Oleh Sr. Dr. Mohd Hafizal Ishak
BATU PAHAT, 4 Nov 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), melalui Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), telah menerima akreditasi semula daripada Royal Institution of Chartered Surveyors (RICS) bagi program Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah untuk tempoh lima tahun, bermula 2024 hingga 2028.
Akreditasi itu mencerminkan pencapaian UTHM dalam mengekalkan standard pendidikan bertaraf antarabangsa, serta memenuhi kriteria global dalam bidang pengurusan harta tanah. Dengan pengiktirafan ini, pelajar kini dapat memperoleh pendidikan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, memberi nilai tambah kepada prospek kerjaya mereka dalam industri yang kompetitif.
Lawatan akreditasi semula RICS telah berlangsung pada 30 April 2024 lalu, yang mana UTHM telah menerima kunjungan rasmi dari wakil RICS sebagai sebahagian daripada proses akreditasi semula program tersebut.
Lawatan dan pertemuan yang diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah itu turut melibatkan pemantauan terhadap penyampaian program, fasiliti, maklumbalas dari majikan dan juga alumni di bawah Jabatan Pengurusan Harta Tanah.
UTHM diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin manakala penilai akreditasi RICS pula diwakili Mr. Nick Inatey, Ketua Operasi Penilaian untuk Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah dan Amerika, bersama pakar akademik, Prof. Dr. Yu Shi Ming dari National University of Singapore dan Prof. Dr. Lynne Armitage dari Bond University, Australia.
Hadir sama, Prof. Madya Rosli Omar, Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik; Prof. Madya Ts. Dr. Rafikullah Deraman, Ketua Jabatan Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik, Dekan FPTP, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri; Prof. Madya Dr. Azlina Md Yassin, Timbalan Dekan Akademik; Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan; Dr. Anim Zalina Azizan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni; penyelaras akreditasi RICS-UTHM, Prof. Sr. Dr. Rozilah Kasim dan Ketua Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Gs. Dr. Edie Ezwan Mohd Safian.
Penilaian oleh RICS merangkumi pelbagai aspek seperti kesesuaian kurikulum dengan keperluan industri, kemudahan pembelajaran, pengaplikasian teknologi terkini dan sokongan terhadap pelajar serta tenaga pengajar.
Menurut Dr. Shafie, RICS turut berpuas hati dengan struktur akademik komprehensif yang disediakan UTHM, yang selaras dengan perkembangan teknologi semasa dan memenuhi kehendak industri.
Fasiliti canggih seperti makmal, bilik kuliah dan sumber pembelajaran digital juga dikatakan mematuhi standard RICS, sekali gus mengukuhkan reputasi UTHM sebagai institusi pendidikan unggul dalam bidang ini.
“Pengiktirafan RICS ini membuktikan komitmen UTHM untuk terus menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan berdaya saing.
“Graduan dari program ini dijangka akan lebih kompetitif dan memiliki kelebihan di pasaran pekerjaan tempatan dan antarabangsa,” katanya.