KOTA BHARU – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya merangkul tiga anugerah emas dan satu anugerah khas ketika menyertai SULAM Innovate Showcase and Symposium (SUISS 2024) bersempena penganjuran Karnival Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Antarabangsa (iTeLIC) 2024 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

SUISS 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan & Pembangunan Akademik dengan kerjasama Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, UMK itu telah berlangsung pada 1 dan 2 Julai lalu.

Program SUISS 2024 itu melibatkan empat kategori pertandingan iaitu Projek Komuniti, Projek SULAM, Projek SULAM Konsep, dan Pertandingan Fotografi Komuniti.

FKMP telah memenangi tiga kategori pertandingan iaitu Projek Komuniti (Anugerah Emas) melalui Program Pemindahan Ilmu (KTP): Ergonomic@FKMP bertemakan “Ergonomic Best Practices at School” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading dan SMK Tun Ismail, Projek SULAM (Anugerah Emas) melalui Projek Siri 1 Program Sulam: Ergonomic@FKMP bertemakan “Application of Ergonomic Principles at School” di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelotong dan Projek SULAM Konsep (Anugerah Khas dan Emas) melalui Projek Siri 2 Program Sulam: Ergonomic@FKMP bertemakan “Application of Ergonomic Principles at School” di SK Pintas Puding.

Bgai program SULAM, FKMP dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar, UTHM telah menganjurkan Program “University for Society” (SULAM): Ergonomic@FKMP di dua sekolah iaitu SK Jelotong pada 5 Mei 2024 dan SK Pintas Puding pada 19 Mei 2024.

Manakala bagi program KTP, FKMP dengan kerjasama Pejabat Hubungan Universiti dan Industri (ICRC), UTHM telah menganjurkan Program “Knowledge Transfer Program” (KTP): Ergonomic@FKMP di dua sekolah iaitu SMK Seri Gading pada 14 Mei 2024 dan SMK Tun Ismail pada 21 Mei 2024.

Penyelaras dan Pengarah Program, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Nasrull Abdol Rahman berkata dengan pengiktirafan dan anugerah yang diterima itu dapat memupuk kesedaran kepada pelajar tentang pentingnya prinsip amalan ergonomik di sekolah.

“Melalui program ini, pelajar sekolah telah diberikan pendedahan berkenaan tip dan teknik pengendalian beg sekolah serta posisi postur duduk yang betul semasa sesi pembelajaran di dalam kelas berlangsung,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran program itu juga bertujuan untuk memupuk minat pelajar berkongsi hasil pembelajaran mereka di universiti kepada komuniti luar, selain membantu komuniti mengurangkan risiko kecederaan tulang belakang seperti penyakit skoliosis kepada pelajar akibat daripada bebanan beg sekolah yang berat serta postur duduk yang tidak betul semasa sesi pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Program ini juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu jadikan universiti untuk masyarakat melalui ‘Universiti for Society’.

“Program SULAM dan KTP: Ergonomic@FKMP ini diharap dapat memberi impak yang positif kepada komuniti dan masyarakat sekeliling terutamanya kepada pelajar dalam meningkatkan produktiviti persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti di sekolah,” katanya.