BERTAM – Bagi memperkasa hubungan kerjasama alumni bersama industri serta memperluaskan lagi keterlihatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di utara tanah air,  UTHM telah menganjurkan Program Northern Outreach bertempat Bertam Resort, Pulau Pinang pada 29 Jun 2024.

Selain sebagai usaha mempromosi UTHM, program anjuran Pusat Kemajuan kerjaya dan Alumni dengan kerjasama Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi korporat serta Yayasan UTHM itu diadakan bertujuan merapatkan lagi hubungan UTHM dengan masyarakat dari seluruh pelosok negara dengan pelaksanaan aktiviti bermanfaat.

Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hadir menyempurnakan program tersebut sekali gus merasmikan Majlis Hi-Tea Bersama Alumni.

Beliau dalam ucapannya menyeru lebih 200 alumni yang hadir agar turut sama menyumbang tenaga, dana mahupun idea bagi memberi manfaat kepada warga UTHM sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

“Tahun ini, UTHM telah melahirkan seramai 59,937 alumni dan bilangan ini akan bertambah dari tahun ke tahun.

“Justeru itu, saya berharap kita semua dapat membawa kebersamaan kita dalam memperkenalkan UTHM, khususnya di bahagian utara tanah air ini, agar lebih ramai berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada warga UTHM,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dato’ Ruzairi turut melancarkan ‘Northern Chapter’ yang ditubuhkan khas untuk alumni bahagian utara berinteraksi dan melaksanakan program kolaborasi yang bermanfaat untuk kedua-dua pihak.

Bagi meraikan kehadiran pengunjung, UTHM turut memberi nombor plat kenderaan kepada alumni yang hadir, selain mengadakan pameran pendidikan dan industri serta sesi cabutan bertuah.

Sementara itu, bagi mengeratkan hubungan universiti-komuniti, Yayasan UTHM pula telah melaksanakan Program Khidmat Sosial Korporat (CSR) Jelajah Utara, bertempat di Kampung Pajak Song, Bertam pada hari yang sama.

Pelbagai aktiviti bermanfaat telah dilaksanakan di kampung terbabit antaranya pertandingan memasak dan aktiviti merewang bersama penduduk kampung, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pemeriksaan kesihatan percuma daripada Pusat Kesihatan Universiti.

Sebagai tanda prihatin kepada komuniti setempat,Yayasan UTHM turut memberi sumbangan wang tunai bernilai RM500 kepada sekolah terpilih sekitar negeri Pulau Pinang.