Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 12 Ogos 2024 – Kemeriahan acara perbarisan dan perarakan kontinjen dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) telah mewarnai sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada hari ini, bertempat di kampus induk.

Perarakan yang bermula dari bangunan Perpustakaan Tunku Tun Aminah dan berakhir di Dewan Sultan Ibrahim itu menyaksikan kontigen ‘Sukma Pawaka’ yang terdiri daripada Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan serta Johor Business School meraih anugerah ‘Kontigen Terbaik’ bagi Acara Perarakan Jiwa Merdeka setelah berjaya menumpaskan 18 kontigen yang lain.

Tidak cukup dengan itu, kontigen Sukma Pawaka turut membolot dua lagi anugerah iaitu ‘Perbarisan Terbaik’ dan ‘Persembahan Terbaik.’

Manakala tempat kedua acara perarakan diraih oleh kontigen ‘FPTV di Hati’ dan tempat ketiga pula diraih oleh kontigen ‘MyFKMP Gemilang’.

Masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai antara RM300 sehingga RM500.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-67 Peringkat UTHM.

Dato’ Ruzairi dalam ucapannya menyeru warga kampus agar menghayati erti sebenar merdeka yang bukan hanya tentang bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi bebas dari segi pemikiran dan tindak tanduk.

Menurut beliau, untuk menjadi bangsa Malaysia yang berjaya, kita perlu mengasuh jiwa untuk memiliki pemikiran dan tindakan yang cenderung kepada perihal insaniah dan kemanusiaan.

“Sebagai contoh, kita kena bersedia untuk berubah menjadi pekerja yang lebih fokus dan berintegriti, di samping mengelakkan sebarang bentuk komunikasi yang boleh merosakkan hubungan dan kepercayaan, serta perlu meraikan perbezaan setiap warga dengan membantu yang lemah dan menyokong yang kuat,” katanya.

Program anjuran Bahagian Pengurusan Organisasi, Pejabat Pendaftar itu turut dihadiri, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Naim Maslan dan Pegawai-pegawai Kanan universiti.

Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, UTHM telah merangka pelbagai aktiviti untuk meningkatkan lagi semangat patriotik warga kampus.

Antaranya pemasangan bendera pada kenderaan yang ada di sekitar kampus dan kibaran jalur gemilang di premis PTj, penyertaan kontinjen UTHM ke Acara Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Daerah Batu Pahat, funwalk, pertandingan fotografi dan pertandingan memancing, serta majlis bacaan yasin dan doa selamat.