Semakin ramai individu yang sedar akan kepentingan menjaga kesihatan mereka, dan masyarakat juga mula mengenali manfaat herba dalam mengurangkan risiko penyakit dan meningkatkan sistem imun. Ini menyebabkan permintaan yang lebih tinggi terhadap produk herba, yang mana ia dianggap sebagai alternatif semula jadi yang lebih selamat berbanding dengan ubat-ubatan kimia yang mungkin mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini. Namun begitu, antara isu utama dalam pengkomersilan produk herba berkualiti tinggi adalah melibatkan harga yang lebih mahal berbanding produk herba biasa atau konvensional. Sudah tentu persepsi harga ini akan mempengaruhi kuasa membeli dan penggunaan produk dalam kalangan masyarakat. Kadang-kadang, pengguna mungkin ragu untuk melabur lebih banyak wang dalam produk herba ini kerana ketidakpastian tentang nilai dan faedah yang diperoleh. Selain itu, persepsi harga yang tinggi juga boleh mempengaruhi keutamaan perbelanjaan pengguna. Sesetengah pengguna mungkin memilih untuk memperuntukkan bajet mereka kepada perkara lain yang dianggap lebih penting. Ini boleh mengurangkan minat dan permintaan terhadap produk herba bernilai tinggi.

Umum perlu mengetahui bahawa terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan harga produk herba berkualiti tinggi menjadi lebih mahal. Pertama adalah berkaitan dengan kualiti dan keaslian produk. Produk herba berkualiti tinggi sudah pasti akan menggunakan bahan mentah yang berkualiti tinggi dan dari sumber yang selamat. Sumber bahan mentah yang terhad atau sukar untuk diperoleh dan mungkin hanya tumbuh di kawasan tertentu sahaja memerlukan teknik penanaman dan penjagaan khusus. Ini secara tidak langsung akan menambah kos, seterusnya menyebabkan kenaikan harga produk, yang disebabkan permintaan yang tinggi tetapi bahan mentah yang terhad.

Selain itu, produk herba berkualiti tinggi menjadi lebih mahal kerana ia melibatkan proses pengeluaran yang teliti, serta pemprosesan yang tepat. Kerja-kerja penuaian pengeringan, ekstraksi, pemprosesan, pembungkusan dan penyimpanan merupakan proses penghasilan produk herba yang memerlukan pemantauan yang rapi dan penggunaan peralatan yang berteknologi tinggi. Sebagai contoh, pengekstrakan sebatian aktif dari tumbuhan memerlukan teknologi canggih dan peralatan makmal yang mahal untuk memastikan bahan yang diperoleh adalah asli dan mempunyai nilai terapeutik tinggi. Ini sudah pasti akan meningkatkan kos pengeluaran dan akhirnya mempengaruhi harga produk. Selain itu, produk herba berkualiti tinggi sering kali terlibat dengan proses pembangunan yang intensif seperti mengadakan ujian klinikal, memohon sijil dan juga kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ujian pra klinikal dan klinikal ke atas haiwan dan manusia juga dijalankan dalam beberapa fasa untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan produk. Ini pasti melibatkan kos yang sangat tinggi kerana memerlukan banyak sampel dan pemantauan rapi. Walaupun demikian, masyarakat perlu memahami bahawa semua proses ini adalah semata-semata untuk memastikan kebersihan, khasiat, kualiti dan kesan positif yang optimal dan ia adalah sangat berbaloi. Ini kerana penggunaan bahan mentah yang lebih teliti dan asli di samping proses pengeluaran yang lebih terkawal dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan akan memberi lebih banyak manfaat kesihatan kepada pengguna dengan cara yang lebih selamat dan terjamin.

Bagi memastikan produk herba berkualiti tinggi dapat dirasai oleh semua golongan masyarakat, pemain industri perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu ini. Antaranya ialah membina jaringan kerjasama yang erat antara pengeluar bahan mentah, pengeluar produk dan pengedar. Jaringan kerjasama ini membolehkan aliran yang lancar antara pihak-pihak yang terlibat dalam rantai bekalan herba. Dengan adanya kerjasama yang baik, waktu dan kos yang terlibat dalam proses penyediaan bahan mentah serta pengedaran produk dapat dikurangkan. Kedua, meningkatkan keberkesanan operasi dengan mengurangkan waktu dan kos yang diperlukan seperti penggunaan teknologi yang sesuai, sistem pengurusan inventori yang cekap, pengoptimuman penggunaan sumber daya seperti air dan tenaga elektrik, serta pemilihan kaedah pengeluaran produk yang lebih efisien.

