Jiwa Merdeka merupakan satu istilah yang boleh digambarkan dengan keadaan pikiran dan perasaan seseorang yang bebas dari dibelenggu, diberi tekanan atau dipengaruhi oleh apa jua pengaruh luaran yang menghambat ekspresi diri, kebebasan berpikir dan tindakan. Seseorang dengan jiwa merdeka memiliki kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya, berpikiran kritis, dan berani membuat keputusan atau tindakan berdasarkan nilai-nilai dan prinsip yang diyakini tanpa takut atau dipengaruhi oleh pihak lain. Berjiwa merdeka menjadikan seseorang itu faham erti bersungguh-sungguh dalam berusaha dan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mengukir masa depan yang cemerlang tanpa menjadikan cabaran yang mendatang sebagai halangan. Tiada anasir luar yang boleh menidakkan impian si berjiwa merdeka kerana bagi mereka cabaran itu dianggap sebagai bahan bakar untuk memastikan semangat perjuangan terus membara.
Apakah anak muda kita berjiwa merdeka? Kini, kita hidup di dalam dunia fizikal yang nampak, tetapi mempunyai dunia lain di dalamnya iaitu dunia media sosial. Dunia media sosial yang juga boleh digelar sebagai dunia tipu-tipu merupakan sebuah dunia yang signifikan untuk kita semua beri perhatian. Berdasarkan statistik terkini, setiap pengguna media sosial secara puratanya meluangkan masa hampir tiga jam sehari di media sosial dengan pelbagai tujuan seperti untuk merapatkan hubungan sesama sendiri, mengisi masa lapang, mengambil tahu perkembangan semasa dengan membaca berita termasuklah mengambil tahu tentang informasi-informasi viral yang sedang berlegar-legar di paparan skrin telefon setiap pengguna. Informasi-informasi yang tersebar boleh jadi bermanfaat tetapi tidak kurang juga yang hanya membuang masa si pembaca.
Kemudahan maklumat untuk diperolehi, dimuat naik dan disebarkan menjadikan media sosial dilambakkan dengan pelbagai informasi yang sukar untuk ditapis dengan baik. Ia juga merupakan satu peluang kepada pengguna bagi mengetengahkan diri dan mempertonjolkan bakat atau kelebihan yang ada walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman iaitu jauh dari bandar yang sinomin dengan lubuk peluang segala kemudahan. Dengan wujudnya media sosial, lokasi tempat tinggal sama ada di kota besar mahupun di kawasan pedalaman sudah tidak lagi menjadi kayu pengukur untuk seseorang itu berpeluang memiliki kehidupan yang lebih terjamin terutama sekali dari segi menjana pendapatan. Mereka yang menggunakan peluang ini dengan bijak mampu memperolehi pelbagai kejayaan tidak kiralah kejayaan di dalam pelajaran, perniagaan mahupun sukan. Walau bagaimanapun di satu sudut lain, keterbukaan ruang atau peluang ini telah menyebabkan kita terdedah kepada risiko minda kembali dijajah apabila media sosial tidak dimanfaatkan dengan bijaksana.
Anak muda kini sering kali mengukur pencapaian mereka berdasarkan jumlah suka (like), komentar, atau reaksi pengguna media sosial yang diterima tanpa mengetahui latar belakang mereka. Maklum balas spontan yang diterima sama ada ia benar atau sekadar mewujudkan interaksi di dalam media sosial tersebut sedikit sebanyak akan memberi kesan. Kesan tersebut boleh jadi positif jika maklum balas yang diterima positif, tetapi maklum balas yang negatif pula meninggalkan kesan yang negatif. Walau bagaimanapun, maklum balas yang positif tidak semestinya benar, sehingga anak muda obses mencari sokongan apabila mengutarakan pendapat, mempamerkan tindakan dan mencari-cari identiti diri dengan menghabiskan banyak masa di media sosial. Senario ini merupakan salah satu situasi yang membuktikan anak muda kini telah terjebak dalam lingkungan pencarian validasi luaran yang mana kebahagiaan dan rasa percaya diri mereka bergantung kepada penilaian orang lain, bukan pada penilaian diri mereka sendiri. Ini boleh menyebabkan anak muda kini bingung dengan terlalu banyak pendedahan maklumat sehingga mengaburkan pandangan mereka tentang realiti kehidupan dan nilai-nilai sejati yang perlu ada pada diri. Malah bertambah buruk apabila aktiviti bermedia sosial anak muda tersebut dilakukan tanpa pemantauan dari penjaga atau pengawasan oleh orang yang lebih dewasa.
