “bersatu teguh, bercerai roboh.” Dengan mengetepikan perbezaan dan bekerjasama, kita mampu menghadapi bencana banjir ini dengan lebih cekal dan efisien.

 

 

 

 

Farhana Abd Hamid

Jabatan Bahasa Antarabangsa,

Pusat Pengajian Bahasa,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 13), 5 Disember 2024: Bantu mangsa banjir tanpa mengira agama, politik 

 

2. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 8 Disember 2024: Bersatu gembleng tenaga bantu mangsa banjir

Bersatu gembleng tenaga bantu mangsa banjir

 

3. Utusan Malaysia (muka surat: 19), 13 November 2024: Elak isu politik, perkauman sebaliknya bersatu bantu mangsa banjir

 

4. Utusan (utusan.com.my), 13 November 2024: Elak isu politik, perkauman sebaliknya bersatu bantu mangsa banjir 

Elak isu politik, perkauman sebaliknya bersatu bantu mangsa banjir