Kerajaan perlu terus menambah baik undang-undang dan dasar yang menyokong keseimbangan kerja dan kehidupan, serta memperkenalkan program kesedaran dan pendidikan yang berkaitan. Selain itu, majikan perlu mengamalkan budaya kerja yang lebih fleksibel dan mesra pekerja, serta menyediakan sokongan yang diperlukan untuk kesejahteraan pekerja.

Pekerja pula perlu mengambil tanggungjawab untuk menguruskan kehidupan mereka dengan bijak, mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, serta berkomunikasi dengan majikan mengenai keperluan dan kebimbangan mereka– Prof. Madya Ts Dr. Md Fauzi Ahmad.

 

Malaysia berada di kedudukan kedua terburuk di dunia berkaitan keseimbangan kerja dan kehidupan daripada 60 negara sekali gus menjadi negara Asia yang terburuk dalam indeks tersebut, menurut kajian terkini oleh Remote, sebuah syarikat perkhidmatan sumber manusia global. Kajian ini menunjukkan bahawa ramai pekerja di Malaysia bekerja lebih beban daripada yang sepatutnya dan mempunyai sedikit atau tiada masa untuk berehat serta memulihkan tenaga selepas seharian berkerja.

Data yang dikumpul pada Mac 2023 mendedahkan bahawa Malaysia mencatatkan purata kerja mingguan 40.8 jam berserta gaji minimum ASD1.07 (kira-kira RM5.04) sejam, dan berkongsi kedudukan negara yang paling banyak bekerja bersama Mexico dan Nigeria. Berdasarkan kedudukan ini, terdapat keperluan mendesak untuk Malaysia meningkatkan kesejahteraan pekerja.

Menurut kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), lebih daripada 50% pekerja di Malaysia mengalami tekanan kerja, dan hampir 25% mengalami tekanan yang tinggi. Ini menandakan bahawa ramai pekerja di Malaysia berdepan dengan tekanan dalam menjalankan tugas harian mereka.

Semakin banyak tugas yang diberikan oleh majikan, semakin tinggi tekanan yang dirasakan. Tekanan yang berlebihan boleh menyebabkan keletihan mental dan fizikal, sekali gus menjejaskan prestasi. Kajian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mendapati bahawa keseimbangan antara kerja dan kehidupan mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja.

Keseimbangan ini merupakan elemen yang penting dalam dunia pekerjaan yang penuh cabaran. Kemampuan individu memenuhi tuntutan kerja tanpa mengorbankan aspek kehidupan seperti keluarga, kesihatan dan pembangunan peribadi adalah penting. Keseimbangan ini memerlukan komitmen yang holistik daripada semua pihak. Oleh itu, komitmen pemegang taruh daripada kerajaan, majikan dan pekerja adalah sangat diperlukan untuk mencapai kesejahteraan pekerja secara holistik.

Peranan kerajaan

Kerajaan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar dan undang-undang yang menyokong keseimbangan ini. Sebagai contoh, Akta Kerja 1955 menetapkan hak pekerja seperti cuti tahunan, cuti sakit dan waktu rehat. Namun, kajian menunjukkan bahawa hanya 34% pekerja Malaysia merasa mereka mempunyai keseimbangan kerja dan kehidupan yang baik.

Kerajaan komited untuk memastikan rakyat mempunyai tempat kerja yang sihat, selamat dan lebih manusiawi. Kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk meratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang kini terpakai kepada semua sektor ekonomi untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang lebih baik.

Penguatkuasaan Akta Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang merangkumi peruntukan berkaitan anti-diskriminasi dan waktu kerja fleksibel adalah bertujuan melaksanakan persekitaran kerja kondusif di pelbagai industri. Ini merupakan usaha kerajaan untuk memastikan tempat kerja bukan sahaja selamat dan sihat secara fizikal, tetapi juga mengimbangi kesihatan mental.

Kerajaan perlu memperkenalkan lebih banyak inisiatif seperti kempen kesedaran dan program latihan untuk majikan dan pekerja. Program seperti ini dapat membantu meningkatkan pemahaman tentang bagaimana mengurus tekanan kerja dan kesihatan mental, serta menggalakkan budaya kerja yang lebih fleksibel dan inklusif. Sebagai contoh, kerajaan telah melancarkan kempen kesedaran kesihatan mental yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam kalangan pekerja.

Selain itu, kerajaan perlu menyediakan insentif kepada syarikat yang melaksanakan amalan mesra keluarga dan keseimbangan kerja. Sebagai contoh, insentif cukai kepada syarikat yang menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja. Data menunjukkan bahawa hanya 8% syarikat di Malaysia menawarkan kemudahan ini, walaupun terdapat permintaan yang tinggi daripada pekerja.

Tanggungjawab majikan

Majikan mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan keseimbangan ini tercapai di tempat kerja. Majikan perlu menyokong dasar yang menggalakkan waktu kerja fleksibel, anti-diskriminasi, dan memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat. Penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Pekerjaan (Pindaan) 2022 perlu dipatuhi di tempat kerja.

Majikan juga perlu menyediakan tempat kerja yang kondusif seperti ruang kerja yang selesa, persekitaran yang selamat dan pelbagai kemudahan seperti klinik dan kawasan rekreasi. Tempat kerja yang kondusif dapat mengurangkan tekanan dan meningkatkan kepuasan di tempat kerja, seterusnya menyumbang kepada prestasi kerja yang lebih baik.

Majikan perlu mengamalkan dasar dan budaya kerja yang sihat untuk menyokong kesejahteraan pekerja. Ini termasuk menawarkan waktu kerja fleksibel, pilihan kerja jarak jauh, dan menyediakan kemudahan untuk kebajikan pekerja seperti ruang istirahat dan pusat jagaan kanak-kanak.

