Pernahkah anda menghabiskan masa di dalam bangunan dan berasa kurang selesa apabila timbul masalah seperti sukar bernafas, sakit kepala, gatal pada kulit atau seumpamanya. Berkemungkinan kualiti udara dalaman bangunan anda tidak ideal lantas menyumbang kepada simptom tidak selesa ini.

Sebagaimana kita bimbang dengan udara persekitaran kita semasa masalah jerebu melanda, kita juga perlu mengambil berat kualiti udara dalaman bangunan. Bahkan kualiti udara dalaman adalah lebih penting atas faktor aktiviti harian kita hampir 90% di habiskan di dalam bangunan. Namun kesedaran masyarakat mengenai kualiti udara dalaman masih rendah.

Kualiti udara dalaman yang teruk boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti kesan alahan dan asma akibat pendedahan kepada bahan pencemar seperti habuk dan kulat, ketidakselesaan akibat kesejukan melampau, penyakit berjangkit melalui udara dan simptom-simptom daripada ‘Sindrom Bangunan Sakit’ seperti pening dan sakit kepala, keletihan melampau mahupun masalah kulit.

Kualiti udara dalaman yang tidak baik akan menyumbang kepada ketidakselesaan, kesan kepada kesihatan, ketidakhadiran kerja dan produktiviti yang rendah. Kualiti udara dalaman yang baik akan menyumbang kepada kesihatan yang baik, sekali gus menyumbang kepada keselesaan dan kesejahteraan penghuni bangunan. Kesan-kesan dan impak kesihatan seperti ini akan menyumbang kepada perbelanjaan rawatan perubatan, cuti sakit dan kurangnya produktiviti kepada penghuni-penghuni bangunan berkenaan.

Antara aspek yang mempengaruhi kuaIiti udara dalaman adalah suhu, kelembapan relatif, kulat, bakteria, pengudaraan yang tidak baik dan juga pendedahan kepada bahan cemar kimia. Bahan cemar kimia termasuklah karbon monoksida (rokok, dapur gas), formaldehid (perabot, bahan binaan, rokok elektronik), ozone (mesin fotokopi dan pencetak laser), zarah-zarah kecil yang menggangu pernafasan (habuk, bulu haiwan peliharaan) dan sebation organik meruap (cat, bahan pencuci). Kebanyakan bahan cemar ini secara dasarnya tidak boleh dikesan oleh mata kasar, menyebabkan kualiti udara dalaman sukar dipastikan.

 

Adakah perlu uji udara persekitaran kita?

Pengujian kualiti udara dalaman memerlukan kepakaran dan alatan yang sesuai dengan kos yang agak tinggi. Anda boleh mula dengan melakukan penyiasatan amatur dengan mengesan sebarang tanda-tanda nyata yang boleh dilihat dalam bangunan anda, seperti dinding/ siling yang berkulat, bau yang tidak menyenangkan, kelembapan dan suhu yang terlalu rendah. Anda juga perlu cakna dengan sumber-sumber bahan cemar tersebut atau sebarang perubahan dalam bangunan tersebut, seperti perabot kayu komposit yang baru dibeli, dinding yang baru dicat, pertambahan haiwan peliharaan, bahan pencuci atau pewangi dan pembersih bangunan yang digunakan.

Kenali juga sebarang simptom yang dihidapi seperti batuk, sesak nafas, berdehit atau sakit kepala kronik ketika berada di dalam sesuatu bangunan dan simptom tersebut hilang apabila keluar daripada bangunan tersebut. Secara drastik, anda juga boleh meninggalkan bangunan selama beberapa minggu dan melihat sekiranya semua simptom yang dialami berkurangan.

Langkah-langkah berikut dapat memberikan kefahaman kepada anda tentang kualiti udara dalaman bangunan anda dengan cara yang lebih mudah tanpa sebarang kos.

 

Penyelesaian mudah

Berita baiknya ialah, sebahagian besarnya terdapat cara yang selamat dan berpatutan untuk memastikan kualiti udara dalaman yang baik. Selalunya mudah untuk mengenali masalah itu dan mengambil langkah untuk menyelesaikannya sendiri, sama ada mencairkan kepekatan produk pencuci, membersihkan habuk secara kerap dan membersihkan tempat yang berkulat. Kekalkan kelembapan relatif di bangunan anda antara 30 hingga 50 peratus. Pasanglah pengesan karbon monoksida dan juga sensor kelembapan sebatian organik yang mudah menguap (VOC) dalam bangunan serta pembersih udara mudah alih di dalam bilik.

Masalah kulat di bilik air dapat diatasi dengan menghidupkan kipas bilik mandi apabila anda berada di situ dan membiarkan ia beroperasi selama 20 minit selepas itu untuk mengurangkan kelembapan dan mencegah pertumbuhan kulat dan bakteria. Semasa anda memasak, hidupkan kipas ekzos untuk mengeluarkan asap. Langkah-langkah ini tenyata lebih mudah dan praktikal.

 

Mendapatkan  penilaian kualiti udara dalaman

Jika penyiasatan amatur masih membuatkan anda buntu, apakah langkah seterusnya yang perlu anda lakukan? Sekiranya ada mempunyai sumber kewangan, anda boleh mencari  pakar kualiti udara dalaman yang boleh mendiagnosis rumah anda dari bumbung ke lantai, kemudian selesaikan sebarang isu. Malangnya, walaupun terdapat pakar umum yang mungkin boleh menjalankan penilaian yang umum, anda mungkin memerlukan pakar bagi melihat kulat, kelembapan, karbon monoksida atau bahan pencemar lain untuk menangani sebarang masalah yang serius.

Apabila anda menemu bual seorang penilai kualiti udara dalaman yang berpotensi, pastikan anda menyelidiki latar belakang mereka seperti; berapa lama anda berada dalam industri ini? Adakah anda akan mempunyai kepakaran menyelesaikan spektrum penuh isu kualiti udara dalaman, atau hanya fokus kepada beberapa parameter? Apakah pensijilan yang anda pegang? Adakah anda akan bersedia untuk berunding selepas laporan masuk untuk mentafsir keputusan? Adakah anda akan tersedia selepas sebarang kerja dilakukan untuk mengesahkan masalah itu benar-benar telah diperbaiki? Kos bagi penilaian dan penyelesaian sebarang isu akan berbeza mengikut tempat, masalah, saiz bangunan dan kaedah untuk menghapuskan bahan cemar.

Kesimpulannya, kesedaran mengenai kualiti udara dalaman dapat meningkatkan kesihatan yang baik kepada penghuni bangunan sekali gus menyumbang kepada keselesaan, kesejahteraan dan produktiviti. Sedikit pengetahuan dalam bidang ini dapat memberikan penyelesaian yang mudah dan praktikal kepada pemunya dan penghuni bangunan._Foto: thevocket.com

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Azian Hariri

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Profesor Madya Dr. Nor Amani Filzah Mohd Kamil

Jabatan Kejuruteraan Awam

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Harian Metro (muka surat: 14), 24 Oktober 2024: Kualiti udara teruk undang sakit 

 

2. MyMetro (hmetro.com.my), 24 Oktober 2024: Kualiti udara teruk undang sakit 

Kualiti udara teruk undang sakit