Oleh Dr. Fadillah Ismail
TANJUNG PIAI – Bagi meneruskan usaha memulihara dan memelihara kebersihan alam sekitar paya bakau, Fakulti Pegurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program Sustainable Development Goals: “Caring for Wetlands” pada 25 Mei 2024 lalu.
Program di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Fadillah Ismail yang diadakan di Tanjung Piai, Pontian, Johor itu turut mendapat kerjasama daripada Permodalan Darul Ta’zim (PDT) dan Taman Negara, Johor.
Seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar FPTP serta staf Permodalan Darul Ta’zim telah berjaya menyemai dan menanam 120 anak pokok bakau jenis rhizophora api culata dan rhizopira mucranata dan sebanyak 254.4-kilogram sampah turut dikumpulkan semasa program dijalankan.
Timbalan Dekan HEPA, FPTP, Dr. Anim Zalina Azizan berkata program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar dengan bertindak sebagai agen perubahan.
“Melalui pengetahuan, kesedaran dan tindakan, pihak kami percaya semua mampu memelihara dan memulihara wetland demi kesejahteraan kita dan generasi akan datang” katanya.
Sementara itu, Majlis perasmian Program Sustainable Development Goals: “Caring for Wetlands” yang diadakan pada hari yang sama telah disempurnakan oleh wakil Permodalan Darul Ta’zim, Noor’ Azmi Md Omar.
Noor’ Azmi dalam ucapannya berkata, pelaksanaan program itu dapat menyediakan para peserta dengan pengetahuan. kemahiran, dan motivasi untuk memahami dan menangani cabaran SDG#15 iaitu Life on Land.
Beliau berharap program seumpama itu dapat meningkatkan lagi kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap penjagaan ekosistem paya bakau pada masa kini supaya kelestariannya dapat dirasai untuk generasi yang akan datang.