Oleh Suriayati Baharom

PAGOH – Lebih 500 pelajar baharu mula mendaftar diri pada 28 Julai 2024 bagi melanjutkan pengajian peringkat diploma di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh pendaftaran.

Pendaftaran yang dibuat secara fizikal itu melibatkan tujuh kursus yang ditawarkan oleh UTHM iaitu Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia, Diploma Sains Gunaan dan Diploma Teknologi Animasi.

Kesemua pelajar baharu itu akan mengikuti sesi perkuliahan semester khas sesi 2024/2025 bermula 4 Ogos ini secara bersemuka bertempat UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Terdahulu, mereka perlu mengikuti Minggu Haluan Siswa yang dijadual berlangsung selama enam hari bermula 28 Julai sehingga 1 Ogos ini.

Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim turut menyambut kedatangan para pelajar baharu dan ibu bapa Ketika hari pertama pendaftaran berlangsung.

Turut serta menyantuni mereka, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin dan Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad.

Dato’ Ruzairi mewakili universiti mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada kesemua pelajar baharu tersebut.

Beliau berharap mereka dapat menggunakan peluang melanjutkan pengajian di UTHM ini dengan sebaik mungkin sekali gus dapat menjadi kebanggaan kedua ibu bapa serta universiti.

Untuk rekod, program diploma UTHM yang melibatkan tempoh masa pengajian selama dua tahun sembilan bulan itu mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) serta mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi.

Pelajar program diploma di UTHM mempunyai peluang yang tinggi untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di universiti ini kerana CGPA yang diperlukan sekurangnya 2.5 sahaja dan tidak perlu bersaing dengan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi mahupun politeknik melalui permohonan Unit Pusat Universiti (UPU).

Selain itu, lebih 10 bantuan kebajikan telah disediakan oleh pihak universiti bagi membantu para pelajar yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lancar.