BATU PAHAT – Sekumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), bersama pelajar PhD seliaan beliau, Norhidayah Haris telah berjaya menemui spesies primat yang hampir pupus iaitu Lotong Cenekah (Presbytis femoralis) di negeri Pahang.

Penemuan iTU telah disahkan secara saintifik melalui penerbitan mereka bertajuk “Ethnoprimatology reveals new extended distribution of critically endangered banded langur Presbytis femoralis (Martin, 1838) in Pahang, Malaysia: Insights from indigenous traditional knowledge and molecular analysis” yang telah diterbitkan di jurnal terkemuka dunia iaitu American Journal of Primatology (Kuartil Q1 Web of Science) pada awal November 2024 lalu.

Menurut Dr. Latiff, kajian itu telah berjaya mengesahkan kehadiran spesies Lotong Cenekah secara saintifik di beberapa kawasan di negeri Pahang yang tidak pernah direkodkan sebelum ini melalui teknik etnozoologi, pemerhatian dan analisis perbandingan DNA dengan Lotong Cenekah di negeri Johor.

Untuk rekod, beliau dan pasukan telah menjalankan kajian ke atas spesies Lotong Cenekah itu sejak tahun 2015 kerana ancaman kepupusan dan jumlah populasi spesies itu yang sangat kecil.

Spesies itu sebelum ini hanya direkodkan di Johor dengan anggaran populasi sebanyak 500 ekor dan populasi yang kecil sebanyak 70 ekor di Singapura, yang tidak dapat ditemui di kawasan lain.

“Penemuan ini bermula ketika saya dilantik sebagai ahli Task Force Penilaian Kelestarian Biosfera Tasik Chini di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM), yang diketuai oleh Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Mohd Tajuddin Abdullah.

“Sebagai salah satu instrumen penilaian, saya dan pasukan telah menjalankan kajian etnozoologi atau kajian melibatkan interaksi antara masyarakat Orang Asli dengan hidupan liar.

“Masyarakat Orang Asli Jakun di Tasik Chini turut memaklumkan bahawa terdapat Lotong Cenekah di Tasik Chini dan maklumat yang sama telah diterima daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), sebelum pihak kami melihat perkara itu dengan lebih teliti,” katanya.

Oleh kerana Lotong Cenekah mempunyai kelakuan yang sangat pemalu dan sering melarikan diri apabila mengetahui kehadiran manusia, usaha untuk menjalankan pemerhatian yang komprehensif dan sampel Deoxyribonucleic Acid (DNA) daripada najis bagi pengesahan di makmal perlu dilakukan dengan teliti dan berkala.

Penyelidikan berterusan yang telah dijalankan oleh Dr. Latiff dan pasukan di beberapa kawasan di Pahang termasuk di Tasik Chini, Tasek Bera, Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Krau dan beberapa kawasan lain turut dibantu oleh pihak Jabatan Perhilitan, Majlis Biodiversiti Pahang (MBP) dan Profesor Dr. Badrul Munir Md Zain dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kajian yang telah dijalankan dengan dana yang diterima dari Kementerian Pengajian Tinggi melalui geran penyelidikan FRGS itu membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengesahkan penemuan tersebut.

Lotong Cenekah atau nama saintifiknya Presbytis femoralis merupakan spesies primat pemakan daun yang dikategorikan sebagai sangat terancam atau Critically Endangered (CR) di bawah Senarai Merah Spesies Terancam (Redlist of Threatened Species) Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (International Union for Conservation – IUCN).

Lotong cenekah yang merupakan salah satu dari 25 spesies primat yang bertaburan di Malaysia terdedah kepada pelbagai ancaman, antaranya ialah kemusnahan habitat dan pemburuan haram.

Lotong Cenekah itu juga sering disamakan dengan Lotong Celak yang mempunyai taburan yang lebih luas di Semenanjung Malaysia hingga Selatan Thailand yang menyebabkan masyarakat sering menganggap kedua-dua spesies ini adalah sama.

Ciri fizikal yang paling jelas untuk masyarakat umum membezakan kedua-dua spesies ini ialah Lotong celak memiliki warna putih di sekeliling mata yang jelas dan bulu anak yang baru lahir berwarna kuning keemasan, berbeza dengan Lotong Cenekah dengan pewarnaan mata dan anak yang baru lahir mempunyai bulu yang berwarna kelabu.

Selain itu, spesies Lotong Cenekah juga sering dianggap sama dengan spesies Lotong yang lain yang boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia seperti Lotong Kakoh, Lotong Kekeh dan Lotong Kelabu.

Ini adalah kerana di Semenanjung Malaysia, kesemua spesies ini dirujuk dengan nama Lotong secara umum dan sering menyebabkan kekeliruan.

“Sebagai salah satu adaptasi untuk mengatasi masalah kemusnahan habitat dan kekurangan sumber makanan semula jadi, Lotong Cenekah sering memasuki kebun dan kawasan pertanian seperti kebun getah dan buah-buahan  untuk memakan pucuk dan daun muda sebagai sumber makanan.

“Kelakuan Lotong Cenekah ini telah menimbulkan konflik bersama manusia dan dianggap sebagai musuh tanaman,” ujarnya lagi.

Penemuan itu memberi nafas baharu dalam usaha pemuliharaan Lotong Cenekah di Malaysia kerana ia membuktikan habitat spesies ini lebih besar daripada anggaran sebelumnya iaitu hanya di Johor dan Singapura.

Masih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk spesies Lotong Cenekah ini seperti kajian ekologi, kelakuan, genetik mahupun konflik manusia-hidupan liar.

Malah, kajian itu mencatat sejarah baharu bagi kajian interaksi Orang Asli dan Biodiversiti di Malaysia, sekali gus sebagai usaha pemuliharaan spesies dan memahami interaksi Orang Asli dan hidupan liar di negara ini.

Salah satu ekspedisi pasukan Dr. Latiff dan para pelajar di bawah seliaan beliau selama tujuh hari di Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Pahang bagi menjalankan kajian mengenai primat, hidupan liar dan Orang Asli.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Buletin Tv3 (buletintv3.my), 20 November 2024: Spesis hampir pupus, ‘Lotong Cenekah’ ditemui di Pahang

https://www.buletintv3.my/nasional/spesis-hampir-pupus-lotong-cenekah-ditemui-di-pahang/

 

2. New Straits Times (nst.com.my), 20 November 2024: Critically endangered monkey spotted in Pahang

https://www.nst.com.my/news/nation/2024/11/1137149/critically-endangered-monkey-spotted-pahang