Perkembangan pembangunan yang tidak mengambil kira aspek kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar telah banyak membawa kesan yang negatif  kepada persekitaran. Perubahan iklim yang berlaku di seluruh dunia turut mempengaruhi frekuansi dan magnitud bencana alam. Semakin hari semakin banyak bencana alam dilaporkan berlaku yang diakibatkan oleh ketidakseimbangan pembangunan. Sebagai contoh fenomena banjir monsun, banjir kilat mahupun tanah runtuh.   Kejadian hujan lebat secara berterusan boleh mengakibatkan paras air sungai, longkang, tasik dan parit meningkat dan ia boleh menyebabkan pembentukan lopak air di darat. Banjir merupakan satu geobencana pasif iaitu bencana yang berkaitan dengan aktiviti manusia. Banjir berlaku pada kepantasan sederhana tetapi mempunyai saiz bencana yang besar. Punca banjir yang paling biasa adalah hujan lebat yang berterusan.

Impak sosial yang boleh dilihat daripada kejadian bencana banjir adalah kemusnahan tempat tinggal penduduk kerana arus banjir yang deras boleh merosakkan rumah mangsa. Oleh itu, penduduk terpaksa berpindah meninggalkan rumah ke kawasan yang lebih selamat iaitu Pusat Penempatan Sementara (PPS). Menurut Berita Harian (2023), Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan kos baik pulih keseluruhan infrastruktur yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda berjumlah lebih RM232 juta. Kos merangkumi kerja baik pulih di negeri paling teruk terjejas iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang yang dianggar berjumlah RM196 juta. Negeri-negeri di sebelah pantai Timur Semenanjung Malaysia merupakan negeri yang paling teruk mengalami kerosakan infrastruktur dengan anggaran kos baik pulih mencecah RM196 juta dan kos seluruh negeri di Semenanjung berjumlah RM232 juta. Memandangkan kos untuk membaik pulih adalah tinggi, maka kewajaran pihak pemegang taruh untuk mencari mekanisme yang terbaik adalah dengan mencari kaedah atau alternatif untuk mengurangkan kos tersebut. Oleh yang demikian, tiba masanya untuk meneliti dan mengkaji keperluan rumah bebas banjir mampu milik yang berupaya untuk mengurangkan kerosakan struktur rumah dan menjimatkan kos.

            Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh penulis berkenaan model rumah bebas banjir mampu milik,  adalah dengan mengambil kira pengalaman negara-negara luar  (negara yang biasa mengalami banjir besar) dan pandangan daripada pakar iaitu Arkitek dan kontraktor tempatan dengan berasaskan pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang masing-masing. Terdapat  beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan dalam mereka bentuk rumah bebas banjir mampu milik iaitu:

  1. Menggunakan Sistem Binaan Maklumat (IBS) adalah lebih sesuai kerana mempunyai kelebihan dari segi tempoh masa yang singkat untuk disiapkan;
  2. Bangunan yang tahan banjir umumnya menggunakan bahan seperti konkrit atau keluli;
  3. Pertimbangan terhadap ketinggian, teknik ketinggian, asas rumah, kebolehcapaian rumah dan bahaya tambahan selain banjir;
  4. Ketinggian rumah perlu dinaikkan bergantung pada ketinggian banjir asas kawasan tersebut;
  5. Mengetahui BFE (BFE ialah ketinggian yang dijangka dicapai oleh air banjir semasa “banjir asas”. BFE juga merupakan keperluan kawal selia untuk ketinggian rumah yang menentukan premium insurans banjir);
  6. Pemilik rumah juga digalakkan untuk menambah ketinggian 1 atau 2 kaki pada ketinggian banjir asas tempatan untuk memberikan perlindungan daripada kejadian banjir yang lebih tinggi;
  7. Memanjangkan, atau meningkatkan, dinding asas rumah. Rumah diangkat dari asas dan asas sedia ada ditambah sehingga ketinggian yang dimaksudkan dicapai;
  8. Bukaan dibuat dalam asas yang dipanjangkan supaya air banjir boleh masuk dan keluar. Untuk meningkatkan dinding rumah, bumbung dan rangka bumbung mesti ditanggalkan supaya dinding dapat dipanjangkan;
  9. Dinding ditambah, tingkap dinaikkan dan lantai bertingkat baharu dibina di atas paras banjir;
  10. Kawasan di bawah lantai yang dinaikkan mempunyai bukaan di dalamnya supaya air banjir boleh masuk dan keluar;
  11. Untuk meninggalkan kawasan tingkat satu dan membina ruang tamu tingkat dua yang baharu, bumbung dan rangka bumbung mesti dialihkan, tingkat kedua dibina dan bukaan dibuat di tingkat satu yang terbiar;
  12. Memanjangkan dinding asas, memanjangkan dinding rumah, atau meninggalkan kawasan tingkat satu dan membina ruang tamu tingkat dua yang baharu semuanya meningkatkan ruang tamu rumah daripada paras banjir dan mewujudkan bukaan pada asas yang ditutup sebelum ini supaya banjir air boleh masuk. Pilihan asas terbuka memerlukan penggalian di sekeliling asas lama, memotong lubang ke dalam asas supaya rangkaian rasuk pengangkat boleh dipasang, dan biasanya mengalihkan asas lama supaya tiang, cerucuk atau tiang boleh dipasang (Rujuk Rajah 1 Contoh Reka Bentuk Rumah yang dinaikan mengikut BFE).

Manakala untuk kos pembinaan rumah bebas banjir mampu milik pula amat bergantung kepada jenis bahan binaan yang digunakan. Berdasarkan analisis pandangan daripada arkitek dan kontraktor, mereka telah memberi cadangan kos sekitar RM48,000 hingga RM 28, 2005.00 bagi menyiapkan rumah bebas banjir yang selamat kepada mangsa. Kos ini adalah dengan mengambil kira tempoh penyiapan rumah iaitu antara dua hingga empat bulan bergantung kepada reka bentuk, bahan binaan dan buruh yang terlibat.

Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa reka bentuk rumah bebas banjir adalah sangat berkait secara langsung dengan jenis bahan binaan, buruh dan juga kos. Elemen-elemen ini akan menentukan ketahanan sturuktur binaan rumah, penyelenggaran dan juga mengurangkan kerosakan semasa banjir melanda. Adalah diharapkan pematuhan kepada peraturan ini memastikan rumah dibina dapat megurangkan kerosakan struktur rumah menyumbang kepada keselamatan masyarakat dan pengurangan risiko banjir secara keseluruhan.

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Pensyarah Pengurusan Persekitaran,

Penyelidik Utama,

Pembinaan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM),

Jabatan Pengurusan Pembinaan

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Amin Izwan bin Farid Ridzwan Wong

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Harian Metro (muka surat: 14), 16 Julai 2024: Masa untuk rumah bebas banjir 

 

2. MyMetro (hmetro.com.my), 16 Julai 2024: Masa untuk rumah bebas banjir 

https://www.hmetro.com.my/rencana/2024/07/1111721/masa-untuk-rumah-bebas-banjir