Baru-baru ini terdapat video tular di media sosial yang menyatakan bahawa Johor membosankan dan kurang destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi. Hal ini dinafikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mana beliau menyatakan negeri Johor sebenarnya mempunyai pelbagai khazanah dan pusat pelancongan yang berpotensi baik yang boleh dibanggakan. Pelbagai tarikan pelancong seperti taman negara, taman tema, muzium, galeri dan tapak ekopelancongan telah lama wujud di negeri Johor ini.
Juga boleh dibanggakan adalah gugusan pulau tropika yang bertaburan di Laut China Selatan dalam daerah Mersing, Johor. Setiap pulau ini mempunyai daya tarikan tersendiri, menawarkan pengalaman yang unik kepada pelancong yang sukakan cabaran dan juga yang ingin bersantai serta mencari ketenangan daripada tekanan kotaraya yang sibuk.
Keindahan semula jadi pulau-pulau di negeri Johor ini setanding dengan pulau-pulau di Maldives yang mana ia menawarkan keseronokan untuk pengunjung berekreasi dan bersantai bebas dari hiruk-pikuk kota. Namun kedudukannya yang jauh dari Johor Bahru dan juga Singapura menjadi penghalang kepada pelancong yang biasanya mempunyai masa yang singkat untuk bercuti di kepulauan ini.
Perjalanan darat dari Johor Baharu ke jeti Mersing atau Jeti Tanjung Leman biasanya mengambil masa lebih kurang dua jam 30 minit. Untuk ke pulau, dari jeti-jeti di daerah Mersing pula pengunjung perlu menggunakan perkidmatan bot laju atau feri dan perjalanan boleh mengambil masa kira-kira 30 minit sehingga dua ke lima jam bergantung kepada destinasi pulau yang dipilih dan keadaan laut.
Namun cuba bayangkan terdapat satu perkhidmatan perjalanan pelancongan untuk pergi bercuti ke pulau-pulau di negeri Johor ini yang bebas stres, tanpa perlu mengharungi perjalanan darat dan feri yang berjam-jam. Sudah tentu industri pelancongan negeri Johor menjadi semakin rancak, yang mana pelancong dalam negeri dan juga luar negara terutamanya dari Singapura akan berebut-rebut menggunakan perkhidmatan ini. Perkhidmatan perjalanan bebas stres ini dijangka hanya akan mengambil lebih kurang dari satu jam 30 minit untuk sampai ke destinasi pulau-pulau ini. Perkhidmatan yang dimaksudkan adalah penerbangan menggunakan pesawat laut atau seaplane.
Perkidmatan ini boleh berpengkalan di Danga Bay, Johor Bahru, yang mana penumpang boleh berlepas dari jeti khas menaiki pesawat laut yang meluncur di Selat Tebrau menuju ke pulau-pulau tropika negeri Johor yang bertaburan di Laut China Selatan. Semasa di udara pada mulanya anda akan dapat melihat hutan konkrit bandaraya Johor Bahru yang sentiasa sibuk dan pada akhir perjalanan, anda akan disajikan dengan pemandangan panorama pulau-pulau yang subur kehijauan di perairan Laut China Selatan yang air lautnya berkilauan membiru.
Dengan adanya perkhidmatan pesawat laut ini, dengan masa yang singkat pelancong boleh sampai ke pulau-pulau seperti Pulau Rawa, Pulau Tengah, Pulau Dayang dan Pulau Aur yang sesuai untuk aktiviti snorkling dan menyelam skuba. Pualu-pulau ini mempunyai perairan yang jernih dan terumbu karang yang kaya dengan kehidupan laut seperti penyu dan pelbagai jenis ikan.
Kepada yang berminat untuk merentas hutan tropika, Pulau Tinggi, Pulau Sibu dan Pulau Besar mempunyai hutan tebal yang menyimpan banyak rahsia alam seperti flora dan fauna tropika. Pulau Tinggi pula mempunyai air terjun yang tersembunyi di tengah-tengah hutan.
Selain pantai dan lautan yang menakjubkan, terdapat pulau yang mempunyai tempat-tempat bersejarah seperti rumah api di Pulau Pemanggil yang terkenal, dibina pada tahun 1914, dan gua besar Pulau Harimau, yang dikhabarkan telah menjadi tempat perlindungan bagi pelarian Vietnam.
Pulau Mensirip pula mempunyai replika mahkota Johor di dasarnya yang mana replika tersebut telah diletakkan oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa perasmian Taman Dasar Laut Sultan Iskandar di bawah program Jelajah Pulau Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Johor 2015.