Media sosial menggunakan algoritma untuk menyajikan konten yang sesuai dengan keperluan pengguna. Perkataan ‘keperluan’ membawa maksud, algoritma yang dibangunkan berupaya merekodkan sejarah carian pengguna dan menghubungkan ia kepada maklumat-maklumat yang berkaitan yang telah dimuat naik di dalam internet. Algoritma ini bekerja dengan menganalisa data dari aktiviti pengguna, seperti perkongsian yang mereka suka (like), media sosial akaun yang mereka ikuti, dan topik yang sering mereka cari di dalam enjin carian internet. Berdasarkan data ini, algoritma kemudian menentukan konten apa yang paling berkaitan dengan pengguna secara spesifik atau menarik dan menyajikan ia di halaman media sosial mereka. Dengan cara ini, pengguna dapat memperoleh kandungan perkongsian yang sesuai dengan minat mereka dan algoritma membantu ianya sentiasa dikemas kini. Maka, sajian kandungan yang bak cendawan yang tumbuh, mengakibatkan pengguna sentiasa teruja untuk terus melayari media sosial dengan merasakan maklumat yang terhidang semuanya diminati dan berguna untuk aktitivi yang sedang diusahakan.
Malangnya situasi ini telah menjadi faktor anak-anak muda kini berada di dalam gelombang penapis informasi atau dikenali sebagai “filter bubble,”. Gelombang penapis informasi merupakan satu situasi yang mana pengguna hanya terbelenggu pada informasi dan pandangan yang mereka suka atau memihak kepada mereka sahaja sehingga secara tanpa sedar mereka mengasingkan diri mereka dari kepelbagai maklumat yang terselindung dari pelbagai sudut yang berbeza di luar gelombang penapis informasi mereka. Akibatnya, anak muda kini sering terkongkong dengan maklumat yang hanya memihak kepada acuan konteks pemikiran terkini secara individu. Pemikiran kritis, keterbukaan kepada pandangan-pandangan yang berbeza menjadi sukar untuk praktiskan oleh anak muda yang terjebak dengan situasi ini. Apa yang lebih dibimbangkan ialah kesan dari berada di gelombang penapis informasi ini seseorang individu itu akan merasakan dirinya mengetahui semua perkara sedangkan dirinya terkongkong di satu ruang tertutup sehingga mereka tertinggal jauh dari realiti kehidupan sebenar, terhalang dari kemajuan peribadi dan sosial, malah mereka juga tidak terbuka untuk mengembangkan potensi diri.
Berada di dalam gelombang penapis informasi, ditambah pula dengan lumrah manusia yang cenderung menampilkan sisi terbaik sahaja dari personaliti mahupun kehidupan seharian mereka menjadikan hambatan kepada pembentukan jiwa merdeka anak muda. Acap kali di media sosial, pengguna mempertonjolkan standad kecantikan, keberhasilan dan gaya hidup yang hampir tidak realistik. Ia jelas tidak mencerminkan realiti kehidupan secara keseluruhan. Padahal, setiap orang memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kehidupan yang dipamerkan sebagai sempurna sehingga menjadikan anak muda merasa terdorong untuk mengikuti tren demi mendapatkan perhatian atau validasi. Hal ini menjadikan anak muda merasa tertekan apabila cuba untuk memenuhi standad yang dipamerkan. Walaupun sedar dunia yang dipamerkan adalah dunia tipu-tipu yang kebanyakkannya mungkin mustahil untuk dicapai tetapi banyak kajian telah membuktikan situasi ini telah menyumbang kepada tekanan perasaan dan mengganggu sistem kesejahteraan sosial dalam kalangan anak muda.
Berminda seolah-oleh dijajah di dalam gelombang penapis informasi, kekuatan emosi dan fizikal tidak berpeluang untuk diperkuatkan kerana masa dan tenaga banyak dihabiskan di dunia media sosial, apakah mungkin anak muda kini mampu untuk berhadapan dengan cabaran kehidupan sebenar? Mampukah anak muda yang mengejar validasi luaran, suka (likes) dan komen-komen palsu yang diturunkan semata-mata untuk wujudkan interaksi di media sosial mempunyai daya saing, kekuatan untuk bangkit ketika graviti cabaran hidup memberat dan kekal di dalam norma kehidupan yang sihat tanpa perasaan kurang rasa percaya diri dan kemurungan tanpa sebab yang jelas?. Jelas sekali, media sosial telah menjadi sumber gangguan besar, menyita waktu dan perhatian yang seharusnya digunakan untuk aktiviti yang lebih produktif atau bermakna untuk membentuk jiwa anak muda merdeka. Ketika terlalu banyak waktu dihabiskan untuk menghasilkan konten yang tidak memberikan nilai atau manfaat nyata, anak muda berpotensi untuk kehilangan kesempatan bagi membentuk keterampilan baharu, mengasah potensi diri, atau membangun hubungan yang mendalam di dunia nyata. Berpada-padalah dalam berhubungan dengan dunia media sosial, kerana dunia nyata perlukan anak muda yang berjiwa merdeka untuk sama-sama kita mengharungi kehidupan kedepan yang semakin mencabar.
Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia,
Fakulti Teknologi Kejuruteraan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Dr. Zuritah A. Kadir
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia,
Fakulti Teknologi Kejuruteraan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 23 Ogos 2024: CENDERUNG MENCARI VALIDASI DALAM PENAPIS INFORMASI, MERDEKAKAH JIWA ANAK MUDA KITA?
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2332097