MUAR – Bagi meyokong dasar Girls in Engineering, Mathematics and Sciences, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan STMicroelectronics, Muar, sebuah syarikat semikonduktor global, dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Muar, telah menganjurkan program ‘Train the Trainer’ pada 17 dan 18 Julai 2024 lalu.

Program tersebut diadakan bagi memberi latihan kepada guru-guru untuk memotivasi dan mendidik pelajar perempuan dalam bidang kejuruteraan, matematik dan sains.

Program itu diadakan bagi memberi latihan kepada guru-guru SK Convent, Muar sebagai persediaan menghadapi projek Internet of Things dan pertandingan menggunakan Microbits yang akan berlangsung pada bulan Ogos hingga Oktober 2024 akan datang.

Program itu akan melibatkan semua sekolah rendah di Zon Maharani Muar yang akan diketuai oleh Sekolah Kebangsaan Convent Muar, dengan jangkaan penyertaan 25 sekolah dan 160 pelajar dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Muar.

Program yang melibatkan peserta dalam kalangan guru-guru mata pelajaran matematik, sains, dan teknologi itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penglibatan pelajar perempuan dalam bidang Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM), selain melatih mereka mengimplementasikan teknik pengajaran yang efektif dalam bidang kejuruteraan, matematik dan sains.

Program tersebut diisi dengan bengkel pemindahan ilmu yang disampaikan oleh Penyelaras Kerjasama STMicroelectronics-UTHM, Dr. Hasliza Hassan dengan ceramah motivasi bertajuk “Basics of IoT Development” diikuti dengan sesi perbincangan bagi pelaksanaan program pada Ogos nanti.

Guru-guru diberi peluang untuk terlibat dalam demonstrasi projek mudah dalam kejuruteraan dan sains serta perbincangan kumpulan mengenai cabaran dan strategi untuk menarik minat pelajar perempuan dalam STEM.

Peserta turut diperkenalkan kepada teknologi terkini dalam bidang kejuruteraan dan elektronik.

Program ‘Train the Trainer’ itu telah berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan guru-guru mengenai kepentingan bidang STEM untuk pelajar perempuan.

Sementara itu, Guru Besar SK Convent Muar, Wahida Rosdi @ Mohamed Deros turut menyatakan pengharapannya agar lebih banyak sekolah dan organisasi akan terlibat dalam program seumpama itu untuk memberi manfaat yang lebih meluas.

Beliau juga menekankan kepentingan menyediakan lebih banyak bahan dan sumber pengajaran yang khusus untuk pelajar perempuan dalam bidang STEM.

“Dengan usaha berterusan seumpama ini, diharapkan lebih ramai pelajar perempuan akan terinspirasi untuk menceburi bidang STEM dan menjadi pemimpin masa depan dalam industri ini,” katanya.