Dalam landskap kelestarian global yang semakin berkembang, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) boleh jadi pemangkin revolusi ekonomi kitaran. PMKS yang mempunyai tahap fleksibiliti dan daya inovatif yang tinggi, berada dalam kedudukan yang unik untuk mendorong perubahan alam sekitar menerusi model ekonomi kitaran. PMKS yang terlibat dalam sistem makanan, pembuatan dan alam bina adalah antara yang berpotensi besar untuk melaksanakan ekonomi kitaran ini.
Ekonomi kitaran
Ekonomi kitaran adalah sistem ekonomi yang bertujuan untuk meminimumkan sisa dan memaksimumkan penggunaan sumber. Pendekatan ini berbeza dengan ekonomi linear tradisional, yang menggunakan konsep ‘ambil, buat, buang’. Dengan menimbangkan semula kitaran hayat produk, ekonomi kitaran boleh mewujudkan sistem tertutup yang mana produk, bahan dan sumber dapat digunakan semula, dibaiki, diperbaharui, dikitar semula selama mungkin. Secara umumnya, ekonomi kitaran membolehkan sisa dikembalikan ke dalam kitaran pembuatan sebagai input untuk produk baharu atau memperbaharui penjanaan tenaga serta berusaha untuk mengekalkan nilai sebenar produk. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan sisa tetapi juga memelihara sumber semula jadi dan meminimumkan kesan terhadap alam sekitar. Model ini dilihat lebih mampan dalam menyokong pembangunan ekonomi dan Revolusi Industri Keempat. Ini kerana, ekonomi kitaran mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kecekapan sumber, persaingan dan inovasi perniagaan.
Pendirian kerajaan dalam ekonomi kitaran
Di Malaysia, momentum untuk memupuk ekonomi kitaran disokong dalam pewujudan pelbagai polisi dan dasar Kerajaan menerusi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Misalnya, Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), telah memberi penekanan untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi kitaran sebagai tindak balas kritikal terhadap agenda kemampanan dan kelemahan ekonomi linear tradisional. Sementara itu, Pelan Strategik Perniagaan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia 2022–2030, telah mengemukakan panduan kepada PMKS untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai Environmental, social, and governance (ESG) dan peluang dalam ekonomi kitaran. Antara polisi kerajaan yang lain yang menyentuh ekonomi kitaran termasuklah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030, Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 dan Dasar Kebersihan Negara 2020-2030.
Di sebalik trend mega global ke arah ekonomi kitaran, laporan jurang pengitaran global, 2024 oleh Delloite menyatakan dalam tempoh enam tahun lepas, penduduk dunia telah menggunakan lebih daripada 500 bilion tan bahan, yang mana jumlah ini hampir bersamaan dengan bahan yang digunakan sepanjang abad ke-20. Tambahan lagi, sebilangan besar bahan mentah yang masuk ke dalam ekonomi merupakan bahan baharu dan bukan bahan-bahan sekunder atau dikitar semula. Oleh itu, perubahan signifikan perlu dibuat bagi memastikan matlamat untuk melaksanakan ekonomi kitaran tercapai.
PMKS memimpin perubahan
Di Malaysia, PMKS membentuk 98.5% daripada penubuhan perniagaan. Ini menjadikan PMKS berada di barisan hadapan transformasi ke arah ekonomi kitaran. Saiz mereka yang lebih kecil membolehkan fleksibiliti dan penyesuaian dengan lebih cepat kepada model perniagaan baharu. Di Malaysia, beberapa PMKS telah mengorak ke arah ekonomi kitaran contohnya dalam industri pengurusan sisa, pembuatan, pembungkusan, pembinaan, fesyen dan tekstil serta pertanian. Namun begitu, statistik tahap peratusan masih di tahap yang rendah. Dengan mengamalkan beberapa strategi yang berkesan, PMKS boleh menyertai usaha untuk memperkasakan ekonomi kitaran. Antara langkah yang boleh diambil adalah seperti berikut:
Memahami Aliran Rantaian Bekalan Bahan
Dengan memahami di mana sisa dihasilkan, PMKS boleh mengenal pasti peluang untuk meminimumkan sisa. Ini melibatkan analisis menyeluruh terhadap keseluruhan rantaian bekalan untuk mengenal pasti di mana berlaku pembuangan dan peluang untuk penambahbaikan.
Mengenal pasti Peluang Kerjasama
Salah satu strategi utama untuk PKS dalam ekonomi kitaran adalah kerjasama. Dengan bekerjasama dengan syarikat lain, PKS dapat mencari cara inovatif untuk menggunakan semula bahan sisa. Ini bukan sahaja mengurangkan kesan alam sekitar tetapi juga membuka aliran pendapatan baharu. Sebagai contoh, sebuah firma pembuatan kecil mungkin bekerjasama dengan perniagaan pertanian tempatan untuk menggunakan sisa organik sebagai bahan mentah untuk produk berasaskan bio.
Memanfaatkan Platform Digital
PMKS boleh menggunakan platform digital untuk membeli, menjual, atau menukar bahan dan produk lebihan. Pasaran digital boleh menyediakan ruang untuk perniagaan mencari kegunaan baharu bagi barang-barang lebihan, yang dapat mengurangkan sisa dan meningkatkan kecekapan sumber.
Meningkatkan Amalan Lestari
Dengan melaksanakan amalan lestari termasuk mengurangkan penggunaan tenaga dan bahan mentah, serta menubuhkan program kitar semula dan pengurangan sisa bukan sahaja membantu alam sekitar tetapi juga menjimatkan kos.
Model Perniagaan yang Inovatif
Mengamalkan model perniagaan inovatif seperti produk-sebagai-perkhidmatan, platform perkongsian dan skim pengambilan semula boleh meningkatkan lagi pengoptimuman sumber. Model ini menggalakkan perniagaan untuk memikirkan semula proses tradisional dan mencari cara baru untuk mengurangkan sisa.
Walaupun berpotensi, PMKS menghadapi beberapa cabaran dalam beralih kepada ekonomi kitaran. Ini termasuk sumber kewangan yang terhad, kekurangan kepakaran teknikal dan halangan peraturan. Walau bagaimanapun, dengan sokongan dan insentif yang betul, halangan ini dapat diatasi. Kerajaan dan badan industri perlu mengiktiraf keperluan untuk menyokong PMKS melalui geran, program latihan dan rangka kerja dasar yang menggalakkan amalan mampan.
Dengan memainkan peranan penting dalam ekonomi kitaran dan agenda kelestarian, PMKS berpeluang untuk memupuk inovasi, daya saing dan pendapatan. Apabila lebih banyak PMKS menyertai ekonomi kitaran, kesan kolektif dalam mengurangkan sisa dan memelihara sumber akan menjadi lebih besar. Kesimpulannya, perusahaan kecil bukan sahaja peserta dalam ekonomi kitaran, malah mereka juga adalah perintis. Keupayaan mereka untuk berinovasi, bekerjasama dan menyesuaikan diri menjadikan mereka pihak yang penting dalam usaha untuk mewujudkan masa depan yang lebih lestari._Foto hiasan:UtusanTV
Prof. Madya Dr. Kamilah Ahmad
Jabatan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 4 Oktober 2024: PMKS BOLEH JADI PERINTIS REVOLUSI EKONOMI KITARAN