KLUANG – Pasukan Bola Jaring Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mewakili DUN Semarang telah berjaya meraih tempat ketiga ketika menyertai Sukan Bangsa Johor 2024 di Kompleks Sukan Kluang, Johor pada 13 dan 14 Julai 2024 lalu.

Seramai 12 pelajar UTHM dari pelbagai fakulti yang dilatih oleh Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim, Pensyarah Kanan FPTP berjaya meraih tempat ketiga daripada 56 penyertaan dengan menewaskan DUN Larkin melalui pungutan mata 11 berbalas 4.

Pada masa yang sama, Pasukan Bola Jaring UTHM telah menjadi penyumbang kepada pungutan mata sehingga DUN tersebut dinobatkan sebagai ‘Juara Keseluruhan’ Sukan Bangsa Johor 2024.

Menurut Dr. Hilmi, Pasukan Bola Jaring UTHM berjaya menyumbang lima mata daripada 17 mata jumlah keseluruhan.

Tambah beliau, Sukan Bangsa Johor yang diadakan setiap tahun merupakan satu platform yang baik kepada pembangunan sukan di negeri Johor.

Platform Sukan Bangsa Johor yang menghimpunkan lebih 600 atlet bola jaring dari pelbagai daerah telah menonjolkan kepelbagaian kualiti persembahan pemain, selain berupaya meningkatkan kualiti kepengadilan yang bertaraf kebangsaan.

“Penyertaan Pasukan Bola Jaring UTHM ini merupakan satu langkah yang baik bagi meningkatkan kemahiran dan kualiti persembahan pasukan di peringkat negeri.

“Penyertaan UTHM ke kejohanan ini juga turut memberi peluang kepada pasukan ini bersaing secara sihat bersama pasukan-pasukan terkemuka dan hebat di negeri Johor,” katanya.