Industri Pelancongan merupakan antara industri yang tertua di dunia yang bersifat unik dan dinamik. Keunikannya mampu menarik ramai pelancong dari seluruh pelusuk dunia untuk bergerak dan mengunjungi sesebuah tempat yang menarik. Kedinamikan industri pelancongan turut berkait rapat dengan perubahan iklim. Iklim yang kondusif boleh mempengaruhi gelagat dan keseronokan pelancong dalam proses membuat keputusan, pemilihan penginapan dan seumpamanya. Malahan iklim juga merupakan salah satu tarikan pelancongan.

Malaysia merupakan antara negara di Asia yang sedang pesat membangun. Justeru, selain daripada sektor-sektor lain, sektor pelancongan sememangnya penting bagi  Malaysia  kerana  ia mampu  menjana pulangan  yang  tinggi  sekali gus  memacu  ekonomi  negara  terutamanya  melalui  pertukaran  mata wang  asing.

Malaysia mencatatkan ketibaan 26,100,784 pelancong antarabangsa ke negara ini yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sepanjang tahun.  Manakala Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan menunjukkan produktiviti sektor pelancongan telah menyumbang sebanyak 14 peratus atau RM251.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 23.4 peratus kepada keseluruhan guna tenaga dengan 3.61 juta orang bekerja pada tahun 2022.

Walau bagaimanapun, perubahan iklim melampau berlaku di seluruh dunia kini telah mempengaruhi kejadian bencana alam seperti banjir dan kemarau, akan memberi tekanan dan menjejaskan banyak aktiviti pelancongan. Bencana sedemikian boleh menjejas dan memusnahkan destinasi pelancongan iaitu kehilangan aset alam semula jadi, ekonomi dan budaya bahkan boleh mengundang risiko dan isu keselamatan terhadap pelancong. Dengan ini jelas menunjukan bahawa bencana alam yang diakibatkan oleh perubahan iklim telah mempengaruhi industri pelancongan dengan menjejaskan jumlah kedatangan pelancong, kemusnahan aset pelancongan, ekonomi dan budaya serta menyumbang kepada isu-isu keselamatan pelancong ketika beriadah.

Menurut UNWTO (1996), aspek keselamatan dan jaminan adalah penting untuk menyediakan kualiti dalam industri pelancongan. Ini disebabkan oleh kejayaan atau kegagalan sesebuah destinasi pelancongan bergantung terhadap kebolehan untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada pelancong. Aspek ini lebih utama berbanding dengan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan yang lain. Ia turut menjadi kriteria dan pertimbangan utama pelancong dalam membuat pilihan destinasi percutian mereka.

Muktahir ini isu-isu keselamatan pelancong adalah amat membimbangkan.  Isu ini boleh mempengaharui aliran kemasukan atau pergerakan pelancong ke sesuatu destinasi pelancongan kerana kebimbangan yang serius terhadap isu keselamatan. Di Malaysia media massa kerap melaporkan kemalangan yang berlaku dalam kalangan pelancong akibat daripada kejadian bencana alam. Aktiviti perkelahan dan sukan air yang dijalankan pada musim hujan, destinasi pelancongan yang tidak selamat, persekitaran tempat perkelahan yang berisiko dan tiada kesedaran terhadap bencana alam dalam kalangan pelancong telah mengundang risiko dan kemalangan yang tidak diingini kepada mereka.

Tragedi banjir yang berlaku secara tiba-tiba di hulu sungai atau lebih dikenali sebagai ‘kepala air’ oleh penduduk tempatan ketika aktiviti riadah sedang berjalan merupakan antara bukti bahawa risiko dan isu keselamatan pengunjung semakin terancam. Kejadian banjir kepala air ini berlaku ekoran hujan lebat berlaku di kawasan hulu sungai, telah menyebabkan luahan dan kelajuan air sungai bertambah tanpa disedari oleh pengunjung. Sebagai contoh, tragedi kepala air yang dilaporkan oleh pihak media massa melibatkan seorang pengunjung wanita bersama tiga orang anaknya hanyut, lemas dan dilaporkan meninggal ketika sedang beriadah di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidur, Perak. Menurut laporan berita, tragedi ini telah menyebabkan seorang wanita maut, manakala tiga anaknya dilaporkan hilang dan juga dikhuatiri lemas.

Selain itu, kejadian tanah runtuh turut berlaku di kawasan tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor. Tragedi ini berlaku ekoran hujan lebat yang berlaku di kawasan tersebut, menyebabkan kawasan bercerun dan berbukit berketinggian 30 meter, hilang kestabilan dan tanah telah mengelunsur serta menimbus kawasan perkemahan tersebut.  Laporan awal daripada pihak media menyatakan bahawa terdapat kira-kira 100 orang berada di tapak perkhemahan itu yang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh berhampiran ladang organik.

Kejadian tanah runtuh dan banjir kilat juga sering berlaku di kawasan pelancongan Cameran Highland. Kekerapan bencana ini turut mempengaruhi dan menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut. Terkini sekali lagi kejadian tanah runtuh telah dilaporkan oleh media massa yang melibatkan 16 keluarga Orang Asli. Kejadian tanah runtuh telah berlaku berlaku di cerun petempatan Orang Asli Sungai Ruil, Cameran Highland. Walau bagaimanapun, penduduk yang terjejas telah diarahkan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kampung tersebut.

