Thailand sejak abad ke-17 telah berangan-angan untuk mengali terusan sepanjang 90 kilometer untuk menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Thailand di Segenting Kra, Selatan Thailand. Tujuan projek ini adalah untuk menyediakan laluan perdagangan baharu yang akan memintas Singapura dan juga Selat Melaka. Projek terusan ini kerap dibincangkan bertahun-tahun lamanya oleh kerajaan Thailand tetapi kos projek yang tinggi adalah penghalang utama.
Namun baru-baru ini mereka telah membuat keputusan untuk mengubah skop projek tersebut. Mereka bercadang untuk membina “land bridge” ataupun jambatan darat. Projek jambatan darat yang dijangka menelan belanja sebanyak USD28 billion. Objektif projek ini adalah untuk menghubungkan dua pelabuhan laut dalam di pantai timur dan barat Thailand melalui sistem kereta api, jalan raya dan juga laluan paip untuk industri minyak dan gas dan ia masih menepati tujuan asal projek yaitu memintas Singapura dan Selat Melaka.
Tetapi ramai yang tidak tahu sebelum wujudnya empayar kesultanan Melaka, sudah ada laluan kapal perdagangan yang memintas Singapura. Laluan itu dikenali sebagai jalan Penarikan. Laluan ini amat popular kerana pedagang yang ingin mengelak melalui laluan Singapura yang terkenal dengan gangguan lanun. Laluan Penarikan ini pernah diguna oleh Hang Tuah ketika beliau melarikan Tun Teja dari Pahang ke Melaka ketika zaman kesultanan Melaka. Yang menariknya laluan ini, selain diguna sebagai laluan komersial ia juga pernah diguna oleh tentera Siam semasa mereka menyerang dan menjajah Tanah Melayu.
Oleh itu jalan Penarikan ini telah menjadi laluan alternatif yang menghubungkan Laut China Selatan dengan Selat Melaka oleh pedagang-pedagang zaman dahulu. Ia bermula dari Sungai Pahang di Pekan, yang mana kapal perdagangan bermudik ke Sungai Bera (anak Sungai Pahang) dan kemudian terus ke Sungai Serting (anak Sungai Bera). Terdapat satu tempat di hulu Sungai Serting, yang mana kapal akan naik ke darat dan ditarik sejauh 600 meter melalui kawasan yang dipanggil Bukit Penarik. Seterusnya, kapal akan masuk ke Sungai Jempol, yang terletak di Negeri Sembilan, bermudik ke Sungai Muar, sehingga sampai ke Bandar Maharani, Muar dan seterusnya menyambung perjalanan ke Melaka atau kawasan lain di barat Semenanjung Tanah Melayu. Laluan pintas ini ditemui oleh keluarga Pasai yang berhijrah dari Aceh yang membuka daerah yang mereka panggil Jempol.
Catatan sejarah ada menyatakan, kedalaman sungai-sungai ini ketika zaman dahulu adalah sekitar enam ke sembilan meter. Keadaan ini membolehkan kapal perdagangan komersial atau jong yang besar memudik sungai ini dan ditarik merentas Bukit Penarik oleh penduduk tempatan yang sedia ada menawarkan perkhidmatan menarik kapal atau jong. Malangnya pembangunan yang rakus tanpa memikirkan kesan terhadap alam sekitar telah menjadikan sungai-sungai ini menjadi cetek dengan kedalaman sekitar satu ke dua meter sahaja.
Terdapat satu artikel yang ditulis oleh Tajuddin Abdullah, seorang profesor bersara dan felo Akademi Sains Malaysia yang mencadangkan agar laluan bersejarah ini dihidupkan semula dan diberi nafas baharu untuk laluan kapal kontena moden. Beliau juga mencadangkan agar laluan darat sejauh 600 meter di Bukit Penark digali dan dijadikan terusan yang boleh menghubungkan sungai-sungai tersebut.
Beliau berpendapat, laluan sungai yang menghubungkan Muar ke Pekan ini boleh menjadi pemangkin ekonomi tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dengan sebagai hab logistik global. Pandangan beliau ini ada meritnya, namun pemulihan laluan air bersejarah yang telah dilupakan ini akan memerlukan penelitian yang rapi sebelum dilaksanakan.
Cabaran dan pertimbangan
Oleh itu beberapa pekara dan persoalan perlu diteliti dan dijawab untuk merealisasikan hasrat ini. Pertama, keadaan struktur sungai perlu dinilai. Adakah laluan tersebut boleh dilayari untuk kapal komersial yang besar? Kedalaman, lebar dan kehadiran selekoh dan halangan semuanya perlu dipertimbangkan
Seterusnya perlu dinilai impak pada alam sekitar. Bolehkah projek itu dilakukan secara mampan? Kajian aliran air, ekologi dan potensi pencemaran mesti dijalankan dan diambil kira. Sungai yang dipulihkan dengan betul boleh meningkatkan kualiti air, mewujudkan habitat tanah lembab dan juga sebagai penebat banjir.
Juga yang teramat penting perlu dinilai adalah impak pada ekonomi. Adakah kos mengali terusan di Bukit Penarik, mendalamkan sungai- sungai, pembangunan infrastruktur dan penyelenggaraan akan diimbangi dengan peningkatan aktiviti perkapalan yang diunjurkan? Kajian kebolehlaksanaan menyeluruh adalah penting untuk memastikan dari segi kewangan projek ini berdaya maju. Kos pelaburan keseluruhan perlu memberi pulangan yang memberangsangkan kepada ekonomi negara.
