Oleh Ts. Inv. Dr. Rafizah Mohd Hanifa

PAGOH – Penganjuran 1st International Development, Research & Innovation Virtual Exhibition (iDRIVE) 2024 secara dalam talian pada 15 Julai 2024 lalu mendapat sambutan hangat apabila jumlah penyertaannya melebihi sasaran yang ditetapkan.

Penganjuran kali ini menyaksikan sebanyak 34 kertas persidangan telah diterima dan 595 pertandingan inovasi telah diadili secara dalam talian.

Program peringkat antarabangsa oleh Kumpulan fokus Pusat Pengajian Diploma (CeDS) yang terdiri daripada ICT for Technology Humanization (ITecH), Mathematics for Entrepreneurship (ME) dan Mathematics and Application (MAP) turut mendapat kerjasama daripada Universiti Thaksin,Thailand dan KLS Institute of Technology, India.

iDRIVE 2024 yang merupakan gabungan persidangan dan pertandingan inovasi dilaksanakan bertujuan membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar, pendidik dan industri dari Malaysia, Thailand dan India.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad telah menyempurnakan majlis perasmian sekali gus menjadi pengucaptama bagi program tersebut.

Selain itu Penolong Profesor, Dr. Noppamas Pukkhem dari Universiti Thaksin, Thailand dan Ts. Mohd Shamir Hashim dari Cyber Security Malaysia turut dijemput sebagai pengucaptama.

Bagi menghargai pembentang kertas kerja dan peserta pertandingan inovasi, penganjur telah menganugerahkan ‘Best Paper Award’ dan ‘Outstanding Innovation Award’ yang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM100 beserta plak.

 

Ahli Jawatankuasa yang terlibat menjayakan iDRIVE2024.