Pada tanggal 31 Ogos tahun ini, Malaysia sekali lagi menyambut Hari Kemerdekaan buat kali yang ke 67 sejak negara mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Hari Kemerdekaan pada tahun ini disambut dengan tema yang penuh makna iaitu “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”. Berdasarkan tema ini, ia bukan sahaja menzahirkan semangat kebebasan dan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pejuang tanah air dahulu, bahkan ia juga menunjukkan kepada keteguhan rasa cinta terhadap negara yang menjadi sebahagian daripada iman sepertimana yang diajar oleh para ulama Islam.

Kita sering mendengar ungkapan yang berbunyi “Hubbul watan minal iman”; yang bermaksud cinta kepada negara sebahagian daripada iman. Kata-kata ini sebenarnya bukanlah daripada Nabi SAW, tetapi ia adalah daripada kata-kata para ulamak yang mana mereka menegaskan bahawa cinta dan sayang akan negara dan tanah air adalah sebahagian daripada iman. Para ulamak menegaskan bahawa ia bukanlah daripada hadis Nabi SAW, sekalipun ia dianggap hadis maka ia adalah hadis palsu. Namun adalah tidak menjadi kesalahan jika kita mencintai dan merindui negara kita kerana ia bertepatan dengan ajaran dan prinsip yang diajar dalam Islam yang mana ia menganjurkan kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Malahan ia juga adalah salah satu bentuk ibadah dan juga tanggungjawab bagi seorang yang bergelar Muslim. Ini dibuktikan oleh tindakan Rasulullah SAW sendiri kerana kecintaan dan kerinduan baginda yang mendalam terhadap tanah air baginda iaitu Mekah meskipun baginda terpaksa berhijrah keluar menuju ke Madinah, sehingga turun ayat al-Quran dalam surah al-Qasas ayat ke 85:

“Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan kamu lagi kepada apa yang kamu ingini dan cintai.”

Dalam satu hadis, diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.ahuma, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.” [Riwayat al-Tirmizi (3926)][Hadis ini dinilai hasan sahih gharib oleh Imam al-Tirmizi]

Maka jelaslah di sini bahawa mencintai tanah air adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan perkara yang digalakkan dalam Islam.

Dalil Cintai Tanah Air

Allah SWT dan Rasul-Nya menekankan betapa pentingnya kita untuk menjaga keamanan dan kemakmuran negara. Dalam sepotong ayat dalam surah al-Baqarah, ayat ke 126, Nabi Ibrahim a.s telah berdoa kepada Allah SWT:

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian…”

Berdasarkan ayat ini, kita dapati ia menyentuh tentang kepentingan menjaga keamanan dan kemakmuran sesebuah negara yang mana ia menjadi satu keutamaan kepada setiap rakyat. Doa nabi Allah Musa a.s untuk kesejahteraan Mekah ini adalah manifestasi cinta baginda kepada tanah airnya. Inilah yang patut dicontohi oleh seluruh umat Islam terutamanya yang berada di bumi tercinta Malaysia ini.

Sementara itu, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Barang siapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid; barang siapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya, nyawanya atau agamanya maka dia mati syahid”

Hadis jelas menunjukkan bahawa mempertahankan harta, maruah, serta keselamatan negara juga merupakan sebahagian daripada jihad fi sabilillah. Pengorbanan untuk negara bukan sahaja dibenarkan dalam Islam, bahkan ia juga dianggap sebagai satu cara untuk kita mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Malaysia Madani: Jiwa Merdeka

Tema pada tahun iaitu Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, memberi tafsiran yang bermakna yang mana ia merujuk kepada sebuah negara berbilang kaum yang beradab dan bertamadun, maju, harmoni, terbina di atas kemanusiaan dan keadilan. Manakala Jiwa Merdeka pula mengisyaratkan akan semangat kebebasan dan berdiri di atas kaki sendiri yang mana elemen ini harus ada dalam setiap rakyat Malaysia.

Kebebasan di sini bukanlah bermaksud kebebasan tanpa batas, tetapi kebebasan yang diterangi dan dibimbing oleh keimanan, nilai-nilai murni dan akhlak yang mulia. Jiwa merdeka adalah jiwa yang bebas dari segala belenggu penjajahan dari sudut fizikal dan mental di samping berpegang erat dengan prinsip-prinsip agama dan moral. Jiwa merdeka berdasarkan konteks Malaysia ia bermaksud kebebasan daripada rasuah, ketidakadilan, pepecahan kaum, mengutamakan integriti, keadilan sosial dan menuju ke arah perpaduan. Ini bertepatan dengan usaha berterusan Perdana Menteri kita ke-10, Dato Seri Anwar Ibrahim, dalam menjadikan Malaysia bebas rasuah dan menjana kekayaan negara seterusnya dinikmati oleh seluruh rakyat jelata.

Cintai negara tanggungjawab bersama

Dalam usaha merealisasikan Malaysia Madani yang berjiwa merdeka, setiap rakyat mestilah memulakan langkah biarpun dengan langkah yang kecil dahulu. Setiap tindakan kecil dalam seluruh aspek kehidupan dapat memberi impak besar kepada pembangunan negara.

Jiwa merdeka adalah jiwa yang selalu mencari kesempatan untuk menyumbang kepada negara seperti dalam bidang ekonomi, teknologi dan sosial. Sebagai contoh, rakyat yang berjaya dalam bidang masing-masing harus menggunakan kejayaan dan kelebihan tersebut untuk membantu membangunkan negara, sama ada melalui perkongsian ilmu, sokongan kepada perniagaan tempatan, atau terlibat dalam aktiviti-aktiviti kebajikan.

Kesimpulannya, tema “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” pada tahun 2024 adalah satu seruan untuk kita semua memperkukuhkan cinta kepada tanah air sebagai sebahagian daripada iman. Dengan menjadikan cinta kepada negara sebagai salah satu bentuk pengabdian kepada Allah SWT, kita dapat membina sebuah Malaysia yang lebih aman, harmoni dan maju, selaras dengan prinsip-prinsip Islam dan semangat kemerdekaan yang sebenar.

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 28 Ogos 2024: Cintai tanah air sebagai manifestasi iman 

Cintai tanah air sebagai manifestasi iman

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 18), 30 Ogos 2024: Cinta tanah air sebagai manifestasi iman 

 

3. Utusan (utusan.com.my), 30 Ogos 2024: Cinta tanah air sebagai manifestasi iman 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/08/cinta-tanah-air-sebagai-manifestasi-iman/