Oleh Ts. Dr. Roslinda Ali

Sebagai tanda prihatin universiti terhadap masyarakat, Kelab Sukarelawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘Pejuang Jalanan’ yang diadakan bermula 30 Oktober hingga 1 November 2024 bertempat di sekitar Bangi dan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Program Pejuang Jalanan yang melibatkan 26 penuntut dan 2 pegawai itu diadakan bagi memberi bantuan bukan sahaja secara langsung tetapi menyeluruh kepada golongan gelandangan yang terpaksa menjalani kehidupan di jalanan tanpa sebarang perlindungan atau sokongan yang mencukupi.

Penganjuran program itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Pertubuhan Yayasan Ikhlas Cawangan Selangor dan Pertubuhan Jejak Jalanan.

Menurut penasihat kelab, Ts. Dr. Roslinda Ali selain memberi bantuan berbentuk makanan dan keperluan asas peribadi, pihaknya cuba mendekati golongan tersebut untuk memahami latar belakang dan cabaran hidup yang mereka hadapi.

“Melalui interaksi yang berterusan, kami harap ia dapat membantu mereka bukan sahaja dari segi emosi dan mental, malah dapat memberi sokongan moral yang diperlukan agar mereka dapat bangkit semula dan kembali kepada masyarakat,” katanya.

Tambah Dr. Roslinda, melihat kepada latar belakang golongan itu, mereka sebelumnya pernah mengalami cabaran hidup yang besar seperti muflis, penipuan, terjebak dengan gelaja negatif sehingga kehilangan keluarga, harta benda dan hanya tinggal sehelai sepinggang.

“Oleh itu, kita sebagai golongan yang bernasib baik ini harus mewujudkan satu sistem sokongan yang kuat kepada golongan ini agar mereka mendapat peluang untuk memulakan kehidupan yang baharu,” katanya.

Selain itu, tenaga pengajar UTHM juga turut mengambil kesempatan mengadakan sesi pemindahan ilmu berkaitan amalan pengasingan sisa di punca dengan kaedah yang betul.

Para peserta program diberikan taklimat berkaitan amalan Reduce, Reuse dan Recycle (3R) dan kaedah mentransformasikan sisa kepada harta melalui pembuatan ecobrick daripada sisa plastik dan juga penghasilan sabun daripada sisa minyak masak kelapa sawit.

“Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat memberi kesedaran dan peluang pekerjaan kepada mereka untuk menjana pendapatan dari sisa buangan isi rumah,” tambah Dr. Roslinda.