Belanjawan Malaysia Madani 2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat ada menekankan pentingnya transformasi ekonomi melalui kemajuan digitalisasi dan automasi, disertai usaha memperkukuh keselamatan siber negara. Lebih 50 inisiatif telah dibentangkan bagi merancang peruntukan belanjawan agar kekal relevan, berdaya saing dan menyumbang kepada ekonomi yang stabil dan ideal. Inisiatif “Digitalisasi dan Automasi” serta “Keselamatan Siber” merupakan langkah penting bagi memastikan negara maju secara teknologi dan terlindung dari ancaman siber. Usaha ini seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang berhasrat meningkatkan daya saing ekonomi dan memperkukuh kemapanan ekonomi negara.
Memacu transformasi digital
Digitalisasi dan automasi kini adalah keperluan asas untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi dalam sektor ekonomi. Kerajaan melalui Belanjawan 2025, memperuntukkan dana khusus bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pendidikan, industri dan sektor awam supaya lebih pantas beralih ke arah ekonomi digital. PMKS, yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, akan diberi sokongan dalam bentuk geran dan latihan digital. Untuk menyokong PMKS serta penjaja tempatan, RM50 juta diperuntukkan melalui Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja, yang bertujuan meningkatkan daya saing mereka di pasaran digital serta mengurangkan jurang digital di kawasan luar bandar. Dalam sektor industri, automasi melalui teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan Internet of Things (IoT) mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh serta meningkatkan produktiviti. Galakan dana automasi ini akan memperkuat daya saing industri tempatan dan menarik pelaburan asing. Selain itu, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pendidikan digital bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam teknologi dan STEM, mempersiapkan generasi muda menghadapi perubahan pasaran kerja dalam ekonomi digital. Kerajaan turut memperkenalkan teknologi digital dalam pentadbiran awam bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan perkhidmatan. Teknologi seperti “cloud computing” dan aplikasi mudah alih membantu memudahkan interaksi antara kerajaan dan rakyat, mengurangkan birokrasi serta memastikan maklumat dapat diakses dengan lebih mudah dan pantas.
Kerajaan Malaysia telah berjaya menarik pelaburan teknologi bernilai USD16.9 bilion daripada syarikat digital gergasi seperti Amazon Web Services (AWS), Microsoft, Google dan Oracle sehingga 2038. Pelaburan ini dijangka membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan inovasi dan mempercepatkan transformasi digital negara di pelbagai sektor. Kerajaan akan menubuhkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dengan bajet RM10 juta untuk menggalakkan penggunaan AI melalui kerjasama industri dan akademik. Ini akan memperkukuhkan penyelidikan dan pembangunan AI serta menjadikan Malaysia peneraju inovasi AI di ASEAN. Kerajaan juga melancarkan ASEAN AI Safe, Rangkaian Keselamatan AI dengan peruntukan RM3 juta untuk membangunkan standard keselamatan AI serantau, melindungi data dan memastikan pertumbuhan AI yang selamat serta beretika.
Dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, kerajaan memperkenalkan levi pelbagai peringkat, dengan hasilnya akan digunakan untuk memacu automasi, mekanisasi dan transformasi digital dalam industri.
Keselamatan siber sebagai pelindung ekonomi digital
Kemajuan digital membuka pelbagai peluang, namun turut membawa risiko keselamatan yang tidak boleh diabaikan. Belanjawan 2025 menggariskan usaha komprehensif bagi menangani cabaran keselamatan siber. Dana diperuntukkan bagi pembangunan pusat pemantauan siber dan makmal keselamatan yang berperanan sebagai benteng pertahanan digital negara. Pusat ini berfungsi memantau dan mencegah serangan siber demi memastikan kestabilan ekonomi digital negara.
Kerajaan Malaysia memperuntukkan RM20 juta untuk memperkuatkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dalam usaha memerangi penipuan dalam talian, melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan institusi kewangan. Portal Fraud Kebangsaan juga dilancarkan untuk mengesan transaksi mencurigakan secara automatik, mempercepatkan tindakan terhadap jenayah siber.
Bagi menangani sindiket siber, pindaan terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah akan dilaksanakan untuk mempertingkatkan tindakan undang-undang terhadap sendiket akaun keldai. RUU Keselamatan Dalam Talian akan digubal untuk menuntut tanggungjawab penyedia perkhidmatan internet dalam melindungi keselamatan pengguna, terutamanya kanak-kanak, daripada ancaman dalam talian. CyberSecurity Malaysia menerima peruntukan RM53 juta untuk membangunkan kapasiti keselamatan siber merangkumi pembangunan keupayaan penilaian keselamatan teknologi siber dan pengukuhan pemantauan ancaman siber untuk meningkatkan perlindungan negara. Dana turut disalurkan kepada pensijilan keselamatan digital dan privasi serta pengukuhan sistem forensik siber, yang menyokong penyiasatan terhadap serangan siber. Selain itu, program keselamatan siber PMKS diperkenalkan untuk membantu PMKS menghadapi ancaman digital. Belanjawan juga memberi peruntukan untuk pengukuhan modal insan yang bertujuan untuk melahirkan lebih ramai profesional keselamatan siber.
Kerajaan juga merancang program kesedaran keselamatan siber di peringkat individu dan organisasi, memastikan rakyat faham akan risiko siber dan mengamalkan langkah keselamatan yang sewajarnya. Dalam menghadapi ancaman global, kerjasama antarabangsa diperkuat melalui perkongsian maklumat serta penyiasatan insiden siber. Selain itu, Belanjawan 2025 menambah peruntukan untuk penguatkuasaan undang-undang keselamatan siber, melindungi data peribadi dan data penting kerajaan daripada ancaman jenayah siber.
Sinergi antara digitalisasi, automasi dan keselamatan siber
Dalam era digital, sinergi antara digitalisasi, automasi dan keselamatan siber amat penting. Perlindungan data dan privasi pengguna sangat bergantung kepada langkah keselamatan siber yang kukuh untuk melindungi maklumat peribadi dan rahsia korporat daripada ancaman siber. Keselamatan siber yang baik dapat meningkatkan keyakinan pengguna dan pelabur terhadap platform digital dan teknologi automasi, serta dapat memperkukuhkan pelaburan. Sokongan keselamatan siber menggalakkan inovasi dan pertumbuhan ekonomi dengan mencipta ekosistem yang selamat untuk teknologi seperti AI. Keselamatan siber adalah asas penting dalam memastikan digitalisasi dan automasi berjalan dengan lancar dan selamat. Belanjawan 2025 melihat pentingnya keselamatan siber sebagai pelengkap kepada kemajuan digital. Dengan melabur dalam teknologi keselamatan yang kukuh, kerajaan dapat melindungi data dan sistem sensitif daripada ancaman yang boleh mengganggu kelangsungan ekonomi digital negara.
Kesimpulanya, sinergi antara digitalisasi, automasi dan keselamatan siber sangat penting dalam membentuk ekosistem teknologi yang mampan dan selamat di Malaysia. Belanjawan 2025 membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan digital yang holistik, di mana pemodenan teknologi bergerak seiring dengan peningkatan langkah keselamatan siber. Gabungan ini akan membantu Malaysia menjadi pemain utama dalam ekonomi digital dan menyediakan infrastruktur yang kukuh untuk pertumbuhan teknologi di masa hadapan. Dengan langkah yang menyeluruh ini, Malaysia bersedia untuk menjadi negara digital yang maju dan selamat menjelang 2030.
Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar,
Pensyarah Kanan,
Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web,
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)