Oleh Dr. Radzi Ambar, Suriayati Baharom

Dua pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara 115 peserta terdiri daripada pelajar dan staf dari 20 universiti awam (UA) yang terpilih untuk menyertai program Misi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) di Selatan Thailand bermula pada 7 sehingga 11 Ogos 2024.

Dua pelajar tersebut, Muhammad Faisal Ahmad Juhari dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) serta Siti Aishah Ibrahim dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).

Menurut Ketua Jabatan Nilai dan Kesukarelawanan Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), Dr. Radzi Ambar, program itu adalah aktiviti khidmat sosial bertaraf antarabangsa yang julung-julung kali diadakan oleh Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) serta Light Green Enterprise.

Objektif misi itu adalah untuk menyantuni komuniti yang telah terkesan oleh tragedi banjir yang melanda pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini melalui aktiviti-aktiviti khidmat sosial, pemindahan ilmu dan penyampaian barangan sumbangan.

Program khidmat sosial yang telah diadakan di Kampung Charang, Yaring, Pattani itu membabitkan aktiviti seperti pemasangan lampu solar, pengeboran air dan pemasangan tangki air serta khidmat menggunting rambut secara percuma kepada komuniti.

Sebanyak lima unit spotlight solar dan tujuh lampu jalan sumbangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berjaya dipasang melibatkan dewan orang ramai Kampung Charang, Surau Bin Halabi di Kampung Charang dan Institut Pondok Attarbiyatul Islamiah Kaisar Albarakah di Nong Raet.

Selain itu, sukarelawan dari Malaysia diketuai Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengecat dan memperindahkan lagi Surau Bin Halabi.

Pakar-pakar perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula mengetuai aktiviti pemeriksaan kesihatan, pengagihan ubat serta konsultasi percuma kepada komuniti.

Aktiviti pemindahan ilmu yang telah dijalankan adalah seperti kelas tuisyen Bahasa Inggeris kepada pelajar tahfiz diketuai pakar-pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan aktiviti pembuatan lilin menggunakan minyak terpakai kepada komuniti yang diketuai oleh pakar-pakar dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM).

Komuniti tempatan di Kampung Charang bersama wakil Universiti Prince of Songkhla pula telah mengajar sukarelawan dari Malaysia berkaitan cara-cara pembuatan manisan dari kelapa laut serta pemprosesan tuak menjadi gula melaka secara tradisional.

Pada hari terakhir misi, sukarelawan bersama-sama komuniti Kampung Charang telah mengadakan majlis kenduri rakyat yang telah diserikan dengan kehadiran Gabenor Pattani, Pateemoh Sadeeyamu.

Manakala, delegasi Malaysia pula diketuai Hirman Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Tuan Zainuddin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ekstremis Sosial, Polis DiRaja Malaysia serta Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNCHEPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris merangkap Pengerusi MASKUM.

Hadir sama, Prof. Dr. Raman Noordin, TNCHEPA Universiti Malaysia Sabah dan Prof. Dr. Shaharum  Shamsuddin, TNCHEPA USM.

Pada majlis tersebut, delegasi Malaysia telah mengagihkan sumbangan dari 20 UA terdiri daripada lebih 300 barangan antaranya seperti naskhah al-Quran, sejadah, beg, t-shirt, sejadah dan ubat-ubatan kepada 12 wakil masjid dan madrasah wilayah Pattani serta rumah anak yatim di Songkhla.

Manakala UTHM melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) pula telah menyumbangkan beg laptop bagi kegunaan pelajar-pelajar tahfiz yang diharap dapat memberi motivasi dan kemudahan dalam proses pembelajaran mereka.

Menurut Dr. Radzi, sukarelawan-sukarelawan siswa UTHM yang terlibat dalam misi ini telah menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam usaha menjayakan misi, dan menunjukkan semangat setiakawan bersama-sama sukarelawan UA lain.

“Lebih menarik, Muhammad Faisal juga telah diberi kepercayaan oleh pakar perubatan dari USM untuk mengukur tekanan dan mengambil sampel darah komuniti tempatan bagi tujuan ujian kandungan gula dalam darah.

“Semoga pengalaman yang diperolehi oleh sukarelawan-sukarelawan siswa UTHM ini akan memupuk semangat keprihatinan yang lebih mendalam, mengukuhkan nilai-nilai kemanusiaan serta memberi inspirasi kepada mereka untuk terus menyumbang kepada masyarakat pada masa akan datang,” katanya.