KAJANG – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) bakal menjalin kerjasama dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia dalam bidang penilaian dan perkhidmatan harta.
Bagi memulakan langkah kerjasama itu, UTHM dan JPPH telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 12 Jun 2024 lalu bertempat di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Kajang, Selangor.
UTHM diwakili oleh Dekan FPTP, Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri manakala JPPH pula diwakili oleh Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr. Abdul Razak Yusak.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Kelestarian UTHM, Profesor Madya Dr. Mohd Lizam Mohd Diah dan juga wakil daripada pihak JPPH.
Kedua-dua pihak bakal bekerjasama melaksanakan aktiviti berkaitan bidang penyelidikan dan akademik, manakala Ketua Pengarah JPPH pula dilantik sebagai Profesor Adjung bagi program Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah (BPD) bermula Januari 2024.
Pelantikan tersebut bakal memberi input yang lebih memberangsangkan untuk manfaat pelajar-pelajar BPD terutama berkaitan kerjaya dan akademik, serta penambahbaikan kurikulum program BPD.
Abdul Razak berkata pelaksanaan program dua hala seperti itu diharap dapat memberi manfaat kepada kedua-dua institusi, sekali gus memberi manfaat kepada pemain industri harta tanah secara amnya.
“Kerjasama UTHM dan JPPH juga sebagai usaha merapatkan jurang antara akademik dan industri harta tanah, yang mana JPPH bakal menyediakan ruang dan penempatan sebagai salah satu cabang kerjaya untuk lepasan pelajar Pengurusan Harta Tanah,” tambah beliau.