Oleh Suriayati Baharom

JOHOR BAHRU – Seramai 516 staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari pelbagai skim dan gred perkhidmatan telah menerima anugerah di Majlis Anugerah Bitara Kirana yang berlangsung pada 23 Ogos 2024 bertempat di Pulai Springs Resort, Johor Bahru.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 197 staf menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala Anugerah Jasa Bakti (33), Anugerah Taat Setia (208), Anugerah Khas Panel Penilaian Sumber Manusia (51), Anugerah Jasa 30 Tahun (7), Anugerah Sukan (2) dan Anugerah Pentadbir (18).

Majlis Anugerah Bitara Kirana yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang telah dijenamakan semula bagi memberi nafas baharu kepada identiti UTHM.

Bitara Kirana yang membawa maksud ‘sinar yang tiada tara’ memberi gambaran kepada apresiasi UTHM terhadap warga kerjanya yang telah menunjukkan komitmen dan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

Selain itu, majlis itu juga sebagai penghargaan kepada mereka yang telah memberi khidmat bakti terbaik dalam melaksanakan tugas, mahupun sumbangan lain seperti kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan.

Majlis telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Seri Ibrahim Ahmad.

Dato’ Seri Ibrahim dalam ucapannya berkata Anugerah Bitara Kirana itu bukan sahaja merupakan satu bentuk penghargaan terhadap dedikasi dan kerja keras warga kerja UTHM, tetapi juga sebagai inspirasi kepada semua untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

“Keunggulan yang dipamerkan dalam melaksanakan tugas adalah satu contoh teladan yang harus dicontohi oleh semua warga UTHM.

“Kecemerlangan yang dicapai bukan sahaja memberikan manfaat kepada diri sendiri, tetapi juga membawa nama baik kepada universiti ini.

“Saya berharap, anugerah yang diterima akan menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi dan menjadi inspirasi kepada semua warga UTHM,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim juga turut merakamkan penghargaan dan rasa terima kasih beliau kepada semua warga kerja UTHM yang telah memberi sumbangan yang terbaik dalam memastikan kecemerlangan universiti.

“Tanpa usaha dan kerjasama daripada semua pihak, kita tidak mungkin dapat mencapai kejayaan seperti hari ini.

“Setiap cabaran yang dihadapi adalah peluang untuk kita belajar dan berkembang, jangan pernah berputus asa kerana di sebalik setiap kesukaran terdapat hikmah yang menunggu untuk diterokai,” pesan beliau.

Turut berlangsung, pelancaran Buku Kod Etika UTHM yang juga disempurnakan oleh Dato’ Seri Ibrahim.

Majlis anjuran Pejabat Pendaftar itu turut dihadiri Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pegawai-pegawai Kanan Universiti.