Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Mohd Nazrin Musling
Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia sekali lagi mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan sebagai ‘Penganjur Kempen Derma Darah Konsisten’ pada 17 Ogos 2024 lalu.
Anugerah tersebut telah disampaikan pada Majlis Apresiasi Penderma Darah & Penganjur Kempen Derma Darah, sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 peringkat daerah Muar yang berlangsung di Dewan Saujana, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Majlis itu diadakan bagi merai dan menzahirkan penghargaan kepada para penderma dan penganjur kempen derma darah, yang mana mereka diberi gelaran sebagai #muarbloodwarriors.
Bertemakan “20 Years of Celebrating Giving: Thank You Blood Donor”, majlis tersebut sebagai pengiktirafan kepada para penderma yang telah menderma darah secara sukarela tanpa mengharapkan balasan demi memastikan bekalan darah negara mencukupi.
Seramai 20 penderma darah dan 10 penganjur kempen derma darah telah dirai dalam majlis tersebut.
KKKP diwakili Dr. Mohd Faisal Hushim selaku penasihat program menerima plak penghargaan bagi kategori Penganjur Kempen Derma Darah.
Prihatin dengan keperluan golongan yang memerlukan, beberapa inisiatif dan tindakan proaktif telah diambil bagi menjadikan KKKP sebagai salah satu tunjang utama dalam penganjuran kempen derma darah itu.
Menurut Pengarah Program Kempen Derma Darah, Khairunnisa Muhammad merangkap Ahli Majlis Tertinggi, Majlis Kepimpinan Pelajar, mereka telah melaksanakan inisiatif seperti kempen kesedaran, hebahan maklumat dan program derma darah secara berkala, konsisten dan sistematik.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu pihak hospital dalam memenuhi keperluan bekalan darah, malah ia mampu memupuk nilai-nilai murni di dalam diri penderma,” katanya.
Sementara itu, Dr. Faisal pula berkata pihak KKKP sentiasa komited berkerjasama rapat dengan Unit Perubatan Tranfusi, HPSF bagi menjayakan program derma darah itu.
“Pihak KKKP dan HPSF meletakkan sasaran sekurangnya satu kali program dijalankan setiap bulan dengan sasaran kutipan beg darah tidak kurang 500 setahun.
“Pada tahun lalu, pihak kami telah mengadakan sebanyak 18 kali penganjuran kempen dengan 691 beg darah berjaya dikumpul.
“Program ini akan menjadi salah satu program berterusan kepada KKKP agar dapat memberi manfaat kepada individu atau organisasi yang memerlukan.
Di samping itu, usaha murni ini diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi dan motivasi serta pemangkin semangat perpaduan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, KKKP telah diiktiraf sebagai Penganjur Kempen Derma Darah Paling Komited peringkat kebangsaan buat kali kedua berturut-turut pada tahun 2022 dan 2023, Penganjur Kempen Derma Darah Paling Komited/Responsif Negeri Johor pada tahun 2022 dan Penganjur Kempen Derma Darah Dengan Kutipan Tertinggi pada tahun 2022.