Oleh Prof. Madya Dr. Angzzas Sari Mohd Kassim
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Kecemerlangannya, Mikroelektronik dan Nanoteknologi Shamsudin (MiNT-SRC), Institut Integrasi Kejuruteraan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dan syarikat Nine G Solutions Sdn. Bhd. pada 13 Ogos 2024 bagi memajukan lagi bidang nanoteknologi dan inovasi hijau.
MoU tersebut sebagai langkah awal bagi kerjasama bidang penyelidikan, inovasi, perkongsian kepakaran, program sangkutan serta latihan industri.
UTHM diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad manakala Nine G Solutions pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Noorhana Yahya, sambil disaksikan oleh Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UTHM, Naim Maslan dan Ketua Pegawai Teknologi Nine G Solutions, Dr. Amir Rostami.
Kerjasama itu juga akan memberi tumpuan kepada memanfaatkan gabungan kepakaran dan sumber untuk mempercepatkan inovasi mampan dalam pengeluaran, aplikasi dan penyelidikan graphene.
Nine G Solutions, sebuah syarikat yang terkenal dengan kerja perintisnya dalam bidang nanoteknologi akan membawa kecanggihan teknologinya dalam sintesis graphene yang berkualiti tinggi dan kaedah pengeluaran mampan.
Sementara itu, UTHM melalui MINT-SRC pula akan menyumbang kemudahan penyelidikan yang luas dan kepakaran akademik dalam sains bahan dan kejuruteraan.
Kerjasama dua pihak itu dijangka akan memberi manfaat seperti dapat merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan bidang, memberi lebih tumpuan kepada kelestarian dan teknologi hijau serta membuka peluang kepada pelajar dan penyelidik UTHM memperoleh pengalaman praktikal di industri graphene sekali gus meningkatkan pembangunan akademik dan profesional mereka.
Kerjasama itu juga akan memupuk pembangunan produk dan teknologi inovatif, yang berpotensi membawa kepada usaha perniagaan baharu dan penciptaan pekerjaan dalam sektor teknologi tinggi, selain sebagai usaha meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran graphene global, yang akhirnya menyumbang kepada reputasi kecemerlangan teknologi dan inovasi negara.
Kerjasama UTHM-Nine G Solutions juga diharap dapat membuka laluan kepada pelbagai projek dan inisiatif inovatif bagi memupuk persekitaran kolaboratif yang membolehkan aktiviti penyelidikan, kreativiti dan kemajuan teknologi berkembang maju.
Maklumat lanjut layari website at https://www.uthm.edu.my.