Rukun Negara adalah ideologi rakyat Malaysia yang diisytiharkan setelah berlakunya sejarah hitam negara iaitu peristiwa rusuhan 13 Mei 1969. Pengisytiharannya adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Perpaduan ini menjadi aspirasi negara Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang aman, harmoni dan sejahtera.
Salah satu objektif utama Rukun Negara adalah untuk memupuk semangat taat setia dan kekitaan dalam kalangan rakyat di Malaysia terhadap negara dengan diperkukuhkan lagi dengan semangat perpaduan dan integrasi nasional. Kebimbangan hari ini seperti isu perkauman yang semakin mencabar, ketidaksamaan dan persaingan ekonomi, sikap tidak bertolak ansur dalam agama, ketidakseimbangan kewarganegaraan dan ketegangan berterusan terhadap dasar ekonomi dan kuota bumiputera; kesemuanya berpotensi melemahkan jati diri bangsa dan seterusnya memecahbelahkan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam menangani isu-isu ini, penekanan harus diberikan terhadap pemahaman yang mendalam tentang aspirasi yang dibawa oleh Rukun Negara.
Struktur sosial kepelbagaian kaum di Malaysia adalah bermula sejak pertengahan abad ke-19. Melalui kuasa penjajah, negara mengalami kedatangan warga asing yang secara drastik sekali gus mengubah bentuk komuniti masyarakat peribumi. Aliran masuk secara besar-besaran pendatang berbangsa Cina dan India dalam tempoh yang singkat telah menjadikan demografi etnobudaya negara sebagai salah satu sistem sosial yang paling kompleks di rantau ini.
Pengenalan dasar ‘pecah-dan-perintah’ oleh pentadbiran penjajah British telah menjarakkan lagi perbezaan sosioekonomi dan sosiobudaya antara kaum. Penjajahan berdekad-dekad mengakibatkan kesedaran perkauman yang dipolitikkan dalam komuniti masing-masing dan hampir tidak dapat dipisahkan. Persekitaran sosial sebegini menjadi suatu cabaran dalam mewujudkan perpaduan negara.
Pelbagai usaha bersepadu oleh kerajaan Malaysia dalam memupuk integrasi nasional telah dilaksanakan sejurus selepas negara mencapai kemerdekaan. Konsep ‘Bangsa Malaysia’ yang diisytiharkan pada penghujung 1990-an menjadi titik tolak usaha tersebut. Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memperkenal dan memperkasa idea tersebut secara meluas dengan menggariskan nilai toleransi, persefahaman dan rasa hormat bagi mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.
Percubaan ke arah integrasi sosial atau perpaduan nasional terhadap kepelbagaian kaum di Malaysia tidak sentiasa indah dan selesa sepanjang masa. Sebagai sebuah negara ‘muda’, Malaysia menghadapi pelbagai cabaran yang menjadi penghalang kepada pembinaan sebuah bangsa Malaysia yang berdaulat. Untuk menangani isu perpaduan nasional ini, ia memerlukan masa bagi negara untuk menyesuaikan diri dan meneliti punca-punca halangan yang wujud. Kajian-kajian sejarah mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi dalam usaha mencapai perpaduan sedikit sebanyak dapat memberikan panduan tentang apa yang berlaku semasa tahun-tahun awal pembentukan sesebuah negara dan realiti kontemporari yang sedang dihadapi.
Dalam usaha memperkasakan agenda perpaduan nasional, sejarah tidak seharusnya hanya menekankan kepentingan kemerdekaan sahaja, tetapi juga menggalakkan renungan dan pemahaman tentang bahaya yang mengancam perpaduan, terutamanya yang mungkin timbul daripada perpecahan antara pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan di Malaysia. Tambahan lagi, sejarah juga perlu mengambil kira dan menekankan tentang ancaman luar terhadap kemerdekaan dan keamanan Malaysia.
Malangnya, masih terdapat tafsiran yang kabur dan tidak jelas tentang sejarah, yang berpusat kepada kepercayaan bahawa satu kaum adalah lebih baik berbanding yang lain. Oleh itu, usaha memupuk keharmonian antara kaum sering dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan semata-mata, sedangkan hakikatnya ia harus bermula daripada masyarakat itu sendiri.
Tambahan pula, Rukun Negara yang menjadi ideologi perpaduan negara telah sekian lama seharusnya dilihat sebagai satu langkah untuk memelihara sebuah kemerdekaan. Sebagai panduan untuk mempromosikan keharmonian dan perpaduan nasional, Rukun Negara sebenarnya menyediakan nilai-nilai sosiobudaya berdasarkan keperluan dan impak masyarakat yang berbilang kaum dan budaya.
Nilai yang terkandung di dalam Rukun Negara harus disemai sebaik mungkin dengan penuh ikhlas, berstrategi dan tidak ‘hangat-hangat tahi ayam’. Sementara itu, kebersamaan kepelbagaian kaum perlu disifatkan sebagai satu aspek yang harus dihargai dan dicontohi terutamanya apabila berlakunya penyatuan pemikiran dan hati seluruh rakyat suatu ketika dahulu sehingga negara dapat mencapai kemerdekaan.
Mohd Nur Syufaat Jamiran
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Harian (muka surat: 22), 15 Oktober 2024: Rukun Negara agenda perpaduan bangsa Malaysia merdeka