Oleh Ts. Dr. Peniel Ang Soon Ern, Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menerima anugerah ‘Future Pillar of The Year Award (Architecture, Engineering and Construction)’ ketika menyertai pertandingan Autodesk ASEAN Innovation Awards 2024 yang diadakan di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 26 Ogos 2024 lalu.

Kedudukan terbaik UTHM itu telah diiktiraf melalui bidang Building Information Modelling (BIM) di bawah kelolaan Ketua Perunding Professional Industry Training Centre (PiTC), Ts. Dr. Peniel Ang Soon Ern daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

Pertandingan itu menyaksikan persaingan sengit antara 187 penyertaan pelbagai organisasi dari enam negara ASEAN iaitu Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, Thailand dan juga Malaysia.

Menurut Ts. Dr. Peniel Ang Soon Ern, beliau bersama pasukan PiTC, UTHM mendapat sokongan penuh daripada rakan industri Bina Initiatives Sdn. Bhd. sebagai Authorized Training Center (ATC) di Malaysia.

“Industri ini telah mempamerkan komitmen jangka panjang semenjak tahun 2019 dalam mengintegrasikan perisian Autodesk Revit ke dalam kurikulum pelajar.

“Inisiatif ini dilaksanakan melalui penganjuran program-program latihan, pensijilan dan pembangunan modul Autodesk Revit untuk kegunaan bilik darjah.

“Selain itu, projek-projek inovatif dalam kurikulum dan penyelidikan dari peringkat sarjana muda sehingga sarjana yang dilaksanakan telah berjaya menarik perhatian para hakim dari pelbagai negara, sekali gus membezakan UTHM dengan para peserta lain,” katanya.

Projek yang dipertandingkan bertajuk ‘Empowering Tertiary Education with Autodesk Integration’ memperlihatkan kesungguhan dan komitmen beliau, yang mana PiTC telah berjaya melahirkan lebih 1000 orang kompeten dalam bidang BIM.

Dr. Peniel turut berterima kasih di atas sokongan padu daripada rakan-rakan PiTC yang menjadi tulang belakang selama ini.

“Terima kasih juga kepada FTK telah memberi kepercayaan penuh kepada PiTC untuk mengembangkan BIM kepada pelajar UTHM, alumni dan masyarakat setempat.” Tambah beliau.

Hadir sama ke majlis tersebut, Dekan FTK, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor bagi meraikan kejayaan itu.

“Pihak fakulti mengucapkan tahniah kepada Dr. Peniel serta pasukan PiTC dan Bina Initiatives Sdn. Bhd. atas komitmen mereka selama ini dalam meningkatkan standard pendidikan tinggi dengan menerapkan kemahiran perisian BIM sebagai nilai tambah kepada graduan UTHM,” katanya.