SUMATERA SELATAN – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan kerjasama dengan Universitas Palembang (UNPAL) bagi merancakkan lagi aktiviti pertukaran pelajar di peringkat antarabangsa.
Bagi mencapai hasrat kerjasama itu, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan pada 11 Jun lalu bertempat di The Zuri Hotel of Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia.
UTHM diwakili oleh Pengarah Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Saufi Kamarudin, manakala UNPAL diwakili Rektor, Dr. Ali Dahwir S.H.,M.H.
Hadir sama menyaksikan MoU tersebut, Ketua Jabatan Latihan Industri Pelajar, PKKA, Ir. Dr. Goh Wan Inn.
UTHM dan UNPAL bakal bekerjasama dalam aktiviti pertukaran pelajar dengan kaedah mobiliti berkredit sama ada inbound atau outbound.
Selain itu, jalinan kerjasama dua university ini juga sebagai usaha menarik pelajar UNPAL menyambung pengajian di UTHM sekali gus membantu meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa serta meningkatkan keterlihatan UTHM di persada antarabangsa.
UTHM pada masa yang sama turut menyertai persidangan antarabangsa “ , , () ” yang diadakan pada 11 Jun 2024
Persidangan tersebut turut melibatkan penyertaan beberapa universiti lain seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universitas Sriwijaya (UNSRI), Universitas Muhammadiyah Surabaya, Himpunan Ahli Teknik Hidraulik Indonesia (HATHI) Cabang Sumatera Selatan, Universiti Brunei Darussalam, Eastern Visayas State University Philippines dan Universitas Bengkulu.
Manakala pada 12 Jun pula, delegasi UTHM juga turut mengambil bahagian menyampaikan syarahan umum kepada pelajar UNPAL.
“Pelaksanaan program dua hala seperti ini diharap dapat memberi manfaat kepada institusi terlibat sekali gus merancakkan lagi aktiviti universiti di peringkat antarabangsa,” kata Dr. Saufi.