KAMPAR, 23 Julai 2024 – UTHM Holding dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah bekerjasama melaksanakan program ‘Kajian Rintis Bagi Tingkatkan Pengeluaran Lateks Dalam Kalangan Pekebun Kecil’ bertempat di Bukit Pekan, Kampar, Perak.

Program kajian rintis yang merupakan inisiatif UTHM Holding itu melibatkan penyertaan beberapa penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Prof. Madya Ir. Ts Dr. Riduan Yunus, Prof Madya Ir. Ts. Dr. Saiful Azhar Ahamd Tajudin, Noor Fauzi Abd Hamid dan Prof. Madya. Dr Mohd Asrul Affendi Abdullah.

Pekebun Kecil memainkan peranan penting dalam penglibatan industri getah yang mana sektor ini merupakan penyumbang utama dalam libat sama pengeluaran getah di Malaysia.

Menurut data daripada jabatan perangkaan, pada Disember 2023 nilai pengeluaran getah asli adalah 88 peratus dan ini menunjukkan signifikasi nilai rantaian pekebun kecil amat penting dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran getah asli di Malaysia.

Program itu memberi pendedahan kepada empat depo pengumpulan lateks di Depo Bukit Pekan, Kampar, Perak untuk libat sama dalam usaha awal bagi mempertingkatkan pengeluaran lateks di Malaysia.

Depo Bukit Pekan, Kampar dipilih sebagai program rintis kerana program itu dilihat mendapat kerjasama yang baik daripada pekebun kecil sekitar kawasan Bukit Pekan, Kampar.

Dalam program itu, libat sama RISDA amat penting bagi memacu pengeluaran lateks sekali gus dapat meningkatkan kestabilan ekonomi isi rumah pekebun kecil pada masa akan datang.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Produktiviti dan Pemasaran RISDA, Noor Azan Mohd Noor yang turut berkongsi ilmu dan kepakaran kepada pekebun kecil untuk tingkatkan pengeluaran lateks di kawasan setempat.

Menurut Dr. Riduan, sektor pekebun kecil getah di Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk isu penurunan harga akibat daripada ketidakstabilan ekonomi, perubahan iklim, kekangan tenaga buruh dan penyebaran penyakit luruhan daun.

Cabaran tersebut terutamanya dari segi penurunan harga getah asli menyebabkan pendapatan pekebun kecil berkurangan di bawah paras pendapatan garis kemiskinan negara, sekali gus menjadikan aktiviti menoreh tidak lagi menarik dan menguntungkan.

“Pengeluaran lateks dilihat berpotensi untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil memandangkan harga yang ditawarkan adalah lebih tinggi berbanding getah beku mangkuk (cup lump), sambil dipacu oleh permintaan pasaran yang tinggi.

“Ia juga dilihat berpotensi dengan mengambil kira ketersediaan ekosistem pengeluaran semasa seperti kemudahan infrastruktur dan pelbagai insentif bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Walau bagaimanapun, tahap pengeluaran lateks dalam kalangan pekebun kecil dilihat masih belum mencapai tahap optimum.

“Jadi pihak kami mengambil inisiatif sebegini bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan mereka sambil membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat,” katanya.