Malaysia sedang menjadi tumpuan utama syarikat teknologi global dengan pelaburan besar dalam infrastruktur pusat data oleh Nvidia, Microsoft dan Google. Nvidia, dengan kerjasama dengan YTL Power, sedang membangunkan pusat data AI bernilai 4.3 bilion di Sedenak, Johor yang akan menjadi pusat kepada superkomputer terpantas di Malaysia. Microsoft pula mengumumkan pelaburan 2.2 bilion untuk membina pusat data Azure pertama di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada inisiatif “Bersama Malaysia”, yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital dan keselamatan siber di negara ini. Google juga tidak ketinggalan dengan pelaburan dua bilion untuk pusat data dan perkhidmatan awan di Malaysia, memperkukuhkan infrastruktur digital negara dan menyediakan perkhidmatan awan yang lebih cekap dan boleh diakses oleh entiti perniagaan dan kerajaan. Pelaburan besar oleh ketiga-tiga syarikat ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia sebagai hab data dan teknologi di Asia Tenggara.

Pengkomputeran awan telah menjadi satu konsep yang amat popular dalam dunia teknologi maklumat (IT) moden. Ia merujuk kepada penyediaan sumber IT mengikut permintaan melalui internet dengan caj yang berasaskan penggunaan. Pengkomputeran awan membolehkan pengguna mengakses sumber-sumber seperti rangkaian, aplikasi, kecerdasan buatan (AI), mesin maya, penyimpanan, dan pangkalan data secara langsung melalui internet tanpa perlu memiliki dan menyelenggara perkakasan fizikal yang berkaitan. Konsep ini telah merevolusikan cara sesebuah syarikat mahupun individu mengurus dan menggunakan sumber IT mereka, memberikan fleksibiliti dan kecekapan yang belum pernah ada sebelum ini.

Salah satu ciri utama pengkomputeran awan adalah perkhidmatan secara layan-diri mengikut permintaan (on-demand self-service). Ini bermakna pengguna boleh mengakses sumber IT bila-bila masa tanpa perlu intervensi kakitangan teknikal dari penyedia perkhidmatan. Sebagai contoh, jika seorang pengurus syarikat memerlukan pelayan tambahan untuk menampung lonjakan trafik di laman webnya, beliau boleh menambah kapasiti pelayan tersebut dengan beberapa klik sahaja tanpa perlu berurusan dengan kakitangan teknikal. Ciri ini bukan sahaja mempercepatkan proses pengurusan sumber IT tetapi juga mengurangkan kos operasi.

Selain itu, pengkomputeran awan menyediakan akses rangkaian yang luas, membolehkan perniagaan dengan pelanggan di pelbagai lokasi geografi untuk beroperasi dengan lebih efisien. Sebagai contoh, jika sebuah perniagaan mempunyai pelanggan yang terletak di Asia, Eropah dan Amerika, semua data dan aplikasi boleh diakses melalui rangkaian awan dari mana-mana lokasi ini tanpa menjejaskan latensi. Selain daripada itu, pekerja syarikat juga boleh mengakses aplikasi dan data syarikat dari mana-mana sahaja, asalkan mereka mempunyai sambungan internet yang stabil. Keupayaan ini juga membolehkan kolaborasi yang lebih baik antara pekerja yang berada di lokasi geografi yang berbeza, meningkatkan produktiviti dan kecekapan kerja. Dengan pengkomputeran awan, komunikasi dan perkongsian data antara pelanggan dan pekerja di pelbagai benua dapat dilakukan dengan lancar, menjadikan operasi perniagaan lebih efektif dan responsif terhadap keperluan pelanggan di seluruh dunia.

Pengumpulan sumber (resource pooling) adalah satu lagi ciri penting pengkomputeran awan. Sumber IT dikumpulkan untuk melayani pelbagai pengguna menggunakan model multi-penyewa, dengan sumber fizikal dan maya yang dinamik diperuntukkan dan diperuntukkan semula mengikut permintaan pengguna. Model ini memastikan penggunaan sumber yang optimum dan mengurangkan pembaziran. Sebagai contoh, pelayan yang tidak digunakan oleh satu pengguna boleh digunakan oleh pengguna lain, menjadikan penggunaan sumber lebih efisien dan kos efektif.

Keanjalan pantas (rapid elasticity) adalah merupakan kelebihan utama pengkomputeran awan. Sumber IT boleh diperluaskan atau dikurangkan dengan cepat dan sesuai dengan keperluan pengguna, memberikan fleksibiliti yang tinggi. Jika suatu laman web mengalami lonjakan trafik, ia boleh dengan mudah menambah kapasiti sumber IT secara automatik untuk memenuhi permintaan tersebut. Sebaliknya, jika permintaan menurun, ia boleh mengurangkan kapasiti sumber IT secara automatik bagi mengelakkan pembaziran dan menjimatkan kos.

Pengkomputeran awan juga menyediakan perkhidmatan tersukat (measured service). Sistem pengkomputeran awan secara automatik mengawal dan mengoptimumkan penggunaan sumber IT melalui kemampuan pengukuran pada beberapa tahap abstraksi yang sesuai dengan jenis perkhidmatan. Ini membolehkan pengguna memantau dan mengurus penggunaan sumber mereka dengan lebih baik, memastikan mereka hanya membayar untuk apa yang mereka gunakan. Model pembayaran berasaskan penggunaan ini juga menjadikan pengkomputeran awan lebih menarik bagi perniagaan kecil dan sederhana yang mungkin mempunyai bajet IT yang terhad.

Terdapat pelbagai penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan yang terkenal di pasaran, antaranya Amazon Web Services (AWS), Microsoft Azure, Google Cloud, dan Alibaba Cloud. AWS menguasai 33% pasaran, menjadikannya penyedia terbesar. Azure menguasai 22% pasaran, diikuti oleh Google Cloud dengan 11% dan Alibaba Cloud dengan 4%. Selain itu, terdapat penyedia lain seperti VULTR, Linode, DigitalOcean, UpCloud, dan TM ONE yang turut menawarkan perkhidmatan pengkomputeran awan.

Model perkhidmatan pengkomputeran awan terbahagi kepada tiga kategori utama: Infrastruktur sebagai Perkhidmatan (IaaS), Platform sebagai Perkhidmatan (PaaS) dan Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS). Dalam model IaaS, pengguna menguruskan aplikasi, data, runtime, middleware dan sistem operasi, manakala penyedia menguruskan virtualisasi, pelayan, penyimpanan dan rangkaian. Model ini memberikan pengguna kawalan penuh ke atas infrastruktur IT mereka, membolehkan mereka menyesuaikan persekitaran IT mengikut keperluan khusus mereka.

PaaS, sebaliknya, memberikan tahap pengurusan yang lebih tinggi. Pengguna menguruskan aplikasi dan data, manakala penyedia menguruskan runtime, middleware, sistem operasi, virtualisasi, pelayan, penyimpanan dan rangkaian. Model ini membolehkan pengguna membina, menguji dan menyebarkan aplikasi dengan lebih cepat tanpa perlu risau tentang pengurusan infrastruktur asas. PaaS amat berguna bagi pembangun aplikasi yang ingin menumpukan perhatian kepada penulisan kod dan pembangunan ciri-ciri baharu tanpa perlu risau tentang pengurusan infrastruktur.

Model SaaS adalah model perkhidmatan yang paling komprehensif. Penyedia menguruskan semua komponen, termasuk aplikasi, data, runtime, middleware, sistem operasi, virtualisasi, pelayan, penyimpanan dan rangkaian. Pengguna hanya perlu mengakses perkhidmatan melalui internet tanpa perlu risau tentang pengurusan sebarang komponen IT. Contoh popular SaaS termasuk aplikasi seperti Microsoft Office 365, Google Workspace dan Salesforce. Model ini sangat sesuai bagi perniagaan yang ingin mengurangkan beban pengurusan IT dan menumpukan kepada aktiviti teras perniagaan mereka.

Pengkomputeran awan menawarkan pelbagai manfaat yang menjadikannya pilihan yang menarik bagi syarikat dan individu. Salah satu manfaat utamanya adalah kecekapan kos. Dengan pengkomputeran awan, perniagaan boleh mengurangkan kos penyelenggaraan infrastruktur IT fizikal. Mereka tidak perlu lagi melabur dalam pelayan, penyimpanan dan rangkaian yang mahal. Sebaliknya, mereka boleh membayar hanya untuk sumber yang mereka gunakan, menjimatkan kos dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

Selain itu, pengkomputeran awan menawarkan kebolehkembangan (scalability) yang tinggi. Sumber IT boleh diubah suai mengikut keperluan perniagaan. Jika perniagaan berkembang, mereka boleh dengan mudah menambah kapasiti sumber IT untuk memenuhi permintaan yang meningkat. Begitu juga, jika perniagaan mengalami penurunan, mereka boleh mengurangkan kapasiti sumber IT untuk mengelakkan pembaziran. Keupayaan ini memastikan perniagaan sentiasa mempunyai sumber yang mencukupi tanpa perlu risau tentang kekurangan atau pembaziran sumber.

Fleksibiliti dan aksesibiliti adalah manfaat lain yang ditawarkan oleh pengkomputeran awan. Ia membolehkan akses kepada sumber IT dari mana-mana lokasi pada bila-bila masa. Ini amat berguna bagi perniagaan yang mempunyai pekerja yang bekerja dari rumah atau pejabat yang berbeza. Pekerja boleh mengakses aplikasi dan data syarikat dengan mudah, meningkatkan produktiviti dan kecekapan kerja. Fleksibiliti ini juga membolehkan perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan perniagaan dengan lebih cepat dan efisien.

Pengkomputeran awan juga terkenal dengan kebolehpercayaannya dan ketersediaan yang tinggi (reliability and high availability). Penyedia perkhidmatan awan biasanya menawarkan perkhidmatan yang stabil dan sentiasa tersedia, memastikan perniagaan boleh beroperasi tanpa gangguan. Penyedia perkhidmatan awan juga mempunyai mekanisme pemulihan bencana yang pantas dan efisien, memastikan perniagaan boleh pulih dengan cepat sekiranya berlaku kegagalan sistem. Ini memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna, mengetahui bahawa data dan aplikasi mereka sentiasa selamat dan tersedia.

Akhir sekali, pengkomputeran awan menyediakan kemaskini automatik dan penyelenggaraan. Penyedia perkhidmatan menguruskan kemaskini perisian dan penyelenggaraan perkakasan secara automatik, memastikan perniagaan sentiasa menggunakan teknologi terkini tanpa perlu melabur masa dan sumber dalam pengurusan IT. Ini membolehkan syarikat menumpukan kepada aktiviti teras perniagaan mereka, meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

Secara keseluruhan, pengkomputeran awan adalah masa depan penyampaian perkhidmatan IT. Ia menawarkan fleksibiliti, kecekapan dan keandalan yang diperlukan oleh perniagaan moden untuk berkembang dalam dunia digital yang sentiasa berubah. Dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan, pengkomputeran awan adalah pilihan yang bijak bagi syarikat mahupun individu yang ingin meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran global yang semakin mencabar.

 

 

 

Dr. Nur Ariffin Mohd Zin

Penyelidik Utama

Applied Information System Focus Group (AIS)

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)