BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) telah menjalinkan kerjasama dengan KOSMO BINA CONSTRUCTION SDN. BHD. setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada 30 Julai 2024 lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Kerjasama strategik antara Jabatan Pengurusan Pembinaan, FPTP dan KOSMO BINA CONSTRUCTION itu bertujuan mempromosikan potensi penelitian dan inovasi yang ada di UTHM, sambil mengukuhkan reputasi sebagai pusat pendidikan yang progresif dan aktif bersama industri, khususnya dalam bidang Industrialised Building System (IBS), sektor pembinaan.

FPTP diwakili Dekan, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri manakala dan KOSMO BINA CONSTRUCTION pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datin Farah Edora Haji Abu Alias.

MoU tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), FPTP, Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom; Pengurus Projek KOSMO BINA CONSTRUCTION, Mohd Sufian Ahmad dan Timbalan Pengarah (Jaringan Industri dan Kerjasama Universiti), Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Dr. Abu Ubaidah Shamsudin.

Dr. Shafie berkata kerjasama yang bakal terjalin itu diharap dapat memberi manfaat secara bersama kepada kedua-dua pihak terutama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kerja-kerja penyelidikan, perundingan serta khidmat teknologi dan ilmu kepada masyarakat setempat terutama di negeri Johor.

“Kerjasama ini diharap dapat memberi nilai tambah dan inovasi yang lebih efisyen melalui pembangunan teknologi khususnya dalam IBS, sekali gus meningkatkan penghasilan produk R&D, kolaborasi langsung dengan industri dan membantu melengkapkan mahasiswa UTHM dengan kemahiran dan ilmu-ilmu baharu,” katanya.