Seterusnya ialah aktiviti penyelidikan dan inovasi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri herba. Kos produksi dapat diikurangkan dan kecekapan dapat ditingkatkan dengan mengembangkan kaedah pemprosesan yang lebih efisien, kaedah pengawetan produk yang lebih efektif dan semula jadi, mengenal pasti bahan mentah yang lebih berpatutan tetapi berkualiti tinggi, meningkatkan kaedah penanaman yang lebih efisien dan mampan, serta memanfaatkan teknologi automasi dan kawalan terkini. Penyelidikan dan inovasi berterusan membantu industri herba mengoptimumkan kualiti produk dengan kos produksi yang lebih rendah.

Selain itu, kesedaran pengguna mengenai manfaat dan nilai produk herba berkualiti tinggi juga perlu diberi keutamaan. Dengan memberikan maklumat yang jelas mengenai kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk, industri herba dapat membantu mengubah persepsi harga yang tinggi menjadi pelaburan yang berharga bagi kesihatan dan kesejahteraan pengguna. Ini secara langsung dapat meningkatkan permintaan dan pengeluaran produk herba berkualiti tinggi, seterusnya dapat mencapai skala ekonomi yang lebih besar. Pengeluaran dalam jumlah yang besar dapat membantu mengurangkan kos pengeluaran per unit, seterusnya dapat menurunkan harga jualan produk. Dengan itu, meningkatkan kesedaran dan permintaan terhadap produk herba berkualiti tinggi dapat membantu mencapai skala ekonomi yang lebih baik.

Selain itu, mempelbagaikan produk dengan mengembangkan pelbagai jenis produk yang sesuai untuk pelbagai segmen pasaran juga boleh dilaksanakan dengan mencipta variasi dalam jenis herba yang digunakan, bentuk pembungkusan, dos atau kombinasi bahan aktif yang digunakan. Dengan menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna, keperluan dan keutamaan yang berbeza-beza dapat dipenuhi. Sebagai contoh, sesetengah pengguna mungkin lebih suka suplemen herba dalam bentuk kapsul, manakala yang lain lebih menyukai minuman herba atau produk topikal seperti krim atau minyak. Ini dapat menjangkau lebih banyak pengguna yang mempunyai keutamaan yang berbeza.

Program subsidi atau diskaun khas untuk produk berkualiti tinggi kepada pelbagai lapisan masyarakat juga perlu diwujudkan. Ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan bagi pengguna, seterusnya mendorong penggunaan produk herba berkualiti tinggi. Melalui program subsidi, potongan harga atau bantuan kewangan kepada pengguna yang memenuhi syarat tertentu. Contohnya, subsidi boleh ditujukan kepada golongan dengan pendapatan rendah atau kepada mereka yang mempunyai keperluan khas, seperti warga emas atau individu dengan keadaan kesihatan tertentu. Dengan adanya subsidi ini, pengguna akan memperoleh produk herba berkualiti tinggi dengan harga mampu milik, dan ini akan mendorong penggunaan produk tersebut. Manakala program diskaun khas menjadikan pengguna akan lebih termotivasi untuk membeli. Melalui program subsidi atau diskaun khas ini, industri herba dapat memberi manfaat secara langsung kepada pengguna dengan mengurangkan beban kewangan mereka dan membolehkan akses yang lebih meluas kepada produk berkualiti tinggi.

Dengan melaksanakan strategi-strategi ini, industri herba boleh mengurangkan halangan harga dan meningkatkan aksesibiliti kepada produk berkualiti tinggi bagi masyarakat umum. Ini akan membolehkan lebih ramai orang memperoleh manfaat kesihatan dan kesejahteraan yang optimal.

 

 

Prof. Madya Dr. Noor Akhmazillah Mohd Fauzi

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diteritkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 18), 9 Ogos 2024: Hasilkan produk herba harga berpatutan 

 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 9 Ogos 2024: Hasilkan produk herba harga berpatutan 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/08/hasilkan-produk-herba-harga-berpatutan/

 

3. Bernama (bernama.com), 12 Ogos 2024: HASILKAN PRODUK HERBA BERKUALITI, BERI PELUANG SEMUA GOLONGAN NIKMATI MANFAAT 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2328119

 

4. Sinar Harian (muka surat: 21), 13 Ogos 2024: Hasilkan produk herba berkualiti, beri peluang semua golongan nikmati manfaat

 

5. Sinar Harian (sinarharian.com.my), 13 Ogos 2024: Hasilkan produk herba berkualiti, beri peluang semua golongan nikmati manfaat 

https://www.sinarharian.com.my/article/679934/berita/cetusan/hasilkan-produk-herba-berkualiti-beri-peluang-semua-golongan-nikmati-manfaat