BATU PAHAT, Mei 2024 – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan prinsip ergonomik di sekolah.

FKMP dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), UTHM telah menganjurkan  program “University for Society” (SULAM): Ergonomic@FKMP di dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jelotong pada 5 Mei 2024 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pintas Puding pada 19 Mei 2024).

FKMP dengan kerjasama Pejabat Hubungan Universiti dan Industri (ICRC), UTHM juga telah menganjurkan Program “Knowledge Transfer Program” (KTP): Ergonomic@FKMP di dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading pada 14 Mei 2024 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail pada 21 Mei 2024.

Penyelaras dan Pengarah Program, Prof Madya Ir Dr Mohd Nasrull Abdol Rahman, berkata program SULAM bertemakan “Application of Ergonomic Principles at School” dan program KTP bertemakan “Ergonomic Best Practices at School” itu berjaya melibatkan penyertaan empat staf dan 56 pelajar tahun akhir bagi Kursus Faktor Kejuruteraan Manusia bersama 140 pelajar sekolah terbabit.

“Kami ingin memupuk kesedaran kepada pelajar sekolah tentang pentingnya prinsip amalan ergonomik di sekolah.

“Melalui program ini, pelajar sekolah telah diberikan pendedahan berkenaan tip dan teknik pengendalian beg sekolah serta posisi postur duduk yang betul semasa sesi pembelajaran di dalam kelas berlangsung.

“Penganjuran program ini juga bertujuan untuk memupuk minat pelajar UTHM berkongsi hasil pembelajaran mereka di universiti kepada komuniti luar, selain membantu pelajar sekolah mengurangkan risiko kecederaan tulang belakang seperti penyakit skoliosis  akibat daripada bebanan beg sekolah serta postur duduk yang tidak betul semasa sesi pembelajaran” jelas beliau.

Tambah Dr. Nasrull, program ini juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu jadikan universiti untuk masyarakat melalui ‘Universiti for Society’.

“Kami berharap program SULAM dan KTP: Ergonomic@FKMP ini dapat memberikan manfaat dan impak yang positif kepada masyarakat sekeliling terutamanya kepada pelajar dalam meningkatkan produktiviti persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti di sekolah,” katanya.

KTP 2 di SMKTI
SULAM 1 di SK JELOTONG
SULAM 2 di SK PINTAS PUDING