Oleh Norsyafira Rahmat, Fakhrul Annuar Mohamed
KUALA LUMPUR – Bahagian Keselamatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat sejarah tersendiri apabila enam staf yang terdiri daripada seorang pegawai dan lima anggota berjaya menamatkan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur.
Rentetan itu, Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 4/2024 telah diadakan pada 5 Julai 2024 lalu yang disempurnakan oleh Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, YDH SAC Muhammad Idzam Dato’ Haji Jaafar.
Mereka terdiri daripada Pengarah Bahagian Keselamatan UTHM, Muhammad Khair Mahmood Dean bersama anggotanya Mohd Azwan Md. Azali, Khairil Amri Abd Hamid, Muhammad Syafaat Mohd Said, Muhammad Farid Sanaip dan Juliana Salan.
Lebih membanggakan, Muhammad Khair telah dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Baris dan turut menerima ‘Anugerah Pegawai Kanan Terbaik’ daripada lima anugerah yang diberikan.
Hadir sama ke majlis tersebut, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Abd Ahmad Farid Md Said wakil rasmi Pendaftar / Ketua Pegawai Operasi UTHM.
Untuk rekod, Kursus Asas Polis Bantuan Siri 4/2024 telah dijalankan selama dua bulan bermula 5 Mei 2024 sehingga 5 Julai 2024.
Kursus tersebut dihadiri oleh 23 agensi yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta universiti awam.
Seramai 166 pelatih terdiri daripada 19 pelatih pegawai kanan dan 147 pelatih konstabel telah menjalani kursus yang dijalankan.
Objektif utama pegawai dan anggota Bahagian Keselamatan menjalani kursus tersebut adalah untuk memperkasakan perkhidmatan keselamatan berlandaskan elemen kepolisan.
Selain itu, penyertaan kursus itu juga bagi memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan tahap intergriti dalam menjalankan tugas di kampus, selain antara syarat bagi seseorang pegawai dan anggota diberi kuasa sebagai polis bantuan.