KOTA TINGGI – Pusat Kecemerlangan Elektromagnet Gunaan (EMCenter), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bekerjasama melancarkan Projek Hidroponik Sifar Karbon (HCO2) sekolah-sekolah di bawah Parlimen Kota Tinggi pada 29 Julai 2024 lalu.
Majlis Pelancaran Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program) KTP@Kota Tinggi yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (Felda) Lok Heng Selatan itu disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Hadir sama ke majlis pelancaran tersebut, ADUN Johor Lama, Cik Norlizah Noh; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad; Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) UTHM, Prof. Eur Ing. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK Felda Lok Heng Selatan, Hayati Ibrahim.
Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah.
Tujuh sekolah di bawah Parlimen Kota Tinggi telah terpilih untuk menerima set hidroponik sifar karbon iaitu Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman, SMK Bandar Kota Tinggi, SMK Bandar Easter, SK Sedili Kecil, SK Felda Lok Heng, SK Felda Lok Heng Selatan dan SK Tun Dr. Syed Nasir.
Prof. Rabiah dalam ucapannya berharap set hidroponik solar itu dapat menarik minat pelajar dalam bidang STEM dan TVET, sekali gus dapat memberikan mereka pendedahan kepada teknologi pertanian moden yang lestari.
Kerajaan Malaysia melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menggariskan kepentingan STEM dan TVET sebagai salah satu tonggak utama dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara.
“Dengan memperkenalkan teknologi hidroponik yang mesra alam, kita dapat menggalakkan pelajar untuk lebih mencintai sains dan teknologi serta memupuk kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar.
“Pendekatan ini penting dalam melahirkan generasi yang celik teknologi dan peka terhadap isu-isu alam sekitar,” katanya.
Melalui set hidroponik sifar karbon ini, UTHM berharap dapat melahirkan generasi yang celik teknologi dalam bidang pertanian dan menarik lebih ramai belia pelapis dalam kalangan generasi muda untuk terlibat dalam pertanian moden.
“Semoga program ini memberikan manfaat besar kepada semua pihak dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain di Malaysia, seterusnya membantu menjamin keselamatan makanan negara pada masa akan datang,” tambah Prof. Rabiah.
Terdahulu, MTUN yang terdiri daripada empat universiti teknikal di Malaysia, termasuk UTHM diberi mandat untuk memperkukuhkan pendidikan teknikal dan vokasional di negara ini.
“Kami komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan relevan dengan keperluan industri dan masyarakat serta serius dalam melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi.
“UTHM turut memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman melalui penganjuran program seperti Program Knowledge Transfer (KTP) dan Service-Learning Malaysia University for Society (SULAM), yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam bilik darjah ke dalam situasi dunia sebenar,” katanya.
Untuk rekod, Sekolah Kebangsaan (Felda) Lok Heng Selatan merupakan Sekolah Angkat UTHM yang telah menerima Anugerah Sekolah Angkat Aktiviti Paling Berimpak berikutan banyak program bertaraf antarabangsa yang dilaksanakan bersama UTHM.
Inisiatif Sekolah Angkat UTHM bertujuan meningkatkan jalinan kerjasama antara universiti dan institusi pendidikan rendah serta menengah di Johor.
Melalui program itu, UTHM melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi impak sosial tinggi, termasuk program pemindahan ilmu dan pembangunan kemahiran dalam bidang yang diperlukan oleh negara.
Pelajar dan guru dari sekolah angkat berpeluang untuk terlibat dalam bengkel STEM, kursus TVET dan aktiviti kemasyarakatan yang lain.
Beberapa program berimpak telah dilaksanakan sebelum ini di daerah Kota Tinggi antaranya projek pembersihan pantai, bengkel dan latihan robotik peringkat daerah, misi bantuan banjir dan kursus pengendalian dron.
Semua program itu membuktikan komitmen UTHM dalam memberikan manfaat kepada komuniti dan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan staf UTHM.