KOTA KINABALU – Kontinjen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih tiga pingat emas, lima pingat perak dan lima gangsa ketika menyertai Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) Edisi ke-45 pada 8 hingga 17 Ogos 2024 lalu bertempat di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pungutan 13 pingat tersebut diraih melalui acara Berbasikal Wanita Senior & Veteran, Badminton Individu Lelaki Senior Badminton Beregu Lelaki Senior, Rejam Lembing Lelaki Veteran, Lempar Cakera Lelaki Veteran, 4x200m Wanita Veteran, Lontar Peluru Lelaki Veteran, 1500m Wanita Veteran dan 4x400m Wanita Veteran.

Kejohanan dwi tahunan itu menyaksikan sebanyak 23 acara dipertandingkan dengan 139 pingat ditawarkan kepada 20 kontinjen yang bertanding.

UTHM pada tahun ini telah menghantar 34 staf bagi mempertaruhkan nasib dalam beberapa kategori acara yang dipertandingkan.

Terdahulu, satu majlis penyerahan bendera kontinjen UTHM telah diadakan pada 5 Ogos lalu bertempat di perkarangan Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Pada majlis tersebut, Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim telah menyerahkan bendera kepada Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UTHM, Naim Maslan selaku Ketua Kontinjen SUKUM 2024.

Turut hadir semasa sesi penyerahan tersebut, Timb. Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin, Pengarah Pusat Sukan Universiti, Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh dan Pengerusi Kelab Staf UTHM, Prof. Ir. Dr. Yusri Yusof.

Dato’ Ruzairi berharap kejayaan itu bukan sahaja dapat menjadi kebanggaan kepada UTHM malah mampu memberi inspirasi kepada seluruh warga kampus untuk terus mencipta kejayaan pada masa hadapan.

Sementara itu, SUKUM Edisi ke-46 akan diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.