BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi membuktikan komitmen mereka terhadap kelestarian tenaga dengan kejayaan pelaksanaan projek ‘Automasi dan Pemantauan Tenaga bagi sistem Pengudaraan Mekanikal dan Penyaman Udara (MVAC)’ yang pertama di kampus.

Projek yang bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), kampus induk itu mengambil masa 12 bulan untuk dilaksanakan secara dalaman mengunakan khidmat kepakaran sekumpulan penyelidik UTHM.

Projek tersebut menggunakan teknologi canggih seperti sistem Supervisory Control and Data Acquisition (SCADA) dan Internet of Things (IoT) bagi membolehkan pemantauan tenaga dilakukan secara masa nyata serta kawalan automatik terhadap operasi MVAC.

Projek itu dilaksanakan bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga serta meminimumkan keperluan operasi manual sistem MVAC PPTA seperti yang dilakukan sebelum ini.

Melalui integrasi teknologi SCADA dan IoT, pengurusan bangunan tersebut kini dapat mengawal tetapan suhu serta masa operasi MVAC dengan lebih efisien, dari mana-mana sahaja.

Menurut ketua projek, Dr. Ramhuzaini Abd Rahman sistem baharu ini diharap dapat membantu universiti mencapai pengiktirafan 3-Bintang Energy Management Gold Standard (EMGS).

“Pengiktirafan ini akan menjadikan UTHM antara institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang mempelopori pengurusan tenaga secara pintar, selari dengan kemajuan teknologi Revolusi Industri 4.0.

“Projek ini dijangka membantu memberikan penjimatan kos tenaga yang signifikan serta mengurangkan jejak karbon universiti,” katanya.

Dengan kapasiti yang boleh menampung lebih 300,000 buku dan 3,000 pengguna pada satu-satu masa, PTTA kini bukan sahaja akan dikenali sebagai pusat sumber ilmu, tetapi juga sebagai contoh terbaik dalam amalan pengurusan tenaga yang mampan.

UTHM berharap kejayaan projek ini dapat dijadikan model bagi universiti-universiti lain di Malaysia dalam usaha mereka mencapai kelestarian tenaga serta membantu dalam menyumbang kepada persekitaran yang lebih hijau.

 

Senarai penyelidik yang terlibat:

  1. Ramhuzaini Abd Rahman (ketua projek)
  2. Mohamad Md Som
  3. Azli Yusop
  4. Maizul Ishak

 

Paparan utama dashboard SCADA dan perisian mudah alih IoT yang dibangunkan.