Tidak lupa juga pekara yang perlu dinilai adalah persepsi awam. Masyarakat mungkin mempunyai kebimbangan mengenai potensi kerosakan alam sekitar, pencemaran bunyi, atau gangguan kepada aktiviti rekreasi. Komunikasi dan dialog terbuka untuk menangani kebimbangan ini secara langsung perlu dilaksanakan.
Sekiranya hasil kajian pekara di atas menujukan kemungkinan yang positif, beberapa langkah seperti berikut perlu dirangka dan dilaksanakan.
Transformasi Sungai
Aktiviti mengorek untuk mendalamkan dasar sungai diperlukan untuk menampung kapal-kapal yang lebih besar. Oleh itu penggunan teknik pengorekan terkini dan mesra alam perlu diberi keutamaan semasa mendalamkan sungai. Seterusnya pelebaran sungai mesti dipertimbangkan untuk memudahkan kapal- kapal besar memudik laluan ini.
Selain dari pengorekan dan melebarkan sungai, pengukuhan tebing-tebing sungai juga perlu dilaksanakan. Hakisan tebing sungai boleh terjadi kesan daripada ombak yang disebabkan oleh kapal- kapal yang bakal mengunakan laluan ini. Oleh itu, mengukuhkan dan menstabilkan tebing sungai boleh membendung fenomena ini.
Seterusnya, pembinaan terusan merentas Bukit Penarik sepanjang 600 meter perlu dilaksanakan untuk menghubungkan sungai-sungai yang terbabit. Sekiranya sungai mempunyai perubahan ketinggian yang ketara, kunci empangan mungkin diperlukan untuk mengawal aliran air dan membolehkan laluan yang selamat.
Juga perlu diadakan alat bantuan navigasi. Teknologi moden seperti pelampung, penanda saluran, dan sistem navigasi elektronik perlu ada untuk menjamin kelancaran dan keselamatan operasi perkapalan di laluan ini.
Perlu diingatkan, bahawa transformasi sungai sedikit sebanyak akan mengganggu aliran semula jadi sungai dan berpotensi membawa kesan yang tidak diingini. Oleh itu satu strategi mitigasi untuk mengurangkan kemudaratan kepada ekosistem perlu dilaksanakan.
Membina dan menaik taraf ekosistem infrastruktur dan logistik
Mewujudkan pelabuhan dan terminal yang moden dengan kemudahan pemuatan dan pemunggahan yang cekap adalah penting. Fasiliti berkenaan perlu diwujukan berdekatan dengan kuala Sungai Muar dan Pekan. Fasiliti ini juga perlu disantuni dengan mewujudkan hab logistik yang lengkap dengan fasiliti pergudangan dan pusat pengedaran. Ini akan memudahkan aktiviti pengurusan rantaian bekalan untuk industri pembuatan tempatan.
Selain itu, menaik tarafkan jambatan sedia ada perlu dilakukan. Membina semula jambatan sedia ada yang merentas sungai yang terbabit dengan ketinggian yang bersesuaian amat penting. Ini akan memudahkan kapal-kapal memudik sungai tanpa halangan.
Manfaat berganda
Projek ini dapat merangsang ekonomi negara. Laluan Penarikan baharu ini boleh meningkatkan aktiviti perdagangan, memulihkan ekonomi tempatan dan mewujudkan pekerjaan baharu dalam industri pembinaan, perkapalan dan logistik.
Ia juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Penghantaran barangan melalui laluan air pada umumnya lebih cekap yang mana ia boleh mengangkut barangan yang lebih banyak berbanding dengan laluan darat. Ini secara tidak langsung boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan raya.
Juga limpahan daripada projek ini akan menyebabkan pembangunan bandar-bandar baru: Kawasan di sekitar pinggir sungai boleh dimajukan dengan membina bandar baharu yang lengkap dengan pusat perniagaan dan kemudahan rekreasi.
Seperti yang disarankan, projek ini perlu mengambil kira impak kepada alam sekitar. Jika ia dilaksanakan dengan betul, ia akan memberi faedah yang positif kepada alam sekitar seperti peningkatan kualiti air, pemulihan habitat sungai dan penebatan banjir.
Kesimpulannya, memulihkan sungai lama untuk operasi perkapalan komersial adalah usaha yang kompleks. Walau bagaimanapun, dengan mengutamakan perlindungan kelestarian alam sekitar, menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh, dan penglibatan serta sokongan masyarakat, kita dapat membuka potensi dan mengubah status laluan air yang dilupakan ini, kepada satu laluan perdagangan yang berdaya saing. Pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi tetapi ia juga dapat mewujudkan rangkaian pengangkutan yang efisien yang lebih mampan untuk industri logistik dan rantaian bekalan negara.
Mohamed Ismail KP Haji Pakir Mohamed
Pensyarah Kanan
Ketua Focus Group Manufacturung Tecnology Managment
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Harian (muka surat: 17), 29 Julai 2024: Laluan air yang dilupakan
2. Sinar Harian (sinarharian.com.my), 29 Julai 2024: Laluan air yang dilupakan
https://www.sinarharian.com.my/article/677402/berita/cetusan/laluan-air-yang-dilupakan
3. Utusan Malaysia (muka surat: 9), 5 Ogos 2024: Beri nafas baharu laluan perkapalan Penarikan
4. Utusan (utusan.com.my), 5 Ogos 2024: Beri nafas baharu laluan perkapalan Penarikan
https://www.utusan.com.my/premium/2024/08/beri-nafas-baharu-laluan-perkapalan-penarikan/