Oleh Profesor Madya Sr Dr. Noralfishah Sulaiman

BATU PAHAT, 29 Julai 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MASTRAK Sdn. Bhd. bagi menjalin kerjasama dalam meningkatkan daya inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor industri pengangkutan rel negara.

MoU tersebut ditandatangani oleh Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan (FPTP), Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri manakala MASTRAK pula diwakili Pengarahnya, Khalimahtul Idereena Akasah Abu Khalil, sambil disaksikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan & Penerbitan), FPTP, Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom dan Pengurus MASTRAK, Mohd Amirul Ekhwan Rusli.

Menurut Ketua Kumpulan Penyelidikan KANZU Research: Resilient Built Environment, UTHM, Profesor Madya Sr Dr. Noralfishah Sulaima,n kerjasama tersebut bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran akademik UTHM khususnya dalam bidang daya tahan alam bina dengan kepakaran industri dari MASTRAK.

Kerjasama kepakaran akademik-industri itu bertujuan meneroka peluang baharu dalam konteks Pengalaman Pelanggan (customer experience-CX) dalam ekosistem pengangkutan rel negara.

Tambah beliau, fokus utama bertumpu kepada pengguna perkhidmatan rel dalam kalangan kanak-kanak, selain meningkatkan usaha sama dalam memahami jurang ilmu bagi kesemua pengguna perkhidmatan rel negara serta mengenal pasti apakah perkhidmatan terbaik yang boleh diperoleh dari kesemua pemegang taruh dalam industri ini.

Selain itu, inisiatif-inisiatif penyelidikan kritikal di dalam industri rel negara termasuk Pengangkutan Multimodal, Mobiliti Bandar, Mobiliti Pintar, Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), Trend Masa Depan dan Transformasi Digital, Pengurusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Adaptasi Perubahan Iklim (CCA), Pengurangan Risiko Bencana (DRR), dan Pengurusan Bencana akan turut dilaksanakan oleh UTHM bersama MASTRAK.

“Jalinan Kerjasama antara UTHM dan MASTRAK diharap dapat menjadi titik mula bagi penyelidikan berhubung Pengalaman Pelanggan (Customer Experience-CX) dalam industri rel negara serta penubuhan Human Centric Research Design ekosistem di makmal hidup RESILIENT4WRD: Resilient & Agile Cities for Future di UTHM yang memfokuskan dinamika antara faktor kemanusian dan penyelidikan dalam industri rel negara.

“Kerjasama strategik ini bakal mendorong inovasi dan menangani cabaran dalam sektor pengangkutan rel negara serta mencari solusi ke arah sistem pengangkutan yang mampan dan berdaya tahan bagi memenuhi matlamat Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030,” katanya.

Turut hadir, Jurutera Trak Wilayah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ts. Mohd Yusoff Mohamed; Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICOE-Rail), UTHM Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abd Hamid; Ketua Pegawai Operasi, Metro System Academy (MSA), UTHM, Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah dan Ketua Program Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP, Azrulizam Amat Sayuti.