Perkhidmatan pesawat laut ini adalah satu konsep perjalanan inovatif yang boleh merevolusikan industri pelancongan di kepulauan tropika negeri Johor. Diilhamkan oleh perkhidmatan pesawat laut ikonik Maldives, perkhidmatan ini menyediakan kaedah yang unik dan efisen untuk sampai ke destinasi pulau. Di samping masa perjalanan yang lebih singkat, pesawat laut ini menjadikan gugusan pulau di Johor ini mudah diakses kepada pelbagai pengunjung yang memerlukan destinasi percutian pendek atau mereka yang inginkan perjalanan ke destinasi tanpa stres. Perkhidmatan pesawat laut ini akan menjadi koridor yang menghubungkan Bandaraya Johor Bahru dengan gugusan kepulauan indah ini dan ia berpotensi melonjakkan negeri Johor sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Di Maldives pesawat laut turboprop 2 injin DHC-6 Twin Otter digunakan untuk perkhidmatan ini. Pesawat yang berkapasiti 15 penumpang ini terbukti kelasakannya memberi perkhidmatan kepada industri pengangkutan pelancong yang diguna oleh ketiga-tiga pengusaha penerbangan laut di Maldives. Penggunaan pesawat ini menjadi kunci kejayaan industri pelancongan di Maldives kerana ia dapat menghubungkan pelancong ke semua destinasi pulau-pulau di Maldives dengan cekap dan efisien. Oleh itu syarikat penerbangan pesawat laut Maldives boleh dijadikan rujukan untuk melaksanakan perkhidmatan ini di Johor.
Johor adalah sebuah negeri yang mana sultannya Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah lantik pada 31 Januari 2024 dan ditabalkan pada 20 Julai 2024 sebagai Yang di Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun. Johor juga telah dinamakan sebagai bandar tuan rumah bagi Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025. Baru-baru ini kerajaan Malaysia telah menamakan Iskandar Malaysia di Johor Bahru sebagai Special Economic Zone atau zon ekonomi khas dengan Singapura. Johor juga sedang merangka peningkatan infrastruktur dan strategi promos untuk program Tahun Melawat Johor 2026
Peristiwa di atas akan menarik dan mengundang minat lebih ramai pengunjung di dalam dan luar negara untuk mengenali negeri Johor. Lebih banyak perhatian telah dan bakal diberi kepada negeri Johor oleh agensi berita dan media sosial tempatan serta antarabangsa. Juga dilaporkan terdapat peningkatan terhadap minat pelancongan di negeri Johor dan ini merupakan berita yang baik buat penggiat industri pelancongan tempatan dan bakal memberi impak positif kepada ekonomi berasaskan pelancongan di negeri Johor dan juga Malaysia. Oleh itu industri pelancongan Johor perlu mengambil kesempatan terhadap situasi ini untuk mendapatkan publisiti yang akan mendedahkan keistimewaan produk pelancongan negeri Johor.
Perkhidmatan pesawat laut ini adalah satu anjakan pardigma yang boleh mengubah keadaan industri pelancongan gagasan kepulauan di negeri Johor ini. Dengan mewujudnya perkhidmatan pesawat laut ini, kerajaan negeri tidak perlu membina lapangan terbang. Pembinaan lapangan terbang di pulau-pulau kecil ini biasanya akan merosakan ekosistem laut dan mencemarkan alam sekitar pulau. Selain itu kos pembinaannya akan menjangkau berjutaan ringgit.
Perkhidmatan pesawat laut menawarkan kelebihan yang tidak dapat dinafikan, namun kepentingan menjaga alam sekitar juga perlu didahulukan. Langkah-langkah kelestarian, seperti menggunakan bahan api mesra alam dan mematuhi undang-undang alam sekitar yang ketat, adalah penting untuk memastikan perkhidmatan ini beroperasi secara bertanggungjawab dan meminimumkan kesannya terhadap ekosistem alam sekitar laut dan pulau. Seperti dicadangkan di atas, industri perkhidmatan pesawat laut Maldives boleh dijadikan rujukan kerana mereka telah berjaya menawarkan perkhidmatan ini sambil mengekalkan alam sekitar.
Sudah sampai masanya Johor mengorak langkah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan industri pelancong tempatan. Perkhidmatan pesawat laut ini bukanlah satu mustahil dilaksanakan. Baru-baru ini Pulau Perhentian di Terengganu, buat pertama kali menawarkan perkhidmatan pesawat laut yang dikendalikan oleh salah satu pengusaha resort di pulau itu.
Oleh itu perkhidmatan pesawat laut ini adalah satu inovatif yang perlu diwujudkan segera. Perkhidmatan yang dicadangkan ini lebih daripada sekadar pilihan perjalanan yang efisien, ia adalah evolusi yang akan mengubah konsep perjalanan ke gugusan pulau negeri Johor pada masa hadapan. Ia juga akan memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pelancong. Perkhidmatan ini juga akan melonjakkan Johor sebagai pilihan utama pelancong tempatan serta pelancong antarabangsa dan ia adalah satu strategi yang perlu dilaksanakan sekarang demi kejayaan industri pelancongan negeri Johor.
Mohamed Ismail bin KP Haji Pakir Mohamed
Pensyarah Kanan
Ketua Focus Group Manufacturung Tecnology Managment
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Harian (muka surat: 17), 25 Julai 2024: Pesawat laut mampu lonjak Johor dan Sinar Harian Online: https://www.sinarharian.com.my/article/676764/berita/cetusan/pesawat-laut-mampu-lonjak-johor .