Oleh Dr. Nurazwa Ahmad, Dr. Rumaizah Ruslan
KLUANG – Pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) termasuk pelajar antarabangsa dari sembilan negara telah melibatkan diri dalam program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bersama anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Kluang (PKAYIK), Kluang, Johor pada 22 Jun 2024 lalu.
Program perkongsian ilmu bertemakan “Crafting Creativity with Recycled Resources” itu diketuai oleh Dr. Nurazwa Ahmad, dibantu oleh bendahari PKAYIK, Mohamed Bahri Mohd Daud, 11 pelajar kursus Kreativiti dan Inovasi (UPA20102) Semester II Sesi 2023/2024 serta tujuh pelajar pascasiswazah FPTP.
Menariknya program itu, para pesertanya terdiri daripada gabungan enam pelajar tempatan, lima pelajar mobiliti antarabangsa Uzbekistan, tujuh pascasiswazah dari India, China, Bangladesh, Somalia, Nigeria, Yemen dan Pakistan, serta 11 pensyarah FPTP.
Menurut Dr. Nurazwa, penganjuran program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar supaya memahami konsep asas penggunaan kreativiti dalam penyelesaian masalah yang secara langsung menghasilkan inovasi.
“Program ini turut memberi pendedahan pelaksanaan pengurusan sisa pepejal yang diamalkan di Malaysia dan Uzbekistan, serta kepentingan kesedaran mengurus sisa boleh kitar semula menggunakan kreativiti yang bermula dari rumah.
“Aktiviti penghasilan kreativiti pelajar ini melibatkan bahan kitar semula yang dikumpul di sekitar UTHM seperti botol minuman plastik dan kotak terpakai,” jelas beliau.
Sementara itu, Naib Yang di-Pertua PKAYIK, Rositah Othman berkata program yang pertama kali diadakan di pertubuhan tersebut berupaya meningkatkan kesedaran, motivasi dan membuka minda 26 penghuni PKAYIK dalam mencungkil bakat kreativiti masing-masing.
“Peserta dilihat berjaya menghasilkan reka bentuk produk yang kreatif dan inovatif hanya dengan menggunakan dua jenis bahan kitar semula.
“Penglibatan peserta dari pelbagai negara turut memberi pengalaman yang amat bermakna kepada anak-anak pelajar di sini dalam melatih diri membina keyakinan berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.
Manakala majlis penutup program pula telah disempurnakan oleh Dekan FPTP, Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri.
Beliau turut menyerahkan sijil penghargaan, plak cenderamata serta sumbangan tunai kepada pertubuhan tersebut yang diwakili Timbalan Yang di-Pertua PKAYIK, Jaafar Abdullah.
Dr. Shafie dalam ucapannya berkata program seperti itu mampu mengetengahkan peranan UTHM dalam menyumbang ilmu pengetahuan kepada masyarakat selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi yang ingin membentuk universiti sebagai “University for Society.”
“Pelaksanaan aktiviti sebegini juga turut membuka ruang kepada pensyarah dan pelajar berkongsi kepakaran dalam bidang kreativiti dan inovasi khususnya, dan pengurusan teknologi amnya,” katanya.
Beliau juga berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan peranan universiti dan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat.