Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 2 Julai 2024 – Bagi membantu golongan memerlukan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diwakili Naib Canselor, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hari ini telah melancarkan Almari Pakaian @UTHM Prihatin bertempat di Galeri Wakaf, Masjid Sultan Ibrahim, kampus induk.

Almari Pakaian @UTHM Prihatin merupakan program inisiatif Pusat Islam, UTHM yang bertujuan membolehkan pelajar, staf mahupun orang awam yang memerlukan untuk mengambil pakaian secara percuma.

Pengarah Pusat Islam, Shafry Salim berkata seluruh warga UTHM dipelawa untuk menyumbang pakaian terpakai yang masih dalam keadaan baik untuk tujuan kebajikan.

“Pihak kami menyediakan ruang yang dinamakan Galeri Wakaf untuk penyumbang meletakkan pakaian sumbangan mereka dalam keadaan tersusun agar memudahkan sesiapa sahaja yang memerlukan mengambilnya.

“Sekitar minggu ini, sumbangan pakaian terpakai mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga UTHM dan pihak kami berharap amalan sedekah jariah ini akan berlanjutan bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Naib Canselor turut melancarkan Kempen Jom Susun Kasut di Masjid dan Sumbangan Dana Prasarana Masjid Sultan Ibrahim, UTHM, selain turut menyumbang pakaian beliau sebagai tanda sokongan dan prihatin.