Komunikasi dua hala antara majikan dan pekerja juga penting. Majikan perlu mendengar keperluan dan kebimbangan pekerja, serta memberikan sokongan yang diperlukan. Contohnya, majikan boleh menyediakan sesi kaunseling atau program kesihatan mental untuk membantu pekerja yang mengalami masalah tekanan dan keletihan.

Selain itu, pengiktirafan dan ganjaran kepada pekerja yang menunjukkan prestasi yang cemerlang juga boleh menjadi motivasi untuk mereka. Kajian menunjukkan bahawa 55% pekerja merasa lebih bersemangat dan produktif apabila mereka menerima pengiktirafan yang sewajarnya daripada majikan.

Peranan pekerja 

Pekerja sendiri juga perlu memainkan peranan aktif dalam mencapai keseimbangan ini. Kajian oleh TalentCorp menunjukkan bahawa 60% pekerja di Malaysia menghadapi kesukaran untuk menyeimbangkan diantara kerja dan kehidupan peribadi.

Pekerja perlu bijak mengurus masa, keutamaan tugasan, fizikal dan mental. Mereka perlu memahami had kebatasan mereka dan mengambil tindakan untuk mengelakkan keletihan dan tekanan yang berlebihan. Selain itu, mereka perlu memanfaatkan kemudahan yang diberikan oleh majikan seperti waktu kerja fleksibel dan kerja jarak jauh untuk mengatur kehidupan mereka dengan lebih baik.

Pekerja juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti yang dapat meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental mereka seperti bersenam, melancong dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan. Kajian menunjukkan bahawa pekerja yang melibatkan diri dalam aktiviti fizikal secara berkala mempunyai tahap tekanan yang lebih rendah dan kesejahteraan mental yang lebih baik.

Adalah penting juga bagi pekerja untuk berkomunikasi dengan majikan mengenai keperluan dan kebimbangan mereka. Dengan berbuat demikian, pekerja boleh mendapatkan sokongan yang diperlukan dan membantu majikan memahami cabaran yang mereka hadapi dalam mencapai keseimbangan hidup.

Kesan positif

Mencapai keseimbangan hidup dan kerja memberi banyak manfaat kepada individu, organisasi, dan masyarakat. Bagi individu, keseimbangan yang baik boleh meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, kepuasan dan produktiviti kerja. Data dari World Health Organization (WHO) menunjukkan bahawa pekerja yang mempunyai keseimbangan hidup dan kerja yang baik mempunyai risiko yang lebih rendah sebanyak 30% terhadap masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

Bagi organisasi, mempunyai pekerja yang mempunyai keseimbangan ini mampu mengurangkan kadar ketidakhadiran pekerja, meningkatkan produktiviti, dan mengurangkan kos berkaitan dengan kesihatan pekerja. Ini boleh meningkatkan kecekapan dan keuntungan organisasi secara keseluruhan. Kajian oleh Harvard Business Review menunjukkan bahawa syarikat yang melaksanakan amalan keseimbangan hidup dan kerja dapat meningkatkan produktiviti sebanyak 21%.

Di peringkat masyarakat, keseimbangan hidup dan kerja yang baik boleh membawa kepada masyarakat yang lebih sihat dan harmonis. Apabila individu dapat menyeimbangkan kerja dan kehidupan peribadi mereka, mereka dapat meluangkan masa dan menyumbang kepada masyarakat dengan lebih banyak, sama ada melalui aktiviti sukarela dan penglibatan pelbagai program dalam komuniti setempat seperti gotong royong dan keagamaan.

Cabaran 

Walaupun terdapat banyak manfaat, mencapai keseimbangan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi oleh kerajaan, majikan, dan pekerja. Salah satu cabaran utama adalah budaya kerja yang terlalu fokus kepada hasil dan prestasi tanpa mengambil kira kesejahteraan pekerja. Dalam banyak organisasi, tekanan untuk mencapai sasaran dan matlamat kerja boleh mengakibatkan beban kerja yang berlebihan dan waktu kerja lebih masa.

Selain itu, perkembangan teknologi dan komunikasi yang pesat juga menyumbang kepada cabaran dalam mencapai keseimbangan ini. Dengan adanya e-mel, mesej segera dan platform kerja dalam talian, sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi semakin sukar. Pekerja merasa perlu untuk sentiasa berhubung dan bertindak balas terhadap tugasan yang diberikan walaupun di luar waktu kerja rasmi. Kajian menunjukkan bahawa 65% pekerja merasa tertekan untuk terus berhubung dengan kerja di luar waktu pejabat.

Penyelesaian dan langkah ke hadapan

Untuk mengatasi cabaran-cabaran ini, pendekatan yang bersepadu dan holistik diperlukan. Kerajaan perlu terus menambah baik undang-undang dan dasar yang menyokong keseimbangan hidup dan kerja, serta memperkenalkan program kesedaran dan pendidikan yang berkaitan. Majikan perlu mengamalkan budaya kerja yang lebih fleksibel dan mesra pekerja, serta menyediakan sokongan yang diperlukan untuk kesejahteraan pekerja. Pekerja pula perlu mengambil tanggungjawab untuk menguruskan kehidupan mereka dengan bijak, mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, serta berkomunikasi dengan majikan mengenai keperluan dan kebimbangan mereka.

Dengan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, keseimbangan hidup dan kerja yang lebih baik dapat dicapai. Ini akan membawa manfaat besar kepada individu, organisasi dan masyarakat secara keseluruhan, mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, produktif dan harmonis.

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Ketua Program Pengurusan Industri

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitan di:

1. Berita Harian (muka surat: 12), 16 Julai 2024: Tambah baik insentif wujudkan keseimbangan kerja, kehidupan