Terkini kejadian kepala air turut berlaku ketika aktiviti pertandingan memancing di Kota Marudu. Seramai 45 orang termasuk kanak-kanak terperangkap di Seberang Sungai. Kejadian yang berlaku pada jam 4 petang tersebut, telah berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi tersebut.

Kekerapan bencana yang mengakibatkan kecederaan dan kemalangan maut dalam kalangan pelancong dan penduduk telah menunjukkan bahawa aktiviti ekopelancongan sudah lagi tidak selamat di Malaysia. Tragedi-tragedi yang berlaku ini membuktikan bahawa destinasi yang dilawati mempunyai risiko dan pelancong berhadapan dengan isu keselamatan. Bencana yang berlaku adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti perubahan iklim yang menyebabkan berlaku bencana seperti hujan lebat, banjir, tanah runtuh dan ribut petir. Keadaan yang berlaku ini boleh menyebabkan pelancong yang sedang bercuti di destinasi tersebut berhadapan dengan kecederaan dan kematian seperti kejadian tanah runtuh di di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor, di Bidur Perak dan di Cameron Highland. Kecederaan dan kematian pelancong ketika sedang bercuti di kawasan ecotourisme jelas menunjukkan indikator bahawa ketahanan alam sekitar sudah mula goyah.

Sejajar dengan itu, pada masa kini, aspek keselamatan dan jaminan telah mengalami perubahan yang signifikan, iaitu daripada awalnya lebih atau kurang faktor pasif tetapi sekarang menjadi elemen aktif dalam pelancongan. Hal ini penting untuk melindungi pelancong dan hak milik mereka serta pencapaian industri pelancongan itu sendiri. Sehubungan dengan itu, pihak pembekal pelancongan perlu memahami bentuk risiko dalam tingkah laku pelancong dan peranan maklumat perjalanan dalam membentuk pilihan destinasi serta tingkah laku perjalanan. Seseorang perlu memahami bahawa berurusan dengan aspek keselamatan dan jaminan adalah kompleks dan urusannya adalah rumit. Ini disebabkan ia melibatkan pelbagai tahap pihak pemegang taruh daripada sektor swasta dan awam. Setiap pihak pula memainkan peranan yang berbeza serta mempunyai tanggungjawab yang berlainan dalam memastikan keselamatan dan jaminan.

Pengurusan risiko merupakan satu mekanisma yang boleh digunakan bagi mengurangkan risiko berkaitan isu keselamatan pelancong ketika sedang beriadah. Amalan pengurusan risiko akan dapat mengurang, menghindar dan juga menghapuskan impak bencana alam yang berlaku kepada pelancong. Pendekatan ini boleh dipraktiskan oleh pengusaha pelancongan, pelancong dan juga masyarakat awam supaya mereka mempunyai pengetahuan dan kesedaran berkenaan kepentingan menjaga dan memastikan keselamatan mereka semasa melancong. Pengurusan risiko boleh dijalankan secara holistik, bagi memastikan pihak berkepentingan dapat dilibatkan dalam pengurusan keselamatan pelancong ecotourisme. Pengusaha pelancongan contohnya, harus dilibatkan dalam kursus pengurusan risiko supaya mereka mempunyai pengetahuan dan kesedaran akan kemungkinan berlaku bencana alam sekitar di persekitaran mereka. Kerajaan perlu bertegas dengan mewajibkan pengusaha mengikuti kursus pengurusan risiko. Ini kerana keselamatan pelancong tiada kompromi.

Penggunaan teknologi dalam memantau keselamatan pelancong ketika beriadah adalah sangat penting. Kita mengakui bahawa teknologi boleh membantu dan memudahkan aspek pemantauan keselamatan di sesuatu tempat. Penggunaan “dron” oleh pihak pengusaha pelancongan boleh diaplikasikan bagi membantu, menyelia dan memantau keselamatan pelancong.

Selain itu, penggunaan Geographic Information System (GIS) boleh diaplikasi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengenal pasti dan menanda atau memplot kawasan-kawasan pelancongan dalam jajahan mereka yang mempunyai potensi untuk berlaku bencana atau dengan melabelkan sebagai kawasan Hot Sport. Dengan cara ini ia boleh membantu memberi pengetahuan dan kesedaran kepada pelancong dalam memilih destinasi pelancongan yang selamat.

Aspek keselamatan adalah penting diberi perhatian kerana ianya suatu jaminan dan tawaran daripada pihak pengusaha kepada pelancong. Oleh yang demikian, isu ini seharusnya dapat ditangani dengan baik dan perhatian serius daripada pelbagai pihak terutamanya pihak penyedia dan agensi perjalanan di negara asal dan negara penerima kehadiran pelancong, pihak kerajaan tuan rumah, penyedia perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti serta komuniti tempatan.

 

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Pensyarah Pengurusan Persekitaran Jabatan Pengurusan Pembinaan (JPP)

Penyelidik Utama Construction Sustainable, Infrastructure, Environmental Management (CSIEM)

Felo Penyelidik Bersekutu Institut Transformasi Sosial Dan Pembangunan

Wilayah (TRANSFORM) Jabatan Pengurusan Pembinaan

Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 15), 15 Julai 2024: Pengusaha ekopelancongan perlu sertai kursus pengurusan risiko