Oleh Ts. Dr. Khalid Isa, Suriayati Baharom

Seorang pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik mengetuai delegasi ke Misi Sukarelawan Siswa YSS-Asean Green Summer Volunteer Campaign Vietnam 2024 yang bermula pada 04 Julai sehingga 09 Ogos 2024.

Muhammad Shahrulazmi Hashim dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina telah terpilih mewakili universiti daripada 1040 calon yang hadir ke sesi temuduga dan pemilihan sukarelawan siswa yang diadakan pada 30 dan 31 Mac lalu anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Perpaduan Negara.

Shahrulazmi yang merupakan mantan Timbalan Yang Dipertua (TYDP) Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2022/2023 pernah ditemubual oleh Bernama Radio berkaitan misi tersebut pada 5 Julai lalu dalam slot ‘Jendela Fikir: Misi Sukarelawan Siswa YSS Green Summer Volunteer Campaign ke Vietnam 2024.’

Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Ts. Dr. Khalid Isa calon yang dipilih adalah mereka yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan yang mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Misi sukarelawan siswa yang dilaksanakan di Ho Chi Minh, Vietnam ini bermatlamat untuk membangunkan pelajar holistik dan seimbang yang sentiasa bermotivasi dalam mewujudkan dunia yang lebih baik.

“Ia juga bermatlamat melahirkan pelajar yang prihatin, bertanggungjawab dan empati terhadap isu-isu kemanusiaan domestik dan global,” jelas beliau.

Dengan tema ‘Kesukarelawanan untuk Perpaduan,’ misi tersebut dilaksanakan dengan konsep immersion yang mana sukarelawan siswa akan tinggal bersama komuniti tempatan dan melaksanakan kerja sukarelawan yang dirancang secara terperinci.

 

Majlis Pelancaran Misi Sukarelawan Siswa YSS-Asean Green Summer Volunteer Campaign Vietnam 2024.