Oleh Anis Nasuha Ghazali dan Munirah Mohd Yusof

GUNUNG ULU SEPAT – Dalam menghayati keindahan alam semula jadi, 27 pendaki Kelab Kembara, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menawan puncak  Gunung Ulu Sepat yang terletak di Tasik Temenggor, Perak pada 9 hingga 12 Oktober 2024 lalu.

Penjelajahan yang mengambil tempoh tiga hari dua malam itu terdiri daripada empat pengiring yang diketuai Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Munirah Mohd Yusof selaku penasihat kelab, enam alumni dan 17 ahli kelab serta mereka turut dibantu oleh tiga malim gunung yang berpengalaman.

Dengan ketinggian 2161 meter yang melebihi 7000 kaki, Gunung Ulu Sepat termasuk dalam senarai gunung G7 yang merujuk kepada tujuh gunung.

Ciri-ciri itu sudah pasti memberikan cabaran yang cukup besar kepada para peserta dalam usaha  menjelajah gunung tersebut.

Pengarah program, Maisara Batrisya Asmadi berkata biarpun mereka berhadapan dengan cabaran yang luar biasa, namun alasan itu tidak mematahkan semangat mereka dalam mencari pengalaman untuk menimba ilmu dan menghayati keindahan gunung tersebut.

“Dengan adanya kerjasama yang kuat antara para peserta sudah pasti kami akan berjaya dalam ekspedisi kali ini,” katanya.

Perjalanan dimulakan dengan menaiki ‘houseboat’ dari jeti awam Tasik Banding untuk menuju ke jeti perkampungan orang asli Pos Kemar yang mengambil masa selama lima jam.

Setibanya di jeti mereka disambut dengan kenderaan pacuan empat roda yang akan membawa para peserta ke trek permulaan pendakian selama 30 minit yang terletak di Kampung Lerlar, Pos Kemar.

Setelah mengharungi pendakian hampir lima jam, para peserta tiba di pondok orang asli Kem Sungai Leweng.

Di situlah para pendaki akan berkumpul selama satu malam untuk mengumpul semula tenaga sebelum pendakian ke puncak bermula.

Keesokannya, para peserta mengambil masa hampir lima jam perjalanan ke Gunung Ulu Sepat.

Para peserta memulakan  pendakian dengan liku yang licin, meredah kolam berlumpur dan trek yang memacak.

Walau bagaimanapun, bentuk muka bumi yang cantik di sekeliling trek mendaki juga memberikan motivasi kepada para peserta untuk meneruskan pendakian sehingga ke puncak.

Sepanjang perjalanan, peserta juga disajikan dengan pemandangan hutan yang redup dan sejuk serta kehijauan lumut atau dipanggil ‘mossy forest’ yang menambahkan lagi seri landskap padangan.

Pendakian mereka selepas lima jam disambut dengan panorama yang cukup indah sehingga penat lelah tidak lagi dirasai oleh para peserta.

Tambah Maisara, ekspedisi kali ini banyak mengajar mereka untuk saling bekerjasama dan memudahkan apa yang dirasakan sukar.

“Oleh itu, kami membuat persediaan rapi dari sudut fizikal dan mental supaya kecederaan yang serius dapat dielakkan.

“Diharapkan dengan ekspedisi ini, para peserta dapat mencabar diri mereka dan keluar daripada zon selesa masing-masing, sekali gus dapat merasai satu pengalaman berharga yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya.